Senjata tidak membawa perdamaian

Sri Paus Fransiskus mengulangi seruannya untuk perdamaian. Katanya, “ketika ini, ada begitu banyak negara yang dilanda peperangan dan meminta semua orang percaya untuk berdoa.”

May 13, 2022


TAKHTA SUCI:
Sri Paus Fransiskus mengulangi seruannya untuk perdamaian. Katanya, “ketika ini, ada begitu banyak negara yang dilanda peperangan dan meminta semua orang percaya untuk berdoa.”

Sri Paus menyeru agar semua umat mendoakan para pemimpin dan mendoakan agar mereka yang menderita agar semakin ramai orang menyedari bahawa senjata tidak membawa perdamaian.

Sekali lagi, Bapa Suci mempercayakan doanya kepada Bonda Maria. Sri Paus Fransiskus yang terpaksa menggunakan kerusi roda sejak awal Mei lalu kerana masalah ligamen lutut, mengatakan beliau secara rohani, berlutut di hadapan Santa Perawan Maria.

“Saya mempercayakan kepadanya keinginan kuat ramai orang untuk perdamaian, di pelbagai belahan dunia, yang menderita akibat bencana perang yang tidak masuk akal,” katanya.

Bapa Suci berbicara demikian kepada para penziarah selepas doa Regina Coeli di Dataran Santo Petrus, 15 Mei lalu.

Pada masa itu juga, ramai umat beriman mengunjungi dan berkumpul di sekitar patung Maria yang dimuliakan di Pusat Ziarah Pompeii, berdoa bersama dan meneladani Bartolo Longo yang Terberkati. Bapa Suci mengatakan, secara rohani, beliau juga menyertai ziarah ke Pusat Ziarah itu, bertelut di hadapan Santa Perawan Maria, Bonda Keamanan, untuk bermohon anugerah perdamaian.

“Kepada Perawan yang Terberkati, saya mempersembahkan penderitaan dan air mata orang-orang Ukraine,” ucap Sri Paus dalam doanya.

“Dalam menghadapi kegilaan perang, marilah kita terus berdoa Rosari untuk perdamaian setiap hari.”

Sangti Papa juga terus berdoa untuk para pemimpin bangsa, “Agar mereka tidak kehilangan ?perasaan? terhadap orang-orang yang menginginkan perdamaian, dan tahu bahawa senjata tidak akan pernah membawa damai.”

Permintaan dua orang isteri pejuang Ukraine
Katheryna Prokopenko dan Yulya Fedosiuk, dua orang wanita dari Ukraine, datang ke Vatikan untuk bertemu dengan Sri Paus Fransiskus selepas Audiensi Umum Rabu Bapa Suci. Mereka merupakan isteri kepada tentera Ukraine, yang sedang terperangkap di Azovstal, pertahanan terakhir tentera Ukraine di Mariupol.

Kedua-dua wanita itu menyatakan harapan mereka agar pejuang Ukraine dapat dikeluarkan atau dipindahkan dari Mariupol ke negara lain. Lebih kurang 700 askar yang terperangkap itu mengalami kecederaan ringan dan parah, malah ada yang terpaksa dipotong anggota badan demi menyelamatkan mereka. Menurut laporan, ramai warga awam yang tidak keluar dari Mariupol kerana bimbang ditangkap dan diseksa oleh tentera Rusia.

Dalam pertemuan itu, Sri Paus meyakinkan Katheryna dan Yulya bahawa doanya sentiasa bersama dengan orang-orang yang menderita di Ukraine.

Kedua-dua wanita itu juga menyuarakan permintaan mereka terhadap Sri Paus agar koridor kemanusiaan dapat didirikan dalam masa terdekat untuk memindahkan mereka yang terperangkap di Mariupol.

Kedua-dua wanita itu menjadi wakil warga Ukraine, yang sanggup melakukan apa sahaja demi perdamaian. -- media Vatikan

Gambar: Seorang wanita di Ukraine meratap kehilangan tempat tinggal akibat pencerobohan Rusia. (Media Vatikan)

Total Comments:0

Name
Email
Comments