Roh Kudus akan memantapkan kita untuk taat kepada Tuhan

Pada minggu lalu kita telah menyaksikan para murid Yesus berkurung di dalam ruang bilik kerana ketakutan dan Tomas pula melarikan diri daripada komuniti rasul itu.

Apr 29, 2022


HARI MINGGU PASKAH III (C)
KISAH PARA RASUL 5:27-32,40-41;
WAHYU 5:11-14;
INJIL YOHANES 21:1-19

Pada minggu lalu kita telah menyaksikan para murid Yesus berkurung di dalam ruang bilik kerana ketakutan dan Tomas pula melarikan diri daripada komuniti rasul itu.

Injil pada hari ini mengisahkan satu lagi peristiwa di mana Petrus dan rasul yang lain kembali kepada pekerjaan mereka yang lama sebab tidak apa-apa lagi yang penting hendak dibuat kerana Yesus sudah tiada.

Petrus berkata kepada mereka, “Aku pergi menangkap ikan,” dan rasul-rasul yang lain juga berkata, “Kami pergi juga dengan engkau.” Namun mereka amat kecewa kerana tidak ada ikan yang ditangkap oleh mereka.

Dalam keadaan itu, Yesus yang mereka tidak kenali datang memperlihatkan Diri-Nya kepada mereka buat kali ketiga dan menyuruh mereka menebarkan jala mereka.

Walaupun mereka tidak kenal Yesus dan usaha mereka kelihatan siap-sia, mereka mendengar kata-kata Yesus lalu menjala ikan.

Pengalaman kita juga mengajar kita bahawa dalam keadaan kekosongan kita selalu mengharapkan sesuatu supaya tidak merasa hampa daripada usaha gigih kita.

Dalam kisah ini kerana terlalu kecewa maka mereka telah terlupa kata-kata Yesus bahawa Dia akan bangkit daripada mati.

Rupa-rupanya ajaran-ajaran Yesus semasa Dia bersama mereka tidak direnungi dan dihayati oleh mereka sehingga mereka kembali kepada cara hidup yang lama.

Petrus yang tidak berpakaian sebelum penangkapan ikan yang banyak, mengenakan pakaian ketika mendengar dari murid yang dikasihi Yesus mengenal Tuhan Yesus.

Ini menandakan bahawa Petrus kembali mengenakan kehidupan yang baharu sesudah menemui Yesus yang sudah bangkit, bahkan semua murid kembali mengenal Yesus sesudah mereka makan bersama dengan Yesus.

Pada akhir Injil ini, kita melihat Petrus “disoal siasat” oleh Yesus sejauh mana dia mengasihi-Nya.

Sebanyak tiga kali Yesus mengutarakan soalan yang sama, “Simon anak Yohanes, apakah engkau mengasihi Aku?”

Soalan pertama dan kedua dijawab oleh Simon secara biasa sahaja, “Benar Tuhan, Engkau tahu, bahawa aku mengasihi Engaku.”

Sesudah Simon menjawab, Yesus memberi tugas dan kepercayaan kepadanya untuk menggembalakan domba-domba-Nya. Jawaban Simon kepada soalan ketiga agak berbeza dan lebih utuh, “Tuhan, Engkau tahu segala sesuatu, Engkau tahu, bahawa aku mengasihi”.

Ini merupakan sahutan Simon bahawa dia mengasihi SEPENUHNYA kepada Yesus dan memahami tugas yang diberikan oleh Yesus kepadanya serta akibat dari responnya itu.

Dalam bacaan pertama kita melihat bagaimana Petrus sebagai pemimpin bersama dengan rasul-rasul yang lain menunaikan tugas dan kepercayaan itu.

Khabar gembira tentang kebangkitan Yesus yang diajarkan oleh mereka di seluruh Yerusalem ditentang hebat oleh pemimpin agama, mereka melarang supaya tidak menyebut nama Yesus.

Tetapi Petrus dengan berani tetap menyokong semangat kasih yang pernah dia lafazkan kepada Yesus dan berkata, “Kita harus lebih taat kepada Tuhan daripada kepada manusia ...”

Paskah adalah ungkapan kasih Tuhan yang teragung, tidak ada kasih yang menandingi yang ditunjukkan oleh Tuhan dalam Diri Yesus.

Gereja yang didirikan oleh Yesus dan digembalakan oleh Petrus adalah rumah belas kasih Tuhan.

Disebabkan belas kasihan Tuhan ini kita menikmati kasih Tuhan, kasih penebusan supaya kita juga mengalami kebangkitan berkat kebangkitan Yesus. Namun kasih Tuhan itu tidak berhenti di sana.

Cabarannya bagaimana kita menghidupi dan menyatakan belas kasih Tuhan itu kepada sesama.

“Berbelas kasihanlah seperti Bapa berbelas kasihan” (Luk 6:36) Maka setiap kita anggota Gereja diserahkan dengan tanggungjawab untuk merealisasikan belas kasih Tuhan di dunia ini.

Kasih merupakan unsur hakiki untuk segala bentuk kepemimpinan dan pelayanan yang tak terpisahkan.
Seperti dilaksanakan oleh Yesus sendiri. Yesus memimpin para rasul,
Dia memimpin Gereja-Nya. Yesus memimpin Gereja dengan melayaninya dengan kasih.

Kasih kita kepada Kristus jangan sampai hanya bersifat secara peribadi dalam ibadat, melainkan juga sebagai ungkapan nyata pelayanan kita kepada sesama.

Apakah kita tidak rela mengasihi sesama, yang dikasihi Kristus? Mengasihi Kristus bererti sebenarnya berbuat baik terhadap sesama.

Di mana tidak ada pelayanan, di situ tidak ada kasih. Dan di mana kasih tidak ada, di situ Kristus juga tidak ada!
Di mana Kristus tidak ada, di situ damai juga tidak ada. Santa Teresa dari Kalkuta berkata: “Buah kasih adalah pelayanan, dan buah pelayanan adalah damai.” — santapan rohani/imankatolik

Total Comments:0

Name
Email
Comments