Rekoleksi Pelayan Komuni Tak Lazim di Holy Trinity

Paroki Holy Trinity, Tawau telah merancang untuk menganjurkan beberapa siri rekoleksi sempena musim Pra-Paskah. Rekoleksi pertama yang diadakan ialah untuk para Pelayan Komuni Tak Lazim (EMC) yang dikendalikan oleh Fr David A Garaman dan Fr Johnny Raju pada Mac 8 lalu.

Mar 21, 2014

TAWAU (Herald Malaysia): Paroki Holy Trinity, Tawau telah merancang untuk menganjurkan beberapa siri rekoleksi sempena musim Pra-Paskah. Rekoleksi pertama yang diadakan ialah untuk para Pelayan Komuni Tak Lazim (EMC) yang dikendalikan oleh Fr David A Garaman dan Fr Johnny Raju pada Mac 8 lalu.

Lebih kurang 50 orang EMC dari Paroki pusat dan stasi luar menghadiri rekoleksi setengah hari tersebut. Rekoleksi ini bermatlamat menyegar iman, memperdalamkan pengetahuan tentang pelayanan serta meningkatkan lagi komitmen, kerohanian dan devosi mereka sebagai EMC.

Ia dimulakan dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Fr Johhny Raju. Bahagian pertama disampaikan oleh Fr David di mana beliau memberikan penerangan beberapa istilah yang biasa digunakan dalam Gereja Katolik misalnya kerasulan, Ekaristi, Katekismus dan banyak lagi. Fr David juga memperdalamkan lagi pengetahuan para peserta mengenai kekudusan dan rahmat Sakramen-sakramen Gereja.

Semua EMC diingatkan agar kata-kata dan perbuatan mereka sentiasa sejajar dengan ajaran Gereja. Mereka haruslah menjadi model unggul dalam perkataan dan perbuatan serta bangga menunjukkan iman serta moral Kristian.

“Bijaksanalah dalam perbuatan dan perkataan kerana cara hidup dapat memberi kesan kepada orang lain.

“Perlihatkanlah penampilan yang tidak menjolok mata dan mengenakan pakaian yang sesuai sebagai seorang EMC ketika melayani di stasi luar, sub-Paroki atau di Paroki. Biarlah penampilan anda sebagai EMC sentiasa setara dengan martabat peranan anda,” ujar Fr David. Dalam sesi kedua, Fr David menerangkan susunan perayaan Liturgi Sabda dan Komuni Kudus, bermula dari perarakan masuk sehinggalah upacara penutup. Beliau menekankan tentang pengendalian dan penghormatan Tubuh Kristus.

“Anda harus memegang dan menjaga Tubuh Kristus dengan hati serta tangan yang bersih. Bawalah Tubuh Kristus dengan hati yang murni.

“Sekiranya anda membawa kembali lebihan Tubuh Kristus, adalah tanggungjawab anda untuk menghantar serta menyimpannya dalam tabernakel di Gereja, bukan dibawa pulang ke rumah,” jelas Fr David.

Fr Johnny dalam sesinya turut mengingatkan para EMC yang melayani di stasi luar agar merancang masa mereka terlebih dahulu agar tidak tergesa-gesa dalam mengambil serta menghantar Hostia Kudus.

“Dengan mengenakan pakaian EMC dan Tubuh Yesus yang disimpan dalam tempat khas, ia akan mempersiapkan umat dalam menyambut kedatangan Hostia Kudus dengan hormat,” ujar Fr Johnny.

Total Comments:0

Name
Email
Comments