Roti yang ditawarkan oleh Yesus adalah hidup, bersifat abadi

Injil pada minggu lalu, Yohanes menceritakan tentang mukjizat penggandaan roti.

Aug 02, 2024

HARI MINGGU
BIASA KE-18
TAHUN B
KELUARAN 16:2-4.12-15
EFESUS 4:17.20-24
INJIL YOHANES 6:24-35

Injil pada minggu lalu, Yohanes menceritakan tentang mukjizat penggandaan roti.

Pada hari Minggu ini pula, Yesus berkata: “Aku berkata kepadamu, sesungguhnya kamu mencari Aku, bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda, melainkan kerana kamu telah makan roti itu dan kamu kenyang. Bekerjalah, bukan untuk makanan yang dapat binasa, melainkan untuk makanan, yang bertahan sampai kepada hidup yang kekal, yang akan diberikan Anak Manusia kepadamu” (Yoh 6:26-27).

Maka orang ramai itu bertanya, “Apakah yang harus kami perbuat supaya kami melakukan pekerjaan yang dikehendaki Tuhan?” (ay.28).

Jawaban Yesus: “Inilah pekerjaan yang dikehendaki Tuhan iaitu hendaklah kamu percaya kepada Dia, yang telah diutus Tuhan” (ay.29).

Yesus mengajak setiap orang supaya percaya kepada Anak Manusia, iaitu Yesus, sebagai pemberi roti yang tidak akan punah. Tanpa iman atau kepercayaan kepada Dia, yang diutus oleh Bapa itu, orang tidak akan mampu mengakui dan menerima anugerah yang begitu berharga dan tidak akan musnah.

Penggandaan roti yang telah mereka saksikan sebelumnya ternyata tidak mampu menimbulkan iman yang diharapkan oleh Yesus.

Maka mereka minta tanda baru lagi, seperti dahulu diharapkan oleh nenek moyang mereka, iaitu makanan manna ketika mereka berada di padang gurun.

Padahal Yesus menghendaki agar mereka bukan hanya minta lagi roti makanan sehari-hari untuk menghilangkan rasa lapar, melainkan roti jenis lain, iaitu roti dari syurga.

Bukan roti yang diberikan oleh Musa, melainkan roti dari Tuhan di syurga (Yoh 6:32-33).

Dalam diri setiap orang, selalu ada rasa lapar fizikal tetapi juga ada rasa lapar lain, yang bersifat rohani dan tidak dapat dipenuhi dengan makanan biasa.

Ada juga orang yang mempunyai kelaparan akan kehidupan yang kekal, kelaparan akan Tuhan. Seperti manna yang dimakan oleh nenek moyang bangsa Israel di padang gunung, mahupun roti yang diperbanyak oleh Yesus, merupakan suatu tanda keperluan seorang Almasih, iaitu kedatangan Kristus, yang akan memenuhi rasa lapar manusia akan hidup abadi.

Dalam erti inilah Yesus berkata: “Aku adalah roti hidup! Sesiapa datang kepada-Ku, dia tidak akan lapar lagi, dan barangsiapa percaya kepada-Ku, dia tidak akan haus lagi” (Yoh 6:35).

Dalam Injil Yohanes hari ini, patut kita perhatikan, bahawa Yesus tampil, berbicara dan berbuat bukanlah sebagai Musa ataupun nabi lain.

Yesus bukan hanya memberi roti untuk menghilangkan rasa lapar sementara. Dia memberikan kepada kita Roti Sabda Abadi.

Roti Sabda-Nya ini tidak akan musnah, dan selalu tersedia untuk selamanya. Roti dan Sabda Yesus itu adalah satu, iaitu Diri-Nya sendiri! Yesus bersabda tentang roti hidup, dan roti itu adalah Diri-Nya sendiri.

Berkali-kali dengan kata-kata ini Yesus mengundang kita untuk: “datang kepada-Nya” (Yoh 6:35.37), “percaya kepada-Nya” (ay.40), “datang kepada-Ku” (ay.44-45).

Ucapan-ucapan Yesus itu mengundang kita supaya kita menanggapinya secara aktif dengan iman.

Sabda-Nya selalu merupakan suatu santapan yang kita perlukan untuk menghidupkan iman kita!

Hanya dengan iman serupa itulah akan terwujudlah kata-kata Yesus ini: “Akulah roti hidup! Sesiapa datang kepada-Ku, ia tidak akan lapar lagi, dan sesiapa percaya kepada-Ku, dia tidak akan haus lagi” (Yoh 6:35).

Kemajuan duniawi sekarang ini menghambat perhatian dan kepercayaan kita akan hal-hal yang tidak kelihatan. Namun, apakah pesan Injil Yohanes hari ini? Kita diajak bertanya kepada diri kita, Apakah sebenarnya makna hidup keagamaanku sebagai orang Kristian?

Apakah makna kehadiran Yesus dalam Ekaristi sebagai roti hidup di dalam hidupku sebagai orang beriman?

Apakah Ekaristi yang ku terima sebagai roti hidup itu mengubah sikap dan arah hidupku kepada Tuhan mahupun kepada sesamaku? — Msgr. F.X. Hadisumarta O.Carm

Total Comments:0

Name
Email
Comments