Sri Paus alami rahmat besar: Perjalanan Apostolik Sri Paus ke Asia Tengah
“Saya telah menjejakkan kaki ke Asia Tengah dan ia memberi rahmat kebaikan kepada saya.” Beginilah cara Sri Paus Fransiskus menilai kunjungan apostoliknya ke Mongolia baru-baru ini, menandakan Perjalanan Apostoliknya yang ke-43 ke luar negara dan negara yang ke-61 dilawatinya sebagai Sri Paus, semas
Sep 15, 2023

TAKHTA SUCI: “Saya telah menjejakkan kaki ke Asia Tengah dan ia memberi rahmat kebaikan kepada saya.” Beginilah cara Sri Paus Fransiskus menilai kunjungan apostoliknya ke Mongolia baru-baru ini, menandakan Perjalanan Apostoliknya yang ke-43 ke luar negara dan negara yang ke-61 dilawatinya sebagai Sri Paus, semasa Audiensi Umum mingguannya di Dataran Sto Petrus.
Bapa Suci telah melawat negara Asia, bersempadan dengan China dan Rusia itu pada Sept 1-4, untuk membawa sukacita Injil dan memberi galakan serta dorongan kepada komuniti Katolik Mongolia yang hanya berjumlah kira-kira 1,500.
Mungkin ada yang bertanya, “mengapa Sri Paus pergi ke tempat yang begitu jauh semata-mata melawat sekumpulan kecil Kristian?”
Prelatus itu menjelaskan, “Kerana di tempat yang jauh, tersorok, jauh dari hingar bingar dan hening, kita sering mendapati tandatanda kehadiran Tuhan. “Tuhan juga tidak hanya hadir di tempat yang meriah tetapi di kalangan mereka yang berhati sederhana, yang mengasihi Dia dalam diam.”
Sri Paus juga gembira dengan rahmat besar yang dialaminya semasa di Mongolia melalui program dan pertemuannya dengan “Gereja yang rendah hati dan bersukacita.”
"Saya telah menjadi saksi tentang kegembiraan mereka berada di tengah-tengah Gereja,” kata Sri Paus yang turut menyampaikan pesan damai kepada presiden dan rakyat China semasa berada di Mongolia.
Bapa Suci juga amat tertarik dengan perkembangan sejarah Gereja Mongolia yang bermula daripada karya-karya penginjilan para misionari. Mereka tiba kira-kira 30 tahun lalu ke negara yang mereka tidak kenali dan ketahui. Mereka mempelajari bahasa, budayanya dan mewujudkan komuniti Katolik yang benar-benar bersatu dan saling menghormati agama-agama lain di Mongolia,” jelas Sri Paus.
Sri Paus memuji komuniti Katolik di Mongolia yang ditakrifkannya sebagai “sifat kesejagatan yang memahami kesehteraan dengan menghormati dan hidup bersama dengan komuniti pelbagai iman di sekeliling mereka.”
“Beginilah seharusnya cara Gereja hidup,” kata Sri Paus, “yang bersaksi tentang kasih Yesus dengan lemah lembut, menerima dengan gembira kekayaan kepelbagaian agama dan budaya serta melayani Tuhan dan sesama dalam semangat persaudaraan.”
Gereja Katolik di Mongolia masih muda tetapi dikenali kerana karya-karya amalnya. Karya amal yang tulus merupakan kesaksian iman atau penginjilan yang terbaik.
Bapa Suci gembira dengan pembukaan ‘House of Mercy’, sebuah pusat amal pertama yang ditubuhkan di Mongolia.
Penubuhan pusat seperti itu adalah panggilan kepada “setiap komuniti kita untuk menjadikan Gereja sebagai tempat yang terbuka, berbelas kasih dan mesra, di mana setiap orang boleh masuk tanpa segan silu, di mana sesiapa sahaja boleh menyentuh dan menerima rahmat Tuhan yang membangkitkan dan menyembuhkan.”
Secara peribadi, Sri Paus mengakui bahawa kunjungannya ke Mongolia memberinya inspirasi dengan tradisi kuat orang Mongolia yang amat menghormati ibu bapa dan nenek moyang mereka serta hidup berharmoni dengan alam sekitar. — media Vatikan
Total Comments:0