Sepanjang Paskah hayati pelayanan kerana ia ajaran Yesus
Sepanjang 11 tahun kepausannya, Sri Paus Fransiskus tidak henti-hentinya menyeru untuk prihatin terhadap mereka yang kesepian, yang dilupakan serta terabai oleh masyarakat dan dunia.
Mar 28, 2024

Sepanjang 11 tahun kepausannya, Sri Paus Fransiskus tidak henti-hentinya menyeru untuk prihatin terhadap mereka yang kesepian, yang dilupakan serta terabai oleh masyarakat dan dunia.
Kita dapat melihat Bapa Suci telah mengubah kata-katanya menjadi tindakan pada hari Khamis Putih, di mana hampir setiap tahun sejak menjadi Sri Paus, beliau memilih untuk pergi ke pusat tahanan di Roma untuk membasuh kaki para banduan dari semua peringkat umur, jantina, kewarganegaraan dan agama.
Bapa Suci menggemakan dan mencerminkan sikap rendah hati Yesus terhadap murid-muridnya dan menggalakkan kita untuk melakukan perkara yang sama dalam kehidupan kita.
Berikut adalah beberapa cadangan Bapa Suci untuk membantu kita melayani orang lain pada Paskah ini, sama ada mereka adalah ahli keluarga, rakan sekerja atau orang yang tidak dikenali!
1. Jangan melayani orang lain lalu mengharap balasan
Bapa Suci menegur pelayanan yang seperti transaksi komersial. “Banyak kali terjadi dalam hidup, kita mencari kepentingan sendiri, seolah-olah kita mengenakan bayaran antara satu sama lain. Sikap ini adalah seperti membiarkan “ular” yang mematuk dan meracuni hubungan kita.
“Melayani yang lain bermakna kita adalah saudara kepada yang lain, mungkin bantuan kita dapat membuat orang lain berkembang dan mendorong orang lain. Inilah cara untuk kita memperkembangkan dan meluaskan pelayanan,” jelasnya.
2. Ambil risiko, meskipun mereka tidak mengharapkan kita
Memang ada orang yang tidak menerima sikap baik kita, sombong atau orang yang mungkin tidak mendoakan kita; tetapi kita dipanggil untuk melayani lebih ramai orang seperti ini!” kata Sri Paus Fransiskus semasa homili Khamis Putih 2018.
“Saya fahami, sukar untuk melayani mereka yang menentang kita, tetapi Yesus memberi kita contoh: Yesus dipanggil Yesus; dia tidak dipanggil Pontius Pilatus. Yesus tidak tahu bagaimana untuk membasuh tangan orang: Dia hanya tahu bagaimana untuk mengambil risiko! Yesus mengambil risiko yang boleh mencederakan diri-Nya demi menyelamatkan atau menyembuhkan seseorang.
3. Jangan lihat perbezaan, agama atau status
Dua hari sebelum Khamis Putih pada tahun 2016, 32 orang maut dan ratusan lagi cedera di Brussels, Belgium akibat serangan pengganas pelampau ISIS.
Sebagai tindak balas, Sri Paus Fransiskus membasuh kaki pelarian dari semua bangsa dan agama di sebuah kem di Roma untuk mengingati bahawa kita semua adalah saudara dan saudari dan boleh melayani satu sama lain untuk keamanan.
4. Ingatlah bahawa Tuhan terlebih dahulu mengasihi dan menguduskan kita
“Kasih Yesus kepada kita tidak mengenal batas. Dia tidak pernah jemu menyayangi sesiapa. Dia menyayangi kita semua, sehingga memberikan nyawa-Nya untuk kita,” kata Sri Paus dalam homili 2015 pada Khamis Putih.
Yesus “menyerahkan nyawa-Nya untuk kita semua. Kasih Yesus tidak pernah mengecewakan, kerana Dia tidak pernah jemu mengasihi,” tegas Sri Paus.
Malah sebelum membasuh kaki para tahanan pada tahun itu, Bapa Suci mengatakan, “kita mesti yakin bahawa ketika Tuhan membasuh kaki kita, Dia membasuh kita sepenuhnya, Dia menyucikan kita, Dia membiarkan kita merasakan kasih-Nya...”
5. Miliki kerendahan hati seperti kanak-kanak
“Jika hati anda bukan hati seperti kanak-kanak, anda tidak akan menjadi murid Yesus,” kata Sri Paus Fransiskus.
Malah untuk menjadi yang terhebat dan dalam pelayanan, kita mesti meletakkan diri kita di kedudukan terakhir.
“Layanilah seorang akan yang lain, jadilah saudara dalam pelayanan, bukan sebagai seorang yang menguasai orang lain atau menindas orang lain. Dalam persaudaraan dan pelayanan harus sentiasa merendah diri,” katanya.
6. Melayani orang lain kerana ia ajaran Yesus
Semasa memimpin Misa Khamis Putih pada tahun 2013 buat pertama kalinya, Sri Paus Fransiskus mencuci kaki para banduan.
“Semasa Yesus membasuh kaki murid-murid-Nya, Petrus sama sekali tidak memahaminya, jadi dia menolak. Yesus menjelaskan kepada Petrus bahawa ia adalah sesuatu yang harus dilakukan-Nya.
Apa maksudnya “membasuh kaki sesama?” Bahawa kita semua mesti membantu antara satu sama lain. Kadang-kadang saya marah dengan seseorang atau orang lain … tetapi jangan biarkan ia berlarutan dan jika dia meminta bantuan anda, bantulah dia.”
7. Dari yang terhebat kepada yang terkecil
Sri Paus Fransiskus tidak pernah mahu dilayani secara istimewa, seperti boss atau orang kenamaan. Katanya, “Orang yang kelihatan paling hebat mesti melakukan pekerjaan hamba untuk menyemai kasih.
Misalnya tawarkan bantuan untuk mereka yang memerlukan. Kita semua mewakili Kristus dan lakukanlah apa yang termampu apabila ada seseorang memerlukan pertolongan anda.”
8. Memaafkan dan memohon pengampunan
Semasa memimpin Misa Khamis Putih pada tahun 2020, Bapa Suci Fransiskus menerangkan bahawa Yesus membasuh kaki para pengikut-Nya untuk mengingatkan kita bahawa kita perlu “dibasuh” atau disucikan dari dosa.
“Jangan keras kepala seperti Petrus. Biarkan kaki anda dibasuh. Tuhan adalah hamba dan sangat dekat dengan anda. Dia memberikan anda kekuatan untuk membasuh kaki orang lain.
Untuk “dibasuh”, kita harus mengampuni dan diampuni. Tawarkan pengampunan dan penghiburan kepada mereka yang menyakiti hati anda!” — Aleteia
Total Comments:0