Semoga kita menjadi penziarah harapan, keamanan dan kesatuan

Pesan Urbi et Orbi Sri Paus Fransiskus

Jan 05, 2025


KOTA VATIKAN: Pada pagi Krismas, Sri Paus Fransiskus menyampaikan ucapan Krismas lazimnya dari balkoni Basilika Sto Petrus di hadapan orang ramai di dataran dan secara langsung kepada orang ramai yang menonton di seluruh dunia melalui media. Prelatus itu menyampaikan berkat “Urbi et Orbi” (kepada kota Roma dan dunia) seperti yang dilakukannya pada hari Minggu Paskah.

Pelancaran tahun Jubli 2025 diraikan dalam suasana Krismas dan dalam tema “Harapan” semasa Sri Paus membuka Pintu Suci Basilika Sto Petrus pada malam Disember 24, 2024.

“Hati Tuhan sentiasa terbuka untuk kita,” ujar Bapa Suci memulakan pesan Krismasnya dengan menjelaskan bahawa kegembiraan yang kita raikan pada hari ini datang dari peristiwa yang berlaku dua ribu tahun yang lalu — kelahiran Tuhan Yesus, Firman keselamatan yang kekal dan berterusan bersabda kepada setiap umat lelaki dan wanita, “Aku mengasihi engkau, Aku memaafkan engkau; kembalilah kepadaku, Pintu hati-Ku sentiasa terbuka!”

Pintu Suci penyelamat untuk semua
Bapa Suci menekankan bahawa “Pintu hati Tuhan sentiasa terbuka dan menyeru kita untuk kembali kepada hati-Nya, yang sentiasa mengasihi dan mengampuni kita serta membolehkan kita didamaikan dengan Dia.”

Pintu-pintu Suci di empat basilika utama Vatikan dan sebuah Pintu Suci di pusat tahanan adalah “mewakili Yesus Sang Gembala Baik.”

Pintu-pintu keselamatan itu terbuka untuk semua. Pada Pintu keselamatan itu, Yesuslah yang menanti kita dengan tangan terbuka.”

“Saudara-saudari, jangan takut! Pintu Tuhan tidak pernah tertutup malah terbuka luas! Marilah kita berdamai dengan Tuhan, berdamai dengan diri kita serta sesama khususnya dengan musuh-musuh kita.

“Dengan rahmat Tuhan, tidak ada yang mustahil. Dia membuka setiap simpulan; Dia meruntuhkan setiap tembok yang memisahkan; Dia melenyapkan kebencian dan dendam. Marilah, datanglah! Yesus adalah Pintu Damai.”

Keberanian melintasi ambang Pintu Suci
Sri Paus mengakui setiap kali melintasi ambang Pintu Suci, ia memerlukan keberanian kerana kita perlu mengorbankan gaya hidup dan pemikiran lama kita, meninggalkan semua pertikaian serta menyerahkan diri kita kepada kasih Tuhan.

“Sempena permulaan Tahun Jubli, saya menjemput setiap individu, semua orang dan negara, untuk mencari keberanian yang diperlukan bagi berjalan melalui Pintu itu, untuk menjadi penziarah harapan, untuk melenyapkan bunyi senjata dan mengatasi perpecahan!”

Bapa Suci berdoa agar bunyi senjata dapat disenyapkan di Ukraine yang dilanda perang dan menggesa untuk kekuatan dan keterbukaan kepada rundingan dan dialog bagi keamanan yang adil dan berkekalan.
Uskup Roma itu juga berdoa agar perang di Timur Tengah dapat diakhiri, mengingati Palungan Bethlehem dan komuniti Kristian di Israel serta Palestine.

Sri Paus berdoa terutamanya untuk Gaza, di mana keadaan kemanusiaan teruk. “Semoga ada gencatan senjata, semoga tebusan dibebaskan dan bantuan diberikan kepada rakyat yang letih akibat kelaparan dan peperangan.”

Sangti Papa Fransiskus juga menyatakan kedekatannya dengan masyarakat Kristian di Lubnan dan di Syria pada masa peralihan kuasa ini. Beliau berdoa “pintu dialog dan keamanan dibuka di seluruh rantau tersebut, yang musnah akibat konflik dan menggalakkan rakyat Libya, bekerja untuk perdamaian nasional.”

Bantuan kemanusiaan bagi yang menderita
Sri Paus mendoakan agar kelahiran Juruselamat memberi harapan kepada ribuan kanak-kanak yang menderita wabak campak di Republik Demokratik Congo, Burkina Faso, Mali, Nigeria dan Mozambique.

Katanya krisis kemanusiaan ini disebabkan oleh perbuatan manusia: konflik bersenjata, bencana keganasan dan diburukkan lagi oleh perubahan iklim, memaksa berjuta-juta orang berpindah serta menyebabkan ramai orang dalam risiko maut.

Sri Paus juga mengingati orang-orang di Tanduk Afrika, “Semoga mereka dihadiahkan dengan keamanan, kerukunan dan persaudaraan.” Begitu juga dengan rakyat Sudan, semoga bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan, dapat sampai kepada mereka dan rundingan gencatan senjata dapat dijayakan.

Semoga Krismas membawa penghiburan kepada rakyat Myanmar, di mana konflik yang berterusan telah menimbulkan penderitaan yang besar dan menyebabkan ramai orang kehilangan tempat tinggal.

Mengingati Amerika, Bapa Suci menggalakkan pihak berkuasa politik dan orang yang berniat baik agar bekerjasama untuk mengatasi perpecahan dengan keadilan dan kebenaran.

Bapa Suci turut mendoakan bagi Haiti, Venezuela, Colombia dan Nicaragua.

Sri Paus Fransiskus tidak lupa akan penduduk pulau Cyprus, yang kini sudah lima puluh tahun menjadi pulau yang terbahagi, berdoa agar tembok pemisah dapat diruntuhkan dan penyelesaian yang dipersetujui bersama dapat dicapai dengan menghormati hak dan maruah semua masyarakat.

Yesus menanti kita
“Yesus, Firman Tuhan yang kekal dan menjelma sebagai manusia, adalah Pintu yang terbuka luas, Dia menjemput kita untuk memasuki Pintu itu, untuk menemui semula makna kewujudan kita dan menghargai kesucian semua kehidupan dan untuk memulihkan nilai asas keluarga manusia. ”

Bapa Suci menekankan Yesus menanti kita di ambang pintu, “terutama yang paling lemah seperti kanak-kanak yang menderita akibat perang dan kelaparan, orang tua terbiar dan bersendirian.”

Dia menggambarkan bagaimana Tuhan menanti mereka yang kehilangan tempat tinggal, yang melarikan diri dari tanah air demi keselamatan, kehilangan pekerjaan, para banduan dan orang-orang yang menanggung penganiayaan kerana iman mereka, dapat dihiburkan dalam pelukan-Nya.

Ampunilah hutang kami
Pada akhir pesannya, Sri Paus berdoa agar Tahun Jubli 2025 memberi peluang untuk mengampuni hutang, terutamanya hutang negara-negara termiskin.
“Kita dipanggil untuk mengampuni orang lain, kerana “Anak Tuhan, yang dilahirkan dalam kesejukan dan kegelapan malam, telah mengampuni diri kita.”

“Sebagai penziarah harapan, marilah kita keluar menemui-Nya! Marilah kita membuka pintu hati kita bagi-Nya, sebagaimana Dia telah membukakan pintu hati-Nya kepada kita.” --Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments