Sri Paus secara rasmi lantik umat awam untuk pelayanan baharu

Takhta Suci telah mengumumkan bahawa Sri Paus Fransiskus akan menganugerahkan pelayanan baharu untuk katekis, lektor dan alkolit kepada lelaki dan wanita awam buat pertama kali di Basilika St. Peter.

Jan 21, 2022

Seorang katekis memimpin “Renungan Kitab Suci” dengan kelompok penghuni jalanan di Kota Pasay di ibu kota Filipina. (Foto oleh Jire Carreon/LiCASnews.com)


VATIKAN:
Takhta Suci telah mengumumkan bahawa Sri Paus Fransiskus akan menganugerahkan pelayanan baharu untuk katekis, lektor dan alkolit kepada lelaki dan wanita awam buat pertama kali di Basilika St. Peter.

Para calon dari tiga benua akan menerima pelayanan baharu tersebut pada Misa Hari Minggu Sabda Tuhan, 23 Januari.

Dalam surat apostolik Spiritus Domini, Sri Paus telah mengubah Kod Hukum Kanon, yang sebelum ini membataskan pelayanan di kalangan umat awam.

Pelayanan yang dilembagakan adalah pelayanan formal di dalam Gereja Katolik yang terdiri daripada katekis, lektor dan alkolit di kalangan umat awam.

Dua orang umat awam dari wilayah Amazon di Peru akan dilantik secara rasmi menjadi katekis oleh Sri Paus, bersama calon lain dari Brazil, Ghana, Poland, dan Sepanyol. Pelayanan lektor akan diberikan kepada umat Katolik awam dari Korea Selatan, Pakistan, Ghana, dan Itali.

Seorang lektor ialah seseorang yang membaca Kitab Suci – selain Injil yang hanya boleh dibaca oleh diakon dan paderi semasa Misa.

Menurut pengumuman Vatikan pada 18 Januari, setiap calon akan dilantik melalui ritus upacara yang disediakan oleh Kongregasi Ibadah Ilahi dan Disiplin Sakramen.

Jika pelantikan berlangsung selama Misa, maka setelah pewartaan Injil, seorang imam atau diakon akan memanggil nama masing-masing calon, yang akan menghadap uskup, menjawab: "Ini aku."

Ritus itu juga menyarankan agar uskup memberikan homili singkat tentang peranan katekis. Ada undangan doa, berkat, dan salib diserahkan kepada setiap katekis baharu.

Para calon lektor dan alkolit akan diberikan Alkitab, manakala katekis akan diberikan salib.

Menurut surat apostolik Antiquum ministerium, orang awam yang dilantik dalam pelayanan katekis harus memiliki “iman yang mendalam dan kedewasaan manusia,” menjadi peserta aktif dalam kehidupan masyarakat Kristian, dan “mampu menyambut orang lain, menjadi murah hati dan menjalani kehidupan persaudaraan.”--CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments