Pertumbuhan iman kita: berbuah atau mati?
Diidam-idamkan juga negara yang makin sejahtera, makin besar, makin kuat. Secara manusiawi hal-hal ini dapat difahami. Ini juga dialami oleh orangorang pada zaman Yesus. Dan ketika Yesus mewartakan Kerajaan Tuhan, kerajaan itu digambarkan secara manusiawi juga oleh orang-orang Yahudi.
Jun 15, 2024

HARI MINGGU
BIASA KE-11
TAHUN B
Yehezkiel 17:22-24
2 Korintus 5:6-10
Injil Markus 4:26-34
Sejak dahulu sampai sekarang, kebanyakan orang mahu hidup dengan keinginan besar misalnya mahu menjadi orang yang semakin terkenal dan disegani, memiliki rumah dan bangunan besar dan mewah, tetapi semakin ramai juga umat yang merindukan bangunan Gereja makin besar, megah dan indah.
Diidam-idamkan juga negara yang makin sejahtera, makin besar, makin kuat. Secara manusiawi hal-hal ini dapat difahami. Ini juga dialami oleh orangorang pada zaman Yesus. Dan ketika Yesus mewartakan Kerajaan Tuhan, kerajaan itu digambarkan secara manusiawi juga oleh orang-orang Yahudi.
Tetapi Yesus menerangkan erti Kerajaan Tuhan yang sedang dibangun itu dengan perumpamaan tentang penabur yang dikaitkan dengan penanaman benih dan pertumbuhannya.
Diperlihatkan bahawa si penabur hanya menabur dan menanam, dia tidak berbuat banyak, tetapi dengan kepastian akan hasilnya.
Hanya dikatakan bahawa benih tumbuh dan bertunas. Jadi dalam perumpamaan itu mahu ditekankan bahawa kekuatan benih itu sendiri untuk bertumbuh dan bertunas dengan sendirinya tanpa campurtangan manusia!
Bahkan akhirnya berbuah! Demikianlah Yesus dalam menerangkan, bahawa Kerajaan Tuhan yang diwartakan- Nya bergerak dan berkembang dengan diam-diam namun pasti dan penuh kepastian, sampai nanti hasilnya akan diambil dan ditentukan pada pengadilan/ keputusan-Nya terakhir.
Selanjutnya Yesus menggambarkan Kerajaan Tuhan sebagai biji sesawi sangat kecil. Yesus ingin menunjukkan, bahawa Kerajaan-Nya akan berkembang, meski pun pada permulaannya memang sangat kecil dan tidak menyerlah.
Dalam perumpamaan itu, benih itu tidak tumbuh sebagai tumbuh-tumbuhan yang tinggi, melainkan rendah namun melebar.
Demikianlah dari benih-benih yang kecil akan tumbuh Gereja berkat sabda Tuhan. Semasa tiba musim menuai, ia menggambarkan saat pengadilan terakhir.
Memang pertumbuhannya lambat, seperti yang dialami Gereja, yang disebabkan oleh pelbagai hambatan, seperti penganiaan dan dosa-dosa anggota-anggotanya sendiri. Diperlukan kesabaran dan ketabahan hati.
Tetapi Yesus menegaskan dan memberi kepastian, bahawa Gereja sebagai gambaran Kerajaan-Nya memang mulai sebagai biji kecil, namun akan tumbuh dan berkembang. Perkembangan itu adalah hasil kekuatan Tuhan, bukan hasil usaha kita!
Sebenarnya dengan berbicara tentang perumpamaan mengenai biji sesawi itu, Yesus berbicara tentang iman kita. Maka pesan Injil hari ini kepada kita ialah, bila kita sungguh memiliki iman yang benar dan hidup, Tuhan akan melaksanakan hal-hal yang besar dalam diri kita.
Tetapi apabila kita di mana pun hanya mahu mempercayai kekuatan kita sendiri, betapa pun besarnya, dengan pelbagai rencana dan program apa pun, untuk “mendirikan Kerajaan Tuhan”, — pastilah kita akan gagal dan kecewa!
Kita harus selalu ingat dan sedar, bahawa Tuhanlah yang menabur, Tuhanlah yang menyirami tanaman, dan Tuhanlah yang akan memetik hasilnya! Kita hanyalah hamba abdi yang melayani kebun tanaman Tuhan.
Saya teringat semasa Hari Kaum Muda Sedunia di Madrid, Sepanyol, Ogos 18, 2011, mendiang Sri Paus Emeritus Benediktus XVI mengajukan pertanyaan: Bagaimana hasil-hasil Hari-Hari Kaum Muda Sedunia dapat dipastikan di masa depan?”
Prelatus itu menjawab: “Tuhan selalu menabur secara diam-diam. Hasilnya tak akan segara kita lihat dalam statistik!
Benih-benih yang ditaburkan Tuhan di tanah Hari Kaum Muda Sedunia ini sama dengan yang disebut dalam Injil.
Ada yang jatuh di jalan, dipijak-pijak lalu hilang; ada yang jatuh di tanah gersang dan lenyap; ada pula yang jatuh di antara duri-duri dan juga mati. Namun ada yang jatuh di tanah subur, tumbuh dan berbuah melimpah”.
Marilah kita sesuai dengan pesan Injil hari ini meneguhkan iman kita akan Tuhan, yang hadir dan berkarya secara diam-diam namun nyata dalam diri kita masing-masing serta bersama, sehingga sabda-Nya sebagai benih yang ditaburkan dalam hati kita dapat bertumbuh, berkembang dan berbuah sebagai manusia Kristian sejati yang dewasa. — Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm, iman Katolik
Total Comments:0