Peserta maya dalami pewartaan Injil Sukacita di dunia dewasa ini

Pelayanan Bahasa Malaysia (BMA) Vikariat Melaka, baru-baru ini telah menganjurkan kursus Evangelii Gaudium (Sukacita Injil/EG) dalam talian pada 7-11 Jun yang lalu.

Jul 16, 2021

MELAKA: Pelayanan Bahasa Malaysia (BMA) Vikariat Melaka, baru-baru ini telah menganjurkan kursus Evangelii Gaudium (Sukacita Injil/EG) dalam talian pada 7-11 Jun yang lalu.

Kursus ini disampaikan oleh Fr. Moses Rayappan, Paderi Paroki Gereja St. Francis Xavier Melaka. Seramai 86 orang peserta menyertai kursus ini.

Sebagai persiapan, Fr. Moses terlebih dahulu meminta setiap peserta membaca dokumen Sukacita Injil agar dapat mengikuti sesi itu dengan lebih berkesan.

Pihak penganjur telah mengadakan beberapa siri belajar secara berkumpulan secara bersemuka mahupun secara dalam talian. Iltizam dari peserta sepanjang belajar bersama ini sangat mengagumkan. Akhirnya dokumen yang mengandungi lima bab ini selesai dibaca oleh semua peserta.

Fr. Moses pada awal sesinya membawa peserta untuk mengimbas kembali seruan Apostolik yang telah ditulis oleh Sri Paus Santo Paulus VI pada tahun 1975 tentang Evangelii Nuntiandi, dokumen tentang Mewartakan Gereja. Fr. Moses merangkumkan bahawa semua seruan apostolik ini menjemput Gereja dan umat untuk bergerak keluar. Dan ini diungkapkan semula oleh Sri Paus Fransiskus dalam Surat Apostoliknya, Sukacita Injil.

Dalam sesi kedua, Fr. Moses membawa peserta untuk melihat cabaran dan godaan yang dialami oleh para pekerja pastoral.

Fr Moses membawa para peserta mengenal dan membezakan mana yang baik dan tidak dalam menghadapi pelbagai percubaan.

Pewartaan Injil dikupas oleh Fr Moses pada sesi malam ketiga. Beliau mengingatkan bahawa mewartakan Injil adalah tugas bagi setiap yang dibaptis. Kehadiran Roh Kudus memperkasakan dan membantu umat untuk bersaksi dengan lebih berani dan berkesan.

Dalam Sesi keempat, Fr membawa peserta untuk melihat dimensi sosial evengelisasi.

Pada sesi terakhir, Fr meneguhkan para peserta dengan memetik kata Sri Paus Fransiskus: Alasan utama untuk evangelisasi adalah kasih Yesus yang telah kita terima dan pengalaman keselamatan yang terus menerus mendorong kita untuk selalu lebih mencintainya. Semoga Bonda Maria, Bintang Evangelisasi menemani kita dalam perjalanan penginjilan ini.

Dalam kursus maya ini, para peserta dibahagikan kepada 18 kumpulan dengan didampingi seorang fasilitator. Pada akhir sesi, peserta diberikan soalan renungan untuk dikongsikan dalam kumpulan masing-masing.

Berdasarkan permintaan peserta, Fr Moses dan penganjur bersetuju n di masa akan datang, pihak penganjur bersama Fr. Moses bersetuju untuk memberikan sesi susulan yang bertemakan “Sukacita Katekis”.

Berikut merupakan beberapa perkongsian dari peserta:

Robert dari Gereja Immaculate Conception JB mengatakan, “Saya melihat kerjasama yang sangat baik dalam Kursus EG ini, walaupun ada peserta yang tidak dapat ikuti sesi sepenuhnya disebabkan oleh masalah talian yang kurang baik. Syabas untuk pengendali Zoom kerana menjayakan kursus dengan begitu baik. Tanpa kamu siapalah kami.”

Katanya lagi, “Tidak juga lupa untuk mengucapkan ribuan terima kasih untuk Sister dan Father yang memberikan inspirasi baru dan menyemarakkan kembali Roh Kudus dalam diri kami untuk terus melayani dalam cara Penginjilan yang baru.”

“Kita adalah Sukacita Injil yang hidup dan berjalan dalam masyarakat pada masa kini; dengan cara hidup yang baru kita boleh menjadi bahan tarikan kepada masyarakat sekeliling kita” Ucap Robert, “Selamat menjadi Injil yang berjalan dalam masyarakat. Orang akan mengenal kita pengikut Kristus kerana sukacita yang kita bawakan. Kalau bukan kita siapa lagi!”

Nancy dari Kluang mengatakan kursus maya EG tersebut adalah “mantap dan luar biasa!”

“Kursus EG ini sangat-sangat membantu untuk mengecas dan membangkitkan semula semangat saya sebagai seorang pewarta yang umpama kehabisan cas bateri. Juga membantu memahami lebih dalam isi kandungan dokumen Sukacita Injil,” kata Stanly dari Muar.

Peserta dari Paroki Our Lady of Guadalupe, Melaka, Veronica mengatakan, “Kursus ini telah menyedarkan saya untuk tidak leka terhadap iman dan terus berdoa. Seterusnya memberi kesempatan untuk saya lebih memahami EG dengan bantuan Fr. Moses. Kumpulan yang dibahagikan juga sangat membantu. Sr. dan Tim telah melakukan yang terbaik. Terima kasih semua.” — Penganjur BMA Vikariat Melaka

Total Comments:0

Name
Email
Comments