Pesta Kerahiman Ilahi peringkat Keuskupan Keningau di Beaufort
Paroki StValentine, menjadi tuan tumah sempena Pesta Kerahiman Ilahi Peringkat Keuskupan Keningau pada April 14 lalu.
May 11, 2024

BEAUFORT: Paroki StValentine, menjadi tuan tumah sempena Pesta Kerahiman Ilahi Peringkat Keuskupan Keningau pada April 14 lalu.
Lebih 800 umat dari pelusuk keuskupan menghadiri Misa yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong, Fr Bede Morti Lamutan dan Fr Ronnie Luni.
Semasa menyampaikan homili, Uskup Cornelius Piong mengungkapkan rasa syukur kepada Tuhan kerana berpeluang untuk merayakan Pesta Kerahiman di peringkat keuskupan pada tahun ini.
Prelatus itu menambah bahawa Kerahiman adalah sifat Tuhan. “Dalam Injil Yohanes 13:6, dinyatakan bahawa Tuhan menganugerahkan anak-Nya (Yesus) agar kita tidak binasa melainkan beroleh keselamatan kekal.”
Ketua Keuskupan Keningau itu juga mengingatkan agar umat sentiasa terus menerus melakukan Devosi Kerahiman Ilahi yang diasaskan oleh Santa Faustina dari Kowalska.
“Santa Faustina dipilih sebagai Rasul Kerahiman untuk mengingatkan kita tentang cintakasih Tuhan yang tak terbatas kepada umat-Nya. Oleh itu, sentiasalah terus menerus melakukan Devosi Kerahiman Ilahi dan mewujudkannya dalam kehidupan sehari-hari,” ujar Uskup Cornelius.
Semasa sesi ucapan pula, Fr Bede Morti selaku Pembimbing Kerasulan Kerahiman Ilahi mengatakan penganjuran Pesta Kerahiman Ilahi tahun ini dilakukan dengan lebih teliti dan mendapat penyertaan yang lebih ramai daripada umat.
Paderi paroki St Beaufort, Fr Ronnie Luni pula mengongsikan, “Secara peribadi Devosi Kerahiman Ilahi membantu saya dalam proses mengenal siapa itu Tuhan dan lebih mengagungkan Dia,” kata paderi yang berasal dari Tambunan itu.
Selepas berkat penutup Misa, Uskup Cornelius memberkati imej Kerahiman Ilahi, dan melakukan penghormatan kepada imej tersebut. Gereja Bonda Maria Penolong Abadi, Mission Kemabong dipilih sebagai tuan rumah Pesta Kerahiman Ilahi peringkat Keuskupan Keningau pada tahun hadapan.
Total Comments:0