Pra-Paskah: Berjalan bersama dalam Harapan

Tema utama pesan Sri Paus Fransiskus untuk Pra Paskah dirumus dalam frasa “Marilah kita pergi bersama-sama dengan harapan,” yang selaras dengan tema yang lebih luas pada tahun Jubli “Penziarah Harapan”.

Mar 08, 2025


TAKHTA SUCI:
Tema utama pesan Sri Paus Fransiskus untuk Pra Paskah dirumus dalam frasa “Marilah kita pergi bersama-sama dengan harapan,” yang selaras dengan tema yang lebih luas pada tahun Jubli “Penziarah Harapan”. Refleksi Bapa Suci memberi tumpuan kepada pertaubatan yang diungkapkan dalam tiga dimensi utama: kepentingan perjalanan, perjalanan bersama dan perjalanan dengan harapan.

Perjalanan iman kita ialah perjalanan menuju pertaubatan

Mengimbas kembali kisah penghijrahan dalam kitab suci apabila umat Israel dari Mesir menuju ke tanah yang dijanjikan, Sri Paus mengingatkan kita bahawa kehidupan kita juga adalah perjalanan yang harus menghala kepada Tuhan.

Perjalanan ini bukan sekadar metafora tetapi merupakan panggilan berterusan untuk pertaubatan, “untuk meninggalkan masa-masa dosa” dan situasi yang merendahkan martabat manusia kita.

Oleh sebab itu, Bapa Suci Fransiskus menggesa umat beriman agar semasa musim Pra-Paskah ini meneliti atau merenung perjalanan kehidupan mereka sendiri: Adakah kita berjalan dengan aktif di jalan pembaharuan rohani atau ditahan oleh ketakutan, keputusasaan atau enggan keluar dari zon selesa?

Bapa Suci mengimbas kembali kisah perjalanan penuh cabaran umat Ibrani dari perhambaan menuju kebebasan lalu mengaitkannya dengan nasib pendatang dan pelarian moden masa kini.

Sri Paus mengajak kita menggunakan masa Pra-Paskah sebagai peluang untuk mempertimbangkan bagaimana kita mengaitkan kehidupan kita sendiri dengan perjuangan para pendatang yang terpaksa melarikan diri daripada “situasi kesengsaraan dan keganasan demi mencari kehidupan yang lebih baik” dan dengan membandingkan ini, kita dapat mengetahui apa yang Tuhan minta kepada kita.

Tulisnya, “ini merupakan latihan baik untuk hati nurani bagi kita. Sukar untuk memahami perjuangan penghijrahan dalam Kitab Keluaran tanpa memikirkan keadaan orangorang, saudara dan saudari kita yang pada zaman ini, yang melarikan diri dari situasi kesengsaraan dan keganasan demi mencari kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri dan orang yang tersayang. Panggilan pertama untuk pertaubatan itu datang dari kesedaran bahawa kita semua adalah penziarah dalam kehidupan ini.”

Panggilan untuk Perjalanan Bersama: panggilan kepada Sinodaliti
Pesan Pra-Paskah Sri Paus untuk tahun ini menekankan masyarakat dan sinodaliti iaitu idea bahawa orang Kristian mesti berjalan bersama, bukannya secara berasingan.

Bapa Suci mengingatkan kita, “Roh Kudus mengingatkan kita agar tidak leka sebaliknya terus berjalan ke arah Tuhan bersama saudara-saudari kita. Perjalanan bersama bermaksud bersatu berdasarkan martabat kita yang saksama bahawa kita merupakan anak-anak Tuhan dan tidak boleh membiarkan sesiapa ditinggalkan atau dikecualikan.”

Sekali lagi, Bapa Suci mencabar umat beriman untuk memikirkan sama ada kita mampu berjalan bersama dengan orang lain dalam keluarga, di tempat kerja dan komuniti kita serta mampukah kita menentang godaan untuk mementingkan diri sendiri? Adakah kita menyambut orang lain? Adakah kita termasuk dalam golongan mereka yang merasa terabai?

“Marilah kita bertanya kepada diri sendiri di hadapan Tuhan sama ada, sebagai uskup, paderi, religius dan umat awam dalam pelayanan Kerajaan Tuhan, adakah kita bekerjasama atau berjalan bersama dengan orang lain?”

“Adakah kita mengalu-alukan, menerima dengan gerak isyarat konkrit, terhadap mereka yang dekat atau jauh? Adakah kita membuat orang lain berasa menjadi sebahagian daripada komuniti atau menjauhkan diri?”

Panggilan untuk Perjalanan dengan Harapan
Dimensi asas ketiga perjalanan Pra-Paskah ialah Harapan, yang berpegang dalam janji keselamatan Tuhan dan kehidupan kekal yang dipenuhi dalam kebangkitan Yesus, kemenangan atas dosa dan kematian. Harapan ini bukan abstrak tetapi konkrit dan nyata.

Sangti Papa menjemput kita untuk memeriksa sama ada kita benar-benar mempercayai rahmat Tuhan? Adakah kita percaya kepada pengampunan-Nya atau adakah kita jatuh ke dalam perangkap mementingkan diri sendiri?

Adakah kita secara konkrit mengalami harapan yang memberi inspirasi kepada “komitmen kita terhadap keadilan dan persaudaraan, untuk menjaga rumah bersama kita sehingga tidak ada yang merasa dikecualikan?”

Dengan merujuk kepada Sta Teresa dari Avila, pesan itu menggesa umat beriman untuk terus berjaga-jaga dan sabar, memahami bahawa janji-janji Tuhan akan dipenuhi pada zamannya.

“Berikut merupakan doa Sta Teresa dari Avila: ‘Harapan, wahai jiwaku, harapan. Anda tidak tahu hari atau waktunya. Lihat dengan teliti, kerana segala-galanya berlalu dengan cepat, meskipun ketidaksabaran membuat anda ragu dengan apa yang pasti dan perjalanan yang panjang dirasakan amat singkat’.”

Bapa Suci mengakhiri pesan Pra-Paskahnya dengan mempercayakan perjalanan harapan ini dengan bermohon kepada Santa Perawan Maria, “Bonda Harapan” agar dia dapat menemani umat beriman ketika kita mempersiapkan diri untuk merayakan kegembiraan Paskah. --CNA/Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments