Setiap kita ada panggilan kudus

Sebagai ahli kongregasi religius, Missionary Oblates of Mary Immaculate, saya memilih untuk membuat empat ikrar agama: kemiskinan, kesucian, ketaatan dan ketabahan.

Dec 14, 2024

Gambar ilustrasi: Sama ada kita seorang religius atau berkahwin, ditahbis atau awam, kita dikonsekrasi untuk menjalani panggilan Tuhan.


Sebagai ahli kongregasi religius, Missionary Oblates of Mary Immaculate, saya memilih untuk membuat empat ikrar agama: kemiskinan, kesucian, ketaatan dan ketabahan.

Saya melakukan ini dengan bebas, tanpa paksaan. Ia datang daripada deria dalaman yang kuat bahawa inilah yang diminta daripada saya. Kebebasan untuk bersumpah tanpa tekanan luar, adalah “kekayaan” yang tidak dimiliki oleh berjuta-juta lelaki dan wanita. Kebanyakan mereka, mengambil ikrar yang sama (walaupun dalam cara yang berbeza) kerana mereka dipaksa oleh keadaan untuk berbuat demikian. Bagi mereka, ia adalah ikrar yang dibuat oleh orang lain untuk mereka.

William Wordsworth pernah mengungkapkan puisi ini:

Hatiku bersyukur; Aku tidak bersumpah,
tetapi berkaul.
Ia ditujukan untukku; ikatan yang
tidak dapat aku hindari
Ia sesuatu yang diberikan, mengabaikannya,
aku berbuat dosa besar.

Pada pendapat saya, kebanyakan daripada kita, pernah mengenali orang tidak pernah melafazkan kaul agama secara formal tetapi menjalani ‘kaul’ ketaatan, membujang, kemiskinan dan ketabahan.

Sebahagian besar hidup mereka, disebabkan keadaan yang memerlukan, menyebabkan kebebasan mereka dirampas sehingga mereka tidak dapat membuat pilihan sendiri tentang ke mana hendak pergi dalam hidup, tentang peluang pendidikan, tentang tempat tinggal, tentang pekerjaan apa yang perlu ada dan masih tidak pasti sama ada hendak berkahwin atau tidak.

Mereka menghabiskan masa dewasa mereka secara tidak bebas, terikat oleh keadaan dan kewajipan, mengorbankan impian dan rancangan mereka sendiri demi berkhidmat kepada orang lain.

Ramai di antara kita juga mengenali orang yang kerana keadaan seperti kemiskinan, kematian ibu bapa, keluarga atau penyakit peribadi, telah menyebabkan mereka melafazkan kaul.

Beberapa orang abang saya termasuk dalam kategori itu.

Maksudnya, walaupun ikrar tersebut tidak dibuat secara eksplisit atau terbuka, ia adalah ikrar yang dikonsekrasi, kudus dalam pengertian alkitabiah.

Apakah yang dimaksudkan dengan konsekrasi? Apakah maksud penyucian? Malangnya, sehingga hari ini kita telah menjadikan perkataan ini sebagai istilah Gereja dan kita menggunakannya untuk merujuk kepada bangunan yang dikonsekrasi (Gereja), cawan yang disucikan (piala), dan orang yang ditahbiskan (para paderi dan religius yang melafazkan kaul).

Mengapa kita memanggilnya “konsekrasi”? Jawapannya terletak pada makna asal tentang apa yang dimaksudkan untuk disucikan. Dikonsekrasi bermaksud “untuk kegunaan tertentu” – namun pertamatama ia sebenarnya bukan merujuk kepada hal ehwal Gereja sahaja.

Bayangkan senario ini: Anda baharu sahaja meninggalkan pejabat dan memandu pulang ke rumah tetapi kemudian melihat kemalangan. Anda tidak mengalami kemalangan itu tetapi anda yang pertama tiba di tempat kejadian. Pada masa itu anda tidak boleh meninggalkan tempat itu begitu sahaja.

Ramai orang cedera dalam kemalangan itu dan anda berada di sana! Anda perlu bertindak balas kerana anda berada di sana. Pada saat itu, anda menjadi orang yang ditahbiskan, dikonsekrasikan oleh keadaan dan keperluan untuk membantu mangsa kemalangan. Ketika, kata-kata Wordsworth tentang “kaul tertentu”, ditujukan untuk anda.

Kejadian ini mempunyai persamaan situasi dengan Musa ketika Tuhan memintanya untuk menjadi orang yang memimpin orang Israel keluar daripada perhambaan. Musa tidak mahu pekerjaan itu dan dia juga tidak menawarkan diri untuk “perkerjaan” itu. Dia memberi pelbagai alasan bahawa dia bukan orang yang betul dan bertanya kepada Tuhan, “Mengapa saya? Kenapa tidak abang saya?”

Pada dasarnya, jawapan Tuhan adalah begini: “Kerana engkau telah melihat penindasan rakyat. Oleh sebab engkau telah melihatnya maka engkau sudah terikat dengan tanggungjawab itu!”

Itulah yang dimaksudkan untuk dikonsekrasi, dipanggil dan ditugaskan. Walaupun anda kekal bebas secara radikal (anda boleh memandu pergi dari kemalangan itu), tetapi anda berasa terikat, tidak dapat lari daripada tanggungjawab moral – seperti yang dikatakan Wordsworth, meninggalkan tugas itu bererti anda melakukan dosa besar.

Pilihan anda bukan sama ada untuk meninggalkan tempat itu atau untuk membantu! Sebaliknya, menjawab soalan ini: Apakah tanggungjawab saya di sini? Keadaan telah membuatkan anda melafazkan kaul! Bagaimana pun situasi ini boleh membantu untuk memahami panggilan, kaul dan konsekrasi. Saya telah memilih secara bebas untuk menyahut panggilan yang meminta saya untuk komited terhadap satu set kaul secara terbuka, iaitu untuk hidup dalam kesederhanaan tertentu, untuk tidak berkahwin, melayani orang lain dan untuk bertahan dalam hal-hal itu sepanjang hayat saya.

Beberapa adik-beradik saya sendiri (dan berjuta-juta wanita dan lelaki di dunia ini) telah melakukan perkara yang sama, tanpa pengiktirafan dan sokongan komunal. Mereka menjalani kehidupan yang dikonsekrasi, walaupun tanpa pengiktirafan awam.

Dalam hal ini, saya tidak mengecualikan orang yang sudah berkahwin, namun, dalam perkahwinan, mereka juga melafazkan kaul di hadapan awam dan dengan itu menerima pengiktirafan tertentu dan sokongan komunal, meskipun panggilan berkahwin dan religius itu berbeza – tetapi kita semua berada di “tempat kemalangan”, tidak bebas untuk meninggalkan tempat kejadian, ditugaskan, terikat dengan kaul yang ditujukan untuk kita. Inilah yang dikatakan “anda dipanggil!” --Fr Ron Rolheiser @ Hakcipta Terpelihara 1999- 2024

Total Comments:0

Name
Email
Comments