Sri Paus kesal dan malu penganiayaan seksual di kalangan klerus di Perancis

Sri Paus Fransiskus meluahkan rasa sedih dan malu pada 6 Oct lalu selepas mendapat tahu ratusan ribu kanak-kanak telah dianiaya di Gereja Katolik Perancis selama 70 tahun ini.

Oct 09, 2021


VATIKAN:
Sri Paus Fransiskus meluahkan rasa sedih dan malu pada 6 Oct lalu selepas mendapat tahu ratusan ribu kanak-kanak telah dianiaya di Gereja Katolik Perancis selama 70 tahun ini.

“Ini sangat memalukan,” kata Sri Paus kepada umat awam pada 6 Oktober.

“Kepada para mangsa, saya ingin menyatakan kesedihan dan keperitan saya atas trauma yang mereka alami dan rasa malu saya, rasa malu kami, rasa malu saya kerana sejak sekian lama Gereja gagal memberi perhatian akan hal ini,” ujar Sri Paus dalam nada kesal.

Sri Paus berkata demikian selepas Komisi Bebas Penganiayaan Seksual di Gereja (CIASE) menerbitkan laporan hampir 2,500 halaman yang menganggarkan bahawa 216,000 kanak-kanak telah dianiaya oleh paderi, diakon, pertapa atau biarawan di Perancis dari tahun 1950 hingga 2020.

Ini menunjukkan bahawa ada “antara 2,900 dan 3,200” penderaan yang dilakukan oleh 115.000 klerus dan biarawan.

Kajian itu juga mengatakan bahawa “lebih dari satu pertiga serangan seksual di Gereja Katolik dilakukan, bukan oleh klerus atau biarawan, tetapi oleh orang awam.”

Sebelum memasuki Dewan Paul VI untuk audiensi bersama umat awam, Sri Paus Fransiskus meluangkan masa untuk berdoa bersama empat orang uskup Perancis untuk para mangsa penderaan seksual.

Para uskup Perancis berada di Roma sempena kunjungan ad limina mereka.

“Saya menyeru para uskup dan ketua-ketua religius untuk terus sedaya upaya melakukan segala yang mungkin agar tragedi serupa tidak berulang,” kata Paus Fransiskus.

Kardinal Seán O’Malley, presiden Komisi Kepausan untuk Perlindungan Golongan Bawah Umur juga mengeluarkan kenyataan pada 6 Oktober, menyebut laporan itu sebagai “kegagalan kepemimpinan Gereja.”

Beliau mengatakan bahawa para uskup Perancis telah ditugaskan untuk meneliti perkara ini dan harus disatukan di semua peringkat pihak berkuasa. Kardinal itu juga menekankan bahawa Gereja di Perancis telah mengambil langkah pertama yang diperlukan untuk menangani tragedi penderaan seksual. — CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments