Seminar Lanjutan Bimbingan dan Kaunseling di Pace Bane

Pada bulan Ogos, 2013, lebih kurang 120 peserta menyertai Seminar Bimbingan dan Kaunseling yang dikendalikan oleh Sr Lucy serta Sr Winnie Tuaran FSIC, di Pusat Pembentukan Rohani, Pace Bane, Kg Purak Papar.

Apr 03, 2014

PAPAR (Herald Malaysia): Pada bulan Ogos, 2013, lebih kurang 120 peserta menyertai Seminar Bimbingan dan Kaunseling yang dikendalikan oleh Sr Lucy serta Sr Winnie Tuaran FSIC, di Pusat Pembentukan Rohani, Pace Bane, Kg Purak Papar.

Selepas tujuh bulan berlalu, dengan mempraktikkan teknik-teknik kaunseling sepanjang tempoh tersebut, para peserta Seminar Bimbingan dan Kaunseling berhimpun kembali di Pace Bane bagi mengikuti Seminar Lanjutan Bimbingan dan Kaunseling Tahap II pada Mac 28-30 lalu.

Adalah satu keperluan bagi mengimbas kembali kejayaan program Seminar Bimbingan Asas Kaunseling melalui perkongsian pengalaman para peserta.

Pada hari pertama Seminar Lanjutan, beberapa peserta telah mengongsikan ‘kes-kes’ kecelaruan yang dialami oleh rakan-rakan, keluarga dan tetangga mereka. Mereka yang berkongsi, mengakui bahawa Seminar Asas Bimbingan dan Kaunseling pada tahun lalu banyak membantu mereka untuk lebih sabar dan cekal dalam pelayanan serta mengurangi konflik dalam keluarga.

Dalam Seminar Lanjutan kali ini, ceramah dan bengkel Bimbingan Kelompok turut diperkenalkan bagi meningkatkan kemahiran bersosial dengan orang lain. Ia juga dapat diaplikasi dan membantu para pembimbing dalam program membimbing anak-anak sekolah minggu mahupun dalam keluarga.

Apa yang menarik dalam Seminar Lanjutan ini ialah Ceramah Terapi Keluarga dan Keibubapaan turut diperkenalkan untuk meningkatkan kemahiran bagaimana melihat ketidakfungsian dalam sistem keluarga dan teknik-teknik menanganinya.

35 peserta yang berjaya menamatkan Seminar Lanjutan Tahap II ini turut diuji dengan kemampuan mereka mengendalikan sesi kaunseling . Terdapat beberapa peserta yang dikenal pasti telah menunjukkan potensi seorang pembimbing yang sabar, kreatif dan bertenaga.

Pada hari terakhir Seminar, para peserta turut merayakan Ekaristi Hari Minggu Keempat Pra-Paskah bersama Paderi yang baru ditahbis pada bulan February lalu iaitu Fr Rhobby Mojolou.

Fr Rhobby berpesan kepada para peserta agar dapat bersaksi kepada orang yang memerlukan melalui bimbingan dan kaunseling.

Salah seorang peserta Seminar Lanjutan Bimbingan dan Kaunseling, Pn Theresa Joseph dari Paroki Holy Rosary Limbahau menyatakan seminar tersebut lebih mencabar tetapi membuka minda lebih-lebih lagi mengenai topik “Keibubapaan.” Beliau berharap agar Seminar Lanjutan Tahap III akan dianjurkan lagi dengan menumpukan kepada kepimpinan dalam pelayanan Gereja.

Total Comments:0

Name
Email
Comments