Sekalipun Dia kaya, tetapi menjadi miskin agar kamu menjadi kaya
Komisi Pembangunan Insan Keuskupan (KPIK) Sandakan meneruskan usaha untuk memberi kesedaran dan mendidik para umat bagi menghayati musim Pra-Paskah 2014 dengan lebih mendalam serta bermakna.
Mar 28, 2014
TELUPID (Herald Malaysia): Komisi Pembangunan Insan Keuskupan (KPIK) Sandakan meneruskan usaha untuk memberi kesedaran dan mendidik para umat bagi menghayati musim Pra-Paskah 2014 dengan lebih mendalam serta bermakna. Kali ini, KPIK Sandakan berada di Paroki St Martin, Telupid selama tiga hari iaitu pada Mac 7-9.
Sr Maria Dipal, RGS (Pengerusi, KPIK Sandakan), Shirley Joseph (Setiausaha, KPIK Sandakan dengan kerjasama Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) St Martin, Telupid serta disokong oleh Paderi Paroki, Rev Fr Jasery Gabuk, menjalankan dua sesi Kempen Pra-Paskah 2014.
Pada hari pertama, ia diadakan di Gereja St Martin manakala pada hari kedua, iaitu pada Mac 8, kempen Pra-Paskah dilaksanakan di Kapela St Joseph, Lumou.
Antara yang disentuh oleh Sr Maria dalam sesinya ialah makna Pra-Paskah sebagai proses membuat pilihan ke arah pertaubatan dan pesan Pra-Paskah Paus Fransiskus yang bertema “Ia, yang oleh kerana kamu menjadi miskin sekalipun Ia kaya, supaya kamu menjadi kaya” (2 Kor 8:9).
Kempen Pra-Paskah ini terlebih dahulu telah dijalankan di Paroki St Dominic, Lahad Datu. Seperti di St Dominic, perwakilan dari KPIK Sandakan berkesempatan untuk bertemu bersama KPIP Telupid melalui satu mesyuarat khas yang telah diadakan pada hari ketiga iaitu Mac 9.
Selepas mesyuarat tersebut, para ahli KPIP Telupid dapat melihat lebih jelas akan hala tuju pelayanannya melalui komiti tersebut.
Melalui kertas edarannya tentang “Apa itu Pembangunan Insan yang Integral, Tujuh Tema Penting Ajaran Sosial Gereja dan Pesan Pra- Paskah 2014 Paus Fransiskus” telah mendapat beberapa maklum balas. Antaranya, kekecewaan dalam sesuatu perkara menyebabkan seseorang menjauhi Tuhan kerana berasa doanya tidak dijawab atau berasa Tuhan tidak peduli. Ketagihan arak, dadah dan sebagainya oleh seseorang itu kadangkala berpunca daripada ahli keluarganya sendiri yang telah memberi contoh tidak baik.
Total Comments:0