Siapa Yesus bagi anda?

Father David Gasikol, pembantu paderi Katedral St Francis Xavier (KSFX) Keningau memimpin Misa Kudus online sempena Hari Raya Besar Kristus Raja Semesta Alam dan Hari Belia Sedunia peringkat KSFX pada 21 November lalu.

Nov 27, 2021

KENINGAU: Seorang paderi muda bertanya kepada audiensi maya, “Siapakah Yesus bagi anda dan saya? Adakah Dia, Tuhan yang meraja dalam perbuatan, perkataan dan kehidupan kita?”

Father David Gasikol, pembantu paderi Katedral St Francis Xavier (KSFX) Keningau memimpin Misa Kudus online sempena Hari Raya Besar Kristus Raja Semesta Alam dan Hari Belia Sedunia peringkat KSFX pada 21 November lalu.

Rektor St Joseph Preparatory Seminary Formation House, Keuskupan Keningau itu, semasa menyampaikan homilinya, menjelaskan bahawa WYD biasanya dirayakan pada Hari Minggu Palma. Namun, pada November 2020, Sri Paus Fransiskus telah memindahkan perayaan ini pada Hari Raya Kristus Raja.

Kemudian Fr David beralih kepada urutan kalendar Liturgi yang berakhir pada Kristus Raja. Katanya, setiap tempoh dan perayaan dalam Kalendar Liturgi, yang bermula pada minggu Adven, kemudian Natal, oktaf Natal, seterusnya minggu biasa hingga ke musim Pra-Paskah dan masa Paskah, masa biasa hinggalah ke perayaan Kristus Raja – adalah satu siri katekismus yang sangat menarik. Dan ketika penghujung kalendar Liturgi, kita ditanya kembali oleh soalan ini: “Siapa Yesus bagi anda dan diri saya?”

“Perkataan ‘Raja’,” kata Fr David, “Pastinya kita semua mempunyai pemahaman sendiri tentang ‘Raja’. Mungkin ‘Raja’ dirujuk sebagai seorang yang berkuasa di sesebuah negara, atau orang yang kaya raya dan kebal undang-undang. Namun ini adalah sifat raja duniawi.

“Sifat rajawi yang ada pada Yesus Kristus sangat bertentangan dengan konotasi raja duniawi. Dia adalah raja yang datang ke dunia, bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani. Malah, semasa perjamuan terakhir, penginjil Yohanes menyatakan Yesus membasuh kaki para murid.

Berdasarkan keseluruhan dinamik kehidupan Yesus di dunia, kita tahu kebenaran rajawi Yesus iaitu kedatangan-Nya untuk menyelamatkan kita, amat berbelas kasihan dan menjangkau semua orang khususnya para pendosa, orang sakit, orang yang terabai dan miskin.

“Malah selepas wafat, karya Yesus tidak terhenti. Ia diteruskan oleh para rasul. Salah seorang rasulnya yang terkenal ialah Santo Paulus, yang dahulunya seorang penganiaya orang Kristian. Mengapa Yesus memilih seorang penganiaya untuk menjadi pengikutNya?

Kerana Yesus bukan hanya mengampuni dan mengasihi semua orang tetapi Dia juga memberikan kehidupan baharu serta kebebasan kepada orang yang bertobat.”

Pada penghujung Misa online, ditayangkan video-video ucapan “Selamat Hari Belia Sedunia” daripada para belia untuk semua kaum muda yang kebanyakannya mengajak rakan-rakan mereka untuk “Bangkit dan Berdiri” bersaksi pada masa yang tidak menentu ini.

Total Comments:0

Name
Email
Comments