Sri Paus raya keamanan bersama kanak-kanak

Hari Kanak-Kanak Sedunia kali pertama, Mei 25-26

Jun 08, 2024


TAKHTA SUCI:
“Apakah nama Bonda kita di syurga?" tanya Sri Paus Fransiskus semasa memimpin Misa Kudus bersama kanakkanak. Suara kanak-kanak bergema, “Maria!” Kemudian Bapa Suci dan kongregasi kanak-kanak mendaraskan doa Salam Maria bersama-sama. Demikianlah suasana riuh dan gembira Misa Kudus pertama Sri Paus Fransiskus sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia pada Mei 26 lalu, di Dataran Sto Petrus.

Sri Paus Fransiksus mendapat inspirasi untuk mengadakan Hari Kanak-Kanak Sedunia setelah bertemu dengan sekumpulan kanakkanak di Vatikan pada November 7 yang bertema, “Mari Belajar daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan.”

Uskup Roma itu menyedari bahawa perbualan, pertemuan dan pelayanan pastoral perlu diteruskan dan diperluaskan kepada lebih ramai kanak-kanak dan orang muda.

Oleh itu, Hari Kanak-Kanak Sedunia diadakan setiap Mei 25 dan pada acara pertama, seramai 50,000 kanak-kanak dari seluruh dunia, berada di Roma untuk bertemu, berdialog dan berdoa bersama Sri Paus Fransiskus. Dengan tema, “Lihatlah, Aku menjadikan segala sesuatu baru.” (Wahyu 21:5), pada hari pertama perayaan, beberapa orang kanak-kanak yang mewakili lima benua, mengajukan soalan untuk dijawab oleh Bapa Suci.

Antara kanak-kanak yang mengajukan soalan ialah seorang kanak-kanak dari Indonesia yang bakal dikunjungi oleh Sri Paus pada bulan September itu. Kanak-kanak itu bertanya, andai Sri Paus dapat melakukan mukjizat atau keajaiban, apakah mukjizat yang dilakukannya?

“Andai saya boleh melakukan mukjizat, saya mahu semua kanak-kanak mempunyai apa yang mereka perlukan untuk hidup, untuk makan, untuk bermain, untuk pergi ke sekolah. Inilah keajaiban yang saya ingin lakukan,” kata Sri Paus Fransiskus.

Pada keesokan harinya, pada acara terakhir Hari Kanak-Kanak Sedunia, 50,000 kanakkanak itu bersama semula dengan Bapa Suci dalam Misa Kudus yang juga jatuh pada Hari Raya Tritunggal Mahakudus.

Berucap kepada kanak-kanak yang berkumpul, Sri Paus Fransiskus menekankan persekutuan dan kasih sayang yang mendalam dalam Tritunggal Mahakudus, menggambarkannya sebagai sebuah keluarga. “Kita berdoa kepada Tuhan, Bapa, Putera dan Roh Kudus. Berapa banyak ‘tuhan’ yang ada? Cuma Satu dalam tiga peribadi,” jelasnya.

Sri Paus terus bertanya kepada kanakkanak yang berkumpul, “apabila kita berdoa kepada Bapa, apakah doa yang kita semua doakan?”

Kanak-kanak itu menjawab, “Bapa Kami”, selepas itu Bapa Suci menggalakkan mereka untuk sentiasa meminta bimbingan daripada Tuhan, Bapa yang mencipta kita semua dan sangat mengasihi kita.

Kemudian, Bapa Suci mengalihkan perhatian kanak-kanak kepada Yesus. “Kita berdoa kepada Yesus kerana Dia suka menolong kita, Dia sentiasa dekat dengan kita dan apabila kita menerima komuni, kita menerima Yesus dan Dia mengampuni semua dosa kita!”

Seterusnya Bapa Suci bertanya, “adakah benar bahawa Yesus mengampuni segalagalanya?” dan kanak-kanak yang hadir dengan yakin menjawab “ya!”

Tentang Roh Kudus, Sri Paus Fransiskus menjelaskan bahawa memahami Roh Kudus mungkin mencabar. Roh Kudus adalah kehadiran ilahi dalam diri kita, diterima melalui Pembaptisan dan Sakramen.

“Roh Kudus menemani kita dalam kehidupan,” katanya kepada kanak-kanakseraya menjelaskan bahawa Roh Kudus membimbing kanak-kanak untuk berbuat baik, menawarkan keselesaan dan kekuatan dalam masa yang sukar. -- media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments