Singkirkan gunung-gunung kejahatan

Seruan yang disampaikan Yohanes Pembaptis dua puluh abad yang lalu juga ditujukan kepada kita. Dalam seruannya itu Yohanes menyampaikan tiga syarat yang harus kita penuhi untuk dapat diselamatkan iaitu pembaptisan, pertaubatan dan pengampunan dosa.

Dec 06, 2024

HARI MINGGU
KEDUA
ADVEN
BARUKH 5:1-9
FILIPI 1:4-6.8-11
INJIL LUKAS 3:1-6

Seruan yang disampaikan Yohanes Pembaptis dua puluh abad yang lalu juga ditujukan kepada kita. Dalam seruannya itu Yohanes menyampaikan tiga syarat yang harus kita penuhi untuk dapat diselamatkan iaitu pembaptisan, pertaubatan dan pengampunan dosa.

Tiga syarat itu berkaitan erat satu sama lain.

Pembaptisan: Ia adalah suatu panggilan untuk memasuki suatu hidup dengan Yesus. Baptis bererti pembersihan diri dari segala cacat hidup, namun tidak secara automatik.

Secara simbolik niat dan tekad baik untuk berdamai dengan Tuhan itu dibuktikan dengan menerjunkan diri ke dalam sungai Yordan, agar segala kekotoran dirinya terhapus. Bagi kita itu terlaksana dalam pembaptisan.

Pertaubatan: Bertaubat bererti pengampunan dosa. Pengampunan ini merupakan suatu metanoia, suatu perubahan kea-daan hati/batin. Bukan sekadar penyesalan atas dosa-dosa yang sudah kita lakukan, melainkan suatu perubahan total dan radikal seluruh hati kita! Metanoia atau perubahan total inilah yang dapat mendatangkan pengampunan sejati.

Pengampunan: Di mana ada pertaubatan, di situlah ada pengampunan. Dengan demikian pengampunan dari segala dosa bererti membebaskan diri daripada beban berat hidup kita. Pengampunan mendatangkan rekonsiliasi dengan Tuhan dan dengan sesama.

Dan itu bererti suatu penyembuhan dan pemulihan kembali hidup kita menjadi tenang dan damai.

Pesan yang kita peroleh dalam Kitab Suci tidak pernah ketinggalan zaman, bahkan selalu relevan.

Dan pesan keagamaan/kerohanian alkitab tidak boleh dipisahkan dari hidup dan perbuatan sehari-hari.

Sebab kebenaran dan kesungguhan dari apa yang kita lakukan secara lahiriah, ditentukan oleh keadaan rohaniah/batin kita! Maka tampillah Yohanes Pembaptis. Dia tahu bahawa orang-orang Yahudi percaya kepada ajaran Taurat.

Mereka hanya taat terhadap hukum, namun bukan tujuan atau maksudnya. Dalam kenyataan di tengah-tengah masyarakat Yahudi pada zaman Yesus, sikap hidup dan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran para Nabi sangat berleluasa.

Oleh sebab itu, Yohanes Pembaptis berseru supaya orang-orang sezamannya menyiapkan jalan bagi Almasih, meluruskan jalan yang benar. Gunung-gunung kejahatan, jurang-jurang ketidakadilan dan penindasan, liku-liku jalan penipuan dan kebohongan — semua itu harus disingkirkan dan diluruskan!

Itulah unsur-unsur hidup dalam hati setiap orang, bukan hanya pada zaman Yohanes Pembaptis, tetapi pada zaman ini juga.

Seruan Yohanes Pembaptis yang sama itu juga ditujukan kepada kita. Kita diajak untuk dibaptis kembali, bertaubat kembali, agar mendapat pengampunan kembali, sehingga kita dapat bersiap dan bersedia menerima Yesus, Juruselamat kita.

Pada musim Adven, melalui material rohani dan kitab suci, kita dapat memperoleh pelbagai maklumat mengenai kedatangan Juruselamat kita.

Jangan hanya menerima maklumat belaka. Kita dituntut untuk menghayati, memahami dan melaksanakan transformasi diri, seperti disampaikan oleh Yohanes Pembaptis.

Hal lain yang patut kita perhatikan pada hari ini ialah realiti bahawa kita hidup dalam zaman “instant”, yang tak mengenal lagi kebudayaan sabar, tekun dan cepat lelah. Kita cenderung mahu serba mudah dan segera tercapai. Musim Adven diadakan agar kita benar-benar dapat menyambut kedatangan Penebus kita, harus kita fahami dan hayati dengan penuh keyakinan, harapan dan kesediaan mengalami transformasi batin yang sungguh-sungguh.

Hanya dengan sikap dasar inilah, pe-rayaan Natal sejati akan dapat dirayakan dengan sungguh-sungguh. Kita diajak memikirkan kembali makna pembaptisan kita, pertaubatan kita dan pengampunan Tuhan terhadap kita.-- Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm.

Total Comments:0

Name
Email
Comments