Setiap orang yang dibaptis harus ambil bahagian dalam misi Gereja

Setiap orang yang dibaptis memainkan peranan unik masing-masing dalam misi Gereja.

Mar 17, 2023

Sri Paus Fransiskus bersalaman dengan para wanita sempena Hari Wanita Sedunia 2023.


VATIKAN:
Setiap orang yang dibaptis memainkan peranan unik masing-masing dalam misi Gereja.

Sri Paus Fransiskus menegaskan demikian semasa Audiensi Umum Hari Rabu di Vatikan, Mac 8 yang juga merupakan perayaan Hari Wanita Sedunia.

Prelatus itu sempat memberi penghargaan kepada semua wanita, “Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen anda dalam membina masyarakat yang lebih berperikemanusiaan, melalui usaha dan karya anda dan dengan hati yang lembut.”

Kemudian, Bapa Suci meneruskan siri katekesis tentang semangat penginjilan.

Katanya, menyebarkan Injil bukanlah tugas kaum tertahbis atau individu tertentu, sebalik-nya ia adalah misi komunal yang “harus diwariskan kepada setiap generasi.”

Semangat untuk menyebarkan Injil, kata Bapa Suci, tidak dapat dipisahkan dari dimensi eksklesial ini, yang melindungi mesej Kristian daripada penyelewengan dan kepentingan duniawi.

Dekri Vatikan II tentang Misi Gereja, menyatakan bahawa semua karya penginjilan adalah bersumber daripada cinta kasih agung Tuhan, yang dicurahkan di dunia melalui misi Anak dan Roh Kudus, dan berpanjangan dalam misi Gereja untuk mewartakan cinta hingga ke hujung bumi.
Murid-murid misionari

Sebagai “murid-murid misionari”, Bapa Suci menegaskan bahawa semua yang dibaptis dipanggil untuk meneladani cinta Kristus yang tidak mementingkan diri dan sanggup berkorban.

Kata Sri Paus, orang-orang yang beriman dipanggil untuk menjadi saksi yang kreatif dan percaya kepada kebenaran firman-Nya dan kuasa-Nya yang mendamaikan, bukan sahaja untuk individu, tetapi untuk kehidupan seluruh keluarga manusia kita.

“Semangat penginjilan setiap murid misionari sangat penting kerana dalam perjalanan ziarah kita di bumi dan dalam penginjilan, tidak ada subjek yang aktif dan pasif.”

Memetik kata-katanya dalam Ensiklik Evangelii Gaudium bahawa dalam hal mewartakan Injil di dunia hari ini, adalah tugas, “Semua yang telah dibaptis, walau apa sahaja kedudukan mereka di Gereja atau tahap iman mereka, kita semua agen penginjilan!”

“Berdasarkan rahmat pembaptisan, setiap orang yang dibaptis mengambil bahagian dalam misi Gereja dan menyertai misi Kristus Raja, Imam dan Nabi.” — media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments