Sri Paus bakal ke Kazakhstan Sept ini

Selepas melakukan ‘ziarah tobat’ ke Kanada, Sri Paus Fransiskus menyatakan hasratnya untuk melawat Kazakhstan dalam penerbangannya kembali ke Roma dari Kanada pada hari 30 Julai.

Aug 05, 2022

Gambar file: Beberapa pemimpin antara agama sedang berbincang agenda dan persiapan untuk Kongres Pemimpin Dunia dan Agama Tradisional. Gambar: Media Vatikan.


VATIKAN:
Selepas melakukan ‘ziarah tobat’ ke Kanada, Sri Paus Fransiskus menyatakan hasratnya untuk melawat Kazakhstan dalam penerbangannya kembali ke Roma dari Kanada pada hari 30 Julai. Beberapa hari kemudian, iaitu pada 1 Ogos, Pejabat Akhbar Takhta Suci mengesahkan bahawa Bapa Suci Fransiskus akan memulakan Kunjungan Kepausan beliau ke negara Asia Tengah itu pada 13– 15 September.

Lawatan Bapa Suci akan menyaksikan beliau menghadiri Kongres Pemimpin Dunia dan Agama Tradisional ke tujuh, yang akan berlangsung di Nur-Sultan, ibu negara Kazakhstan.

“Kami dengan penuh teruja menanti kenyataan rasmi yang diberikan oleh Takhta Suci dan Presiden Kazakhstan,” kata Uskup Adelio Dell’Oro dari Karaganda, mengulas mengenai pengumuman rasmi lawatan Bapa Suci yang disiarkan melalui agensi berita SIR.

Menjelaskan jangkaannya terhadap pengumuman itu, beliau mengimbas kembali bahawa Bapa Suci sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk melawat Kazakhstan semasa Uskup Dell’Oro bersama paderi lain dari keuskupan Milan, bertemu dengan Sri Paus di Santa Marta, pada 14 Julai – sempena ulang tahun ke-50 pentahbisan imamat Uskup Dell’Oro.

Prelatus itu mengatakan semasa beliau diberi kesempatan untuk berucap pada majlis itu, beliau memberitahu Sri Paus bahawa orang ramai sedang menunggunya di Kazakhstan, dan Bapa Suci menjawab, dia juga menyatakan hasratnya untuk datang ke sini.

“Kini, kami menunggu Sri Paus dengan sepenuh hati, dengan harapan beliau dapat memberikan sumbangan keamanan dan perpaduan kepada kami dan dunia,” katan Uskup Dell’Oro.

Persiapan untuk menerima kedatangan Sri Paus masih dalam peringkat awal. Uskup Dell’Oro menegaskan bahawa Presiden telah pun meminta ketua-ketua wilayah negara itu untuk memberikan bantuan kepada semua mereka yang ingin pergi menemui Bapa Suci misalnya menyediakan pengangkutan.

Menggambarkan tentang negara itu, Uskup Dell’ Oro’ menyatakan bahawa Kazakhstan ialah “negara di mana penduduk lebih 130 kewarganegaraan dan mempunyai pelbagai agama.” Maka ini adalah peluang dialog ekumenikal yang sangat besar untuk Sri Paus Fransiskus.”

Kongres Pemimpin Dunia dan Agama Tradisional ketujuh dijangka menghimpunkan pemimpin agama dan awam dari seluruh dunia.

Bapa Suci pertama yang melawat Kazakhstan ialah Sri Paus Yohanes Paulus II, yang melawat negara itu pada September 2001.

Kazakhstan adalah bekas Republik Uni Soviet di Asia Tengah yang memperoleh kemerdekaan pada tahun 1991. Setelah dikenal sebagai negara ateis di bawah pimpinan Soviet, negara baru ini menerapkan bentuk pemerintahan sekular.

Menurut jadual yang dikeluarkan oleh Vatikan, setibanya di Nur-Sultan, ibu kota negara itu pada 13 Sept, Sri Paus Fransiskus akan bertemu dengan Presiden Kassym-Jomart Tokayev, serta pegawai-pegawai kerajaan dan para pegawai diplomatik di negara itu. Dalam acara Kongres Pemimpin Dunia dan Agama Tradisional ketujuh, Bapa Suci juga akan bertemu dengan para pemimpin agama secara peribadi dan menyampaikan ucapan pada hari terakhir kongres, yang akan menyajikan deklarasi akhir. — media Vatikan/Ucan

Total Comments:0

Name
Email
Comments