Sembuhkan “barah” demokrasi dengan visi Injil
Sri Paus Fransiskus menggesa umat Katolik untuk membantu membetulkan proses demokrasi melalui komuniti dan politik amal kasih.
Jul 20, 2024
TRIESTE, Itali: Sri Paus Fransiskus menggesa umat Katolik untuk membantu membetulkan proses demokrasi melalui komuniti dan politik amal kasih. “Janganlah kita terpedaya dengan penyelesaian mudah. Sebaliknya, marilah kita bersemangat tentang kebaikan bersama,” katanya pada persidangan Katolik mengenai demokrasi di bandar Trieste , Itali pada Julai 7.
Bapa Suci Fransiskus mengambil bahagian pada pagi terakhir Minggu Sosial Katolik ke-50, mesyuarat tahunan Gereja Katolik di Itali yang bertujuan mempromosikan doktrin sosial Gereja.
Tema kongres yang bermula pada Julai 3 hingga 7 ialah “Di Jantung Demokrasi: Berpartisipasi antara Sejarah dan Masa Depan.”
Acara tahunan itu, yang dimulakan semula pada tahun 1988, menggunakan Doktrin Sosial Gereja yang bertujuan untuk menawarkan visi Injil tentang fenomena sosial.
Sama seperti krisis demokrasi merentasi pelbagai realiti dan Negara, begitu juga sikap tanggungjawab terhadap transformasi sosial memanggil semua orang Kristian, di mana sahaja mereka tinggal dan bekerja, di setiap bahagian dunia.”
Sri Paus Fransiskus kemudian menawarkan imej krisis demokrasi sebagai “hati yang terluka,” di mana rasuah dan penyisihan sosial boleh berleluasa, kuasa mementingkan diri dan pihak tertentu serta tidak mampu melayani pengundinya.
“Perkataan ‘demokrasi’ bukan semata-mata berkaitan dengan undi rakyat tetapi perlu mewujudkan peluang bagi semua orang untuk menyatakan diri dan mengambil bahagian,” katanya.
Penyertaan demokratik, harus dipupuk pada usia muda, agar rakyat berjaga-jaga akan “godaan ideologi dan populis.”
Bapa Suci menyeru orang Kristian untuk mempromosikan dialog antara agama dan masyarakat yang bermanfaat membawa keharmonian serta menjunjung martabat manusia.
“Prinsip perpaduan dan subsidiariti,” katanya, membantu membina ikatan demokrasi, kerana ia menggalakkan penyertaan dan mengatasi sikap acuh tak acuh, yang merupakan “barah demokrasi.”
Sri Paus juga mengajak umat untuk menegakkan matlamat penyertaan demokratik dengan imej “hati yang disembuhkan.”
“Jika kita melihat sekeliling, kita melihat banyak tanda tindakan Roh Kudus dalam kehidupan keluarga dan masyarakat, dalam bidang ekonomi, teknologi, politik dan masyarakat.”
Persaudaraan, membuat hubungan sosial berkembang dan melahirkan semangat aspirasi kolektif, ujar Sri Paus.
“Demokrasi dengan hati yang terubat,” dapat terus memupuk impian untuk masa depan, melibatkan diri dan menyeru penglibatan peribadi dan komuniti.”
Fransiskus juga menyeru para peserta agar tidak terpedaya dengan penyelesaian mudah kepada krisis demokrasi dan menggesa mereka supaya bersemangat tentang kebaikan bersama.
“Kita mempunyai tugas untuk tidak memanipulasi perkataan demokrasi atau memutarbelitkannya dengan tajuk kosong.
“Demokrasi bukan kotak kosong, tetapi ia berkait rapat dengan nilai-nilai peribadi, persaudaraan, dan juga ekologi,” tegas Sri Paus.
Sri Paus menggesa semua penganut Katolik agar membantu proses penyembuhan proses demokrasi melalui penglibatan, bukan berdiam diri.
“Kita mesti menjadi suara, suara yang mengkritik secara membina dan memberi cadangan dalam masyarakat, khususnya mereka yang didiamkan kerana ketidak adilan sosial!”
Penglibatan Kristian dalam politik mesti mengutamakan kebajikan dan amal kasih dalam politik agar melangkaui polarisasi.
“Marilah kita melatih diri kita dalam cinta ini untuk menyebarkannya dalam dunia yang kekurangan semangat berjalan bersama. Marilah kita belajar untuk berjalan bersama-sama dengan lebih baik sebagai umat Tuhan, menjadi ragi penyertaan di antara orang-orang di tempat kita sendiri.” — CNA
Total Comments:0