Pikullah Salib tiap hari dan ikutlah Aku
“Syukur kepada Tuhan kerana pada hari ini, sempena Pesta Sto Yosef, Bro Joseph Philip dari kongregasi Brothers of St Gabriel, melafazkan kaul kekalnya sebagai seorang religius,” demikian kata Uskup Cornelius Piong pada Mei 1 yang lalu di Gereja St Patrick, Membakut.
May 08, 2014
MEMBAKUT (Herald Malaysia): “Syukur kepada Tuhan kerana pada hari ini, sempena Pesta Sto Yosef, Bro Joseph Philip dari kongregasi Brothers of St Gabriel, melafazkan kaul kekalnya sebagai seorang religius,” demikian kata Uskup Cornelius Piong pada Mei 1 yang lalu di Gereja St Patrick, Membakut.
Bro Joseph berasal dari Kg Talantang Ulu Bongawan dan imannya telah diperteguhkan melalui Sakramen Penguatan yang diterimanya di Paroki St Patrick, Membakut pada tahun 2001. Pada tahun yang sama, beliau menyahut panggilan Tuhan untuk menjadi pelayan dalam ladang Tuhan melalui Kongregasi Brothers of St Gabriel dan diterima masuk ke Novisiat di Chiangmai, Thailand.
Merujuk kepada Sto Yosef sebagai pelindung para pekerja, Bapa Uskup mengingatkan umat bahawa “kita semua dipanggil dan diutus untuk bekerja. Setiap kita mempunyai panggilan untuk melakukan kerja-kerja Tuhan mengikut keperluan sesebuah tempat atau umat.” Kepada Bro Joseph dan hadirin, Uskup Cornelius juga memberikan beberapa panduan bagaimana menjadikan pelayanan itu bahagia, segar dan tabah.
Prelatus itu memberikan pengalamannya sendiri iaitu beliau sentiasa mengingati pesan Yesus di mana Dia mengatakan, “Sesiapa yang hendak mengikuti Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib setiap hari dan mengikuti Aku!” (Lukas 9:23).
“Inilah dasar dan pedoman yang penting bagi kita yang mahu melayani Tuhan. Kerana tanpa Yesus, kita tidak mampu berbuat apa-apa, melaksanakan pelayanan kita dengan baik. Oleh itu, setiap hari, kita perlu utamakan kesatuan kita dengan peribadi Yesus, meskipun kita sibuk dengan tugasan harian tetapi ambil masa untuk berdoa, membaca dan menghayati firman-Nya serta menghadiri Misa Kudus.”
Uskup Cornelius juga mengingatkan umat bahawa Yesus hadir dalam komuniti. Beliau memberi contoh rasul Tomas yang tidak percaya Yesus menampakkan diri kepada para rasul lain kerana dia tidak bersama dengan komuniti. Namun akhirnya dia percaya setelah dia bersama komuniti dan Yesus menampakkan diri kepadanya.
Peraya utama Misa Kudus sempena Pelafazan Kaul Kekal Bro Joseph ini ialah Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Fr Paul Mikin, Fr Dr Charles Chiew serta Fr Francis Dakun. Selain para Brothers of St Gabriel dari Malaysia dan Singapura, para religius FSIC, Putri Karmel, Brothers of CSE dan kongregasi Daughters of St Paul turut hadir memberikan sokongan serta doa buat Bro Joseph.
Dalam ucapannya, Bro Francis Chua, Ketua Provinsi Brothers of St Gabriel mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa Bro Gabriel yang menyokong keputusan Bro Joseph untuk menjadi seorang religius.
Bro Francis mengumumkan bahawa Bro Joseph diutus untuk melayani di Asrama St Mary di Sandakan.
Total Comments:0