Pewartaan Berita Baik bukan hanya di Gereja

“Paderi, pelayanan dan Berita Baik, merupakan tiga perkataan indah yang muncul dalam pembacaan hari ini,” kata Uskup Bernard Paul semasa memimpin Misa Krisma tahunan, di Gereja St Teresa, pada April 15 lalu

May 04, 2025

MASAI, JOHOR: “Paderi, pelayanan dan Berita Baik, merupakan tiga perkataan indah yang muncul dalam pembacaan hari ini,” kata Uskup Bernard Paul semasa memimpin Misa Krisma tahunan, di Gereja St Teresa, pada April 15 lalu.

“Tiga perkataan ini lebih daripada sekadar istilah. Ketiga-tiganya menyerlahkan peranan dan tanggungjawab , panggilan dan misi kita. Ia menjelaskan ‘pekerjaan’ rohani kita. Setiap paderi, setiap orang yang dibaptis – berkongsi tanggungjawab ini. Kita ialah paderi Tuhan, pelayan Tuhan dan pembawa Khabar Gembira, seperti yang dinyatakan oleh Kitab Suci.

Sebagai paderi Tuhan: Menjadi paderi Tuhan bermaksud berkongsi dalam kehidupan Kristus. Yesus mengatakan, “Aku diutus oleh Bapa ... Aku datang dari Bapa ... Aku hidup di dalam Bapa”, kita juga dipanggil untuk kesatuan yang mendalam ini dengan Tuhan iaitu ikatan cinta dengan Bapa, dengan umat Tuhan dengan dunia, dan dengan Penciptaan itu sendiri.

Kesatuan seperti ini hanya terjadi melalui doa dan renungan yang mendalam. Sebagai paderi, kita mesti menjadi orang yang bersatu dengan Tuhan, antara sesama dan alam ciptaan Tuhan.

Perkataan ‘kesatuan’ bukan sekadar hubungan, tetapi kesalinghubungan yang mendalam. Itulah dimensi pertama panggilan kita.

Mengenai peranan pelayan Tuhan, Uskup Bernard menjelaskan tugas-tugas pelayan Tuhan ialah dengan melakukan pelayanan Kristus dengan aktif, bukan sahaja untuk Gereja tetapi untuk menjadikan dunia ini menjadi lebih baik.

Yesus melakukan sepenuhnya karyakarya Bapa, Dia menyembuhkan, membebaskan, menghiburkan dan memulihkan. Sebagai pelayan Tuhan, kita dipanggil untuk mengambil bahagian dalam misi yang sama. Kita diharapkan untuk membantu orang lain kerana ini bukan “Gereja saya” atau “Gereja anda” tetapi Gereja kita.

Peranan ketiga sebagai “Pembawa Berita Baik”, Uskup Bernard menjelaskan bahawa semua umat diutus untuk membawa Berita Baik bukan hanya di rumah ibadat tetapi di lereng bukit, memasuki rumah, melawat golongan terabai, miskin dan kaya, menyentuh orang-orang yang dipinggirkan dan yang dihormati — seperti yang Yesus lakukan.

Kepada para paderi, Uskup Bernard berpesan, “Jangan lupa siapa anda. Rayakan pentahbisan anda dengan kegembiraan dan kebanggaan. Setialah dengan panggilan itu dan di mana pun anda pergi, jadilah Berita Baik seperti yang diamanahkan oleh Tuhan kepada anda!”

Total Comments:0

Name
Email
Comments