Peserta SYD-5 hasilkan lukisan digital Bonda Maria berpakaian tradisi Kadazan

Lukisan Bonda Maria dalam pakaian tradisi Kadazan Papar oleh seorang peserta SYD-5 telah menjadi tular dan menarik perhatian beberapa orang Uskup, religius dan umat awam.

Jul 31, 2021

PENAMPANG: Lukisan Bonda Maria dalam pakaian tradisi Kadazan Papar oleh seorang peserta SYD-5 telah menjadi tular dan menarik perhatian beberapa orang Uskup, religius dan umat awam. Ramai yang bertanya siapakah pelukis digital yang unik dan berbakat itu?

Eva Glen Robert, seorang mahasiswa kejuruteraan mekanikal Tahun Tiga di UiTM Shah Alam, pelukis gambar Bonda Maria dan Anak Yesus dalam pakaian tradisi Kadazan Papar, mengongsikan bahawa beliau menghabiskan masa selama tujuh jam untuk menghasilkan gambar rohani itu.

Beliawanis yang berasal dari Paroki St Michael Penampang, itu juga aktif dalam pelayanan kampus dan pernah mengikuti pelayanan misi melalui MJCC (Malacca Johore Catholic On Campus) di mana Eva berkesempatan menjadi misionari yang menjelajah ke kawasan-kawasan pedalaman misalnya di Belaga, Sarawak serta Pensiangan dan Mision Paitan di Sabah.

Bekas pelajar MRSM Kota Kinabalu itu mengatakan penyertaannya dalam SYD5 adalah buat julung-julung kalinya. Biarpun baru pertama kali, namun Eva telah diberi kepercayaan untuk menjadi fasilitator dalam sesi-sesi perkongsian (Heart to Heart).

Melalui temu bual dengan HERALD, Eva mengakui, semasa menghasilkan lukisan digital Bonda Maria tersebut, dia berada dalam keadaan tertekan dan murung. Semasa SYD-5 berlangsung, Eva baru sahaja menyelesaikan peperiksaan semesternya dan berasa tertekan kerana walaupun telah berusaha tetapi masih tidak dapat melakukan yang terbaik untuk peperiksaan tersebut.

“Pada hari itu, saya amat tertekan kerana saya menduduki peperiksaan dengan teruk. Dalam hari yang sama, saya juga menyelaras kumpulan sharing dalam SYD5.” Sehabis sesi, Eva mendapat inspirasi dari lukisan rohani seorang belia Sarawak, Mikee Ronaa, yang melukis Bonda Maria dalam pakaian etnik Sarawak. Dia juga menghubungi salah seorang rakannya, Esther Marius, yang memiliki banyak koleksi bergambar dalam pakaian tradisi Kadazan Sabah sebagai rujukan.

“Ketika saya melukis gambar itu, saya ditemani dengan lagu "Maria Tina Za do Koupusan” (Maria, Bonda yang kami kasihi). Sambil melukis, saya berdoa dan Tuhan memberikan saya kekuatan serta inspirasi dalam menghabiskan lukisan itu. Bahagian yang sukar dilukis ialah siung (topi berbentuk tiga segi yang mempunyai corak anyaman dan dipakai oleh kaum wanita Kadazan daerah Papar).”

“Walaupun melukis selama tujuh jam tanpa henti, Tuhan telah menyentuh saya, Dia menukar kesedihan dan kekecewaan saya kepada sukacita!”

Eva juga menujukan lukisan itu kepada para penganjur SYD-5, para paderi, religius, penyampai sesi dan semua yang terlibat di atas usaha gigih mereka di tengahtengah pandemik demi membawa belia lebih dekat kepada Tuhan.

Belia dan umat Katolik yang ingin melihat lukisan digital ini, sila klik https://m. facebook.com/story.php?story_fbid=45936 33570700891&id=100001628814533&sfnsn= mo

Total Comments:0

Name
Email
Comments