Sri Paus serukan kedamaian
Sri Paus Fransiskus menyeru semua orang berdoa untuk perdamaian, khususnya di Tanah Suci di mana konfliknya bukan lagi “peperangan”, namun sudah menjadi “terorisme”.
Dec 01, 2023
TAKHTA SUCI: Sri Paus Fransiskus menyeru semua orang berdoa untuk perdamaian, khususnya di Tanah Suci di mana konfliknya bukan lagi “peperangan”, namun sudah menjadi “terorisme”.
“Saya mohon, marilah kita bergerak menuju perdamaian. Berdoalah untuk perdamaian. Semoga Tuhan membantu kita untuk tidak terus-terusan membunuh semua orang,” kata Sri Paus. Pada akhir audiensi umum mingguannya di Dataran Sto Petrus pada November 22, Bapa Suci mengingatkan semua orang “jangan lupa untuk bertekun dalam doa bagi mereka yang menderita kerana peperangan, terutama bagi orang-orang terkasih yang berada Ukraine, Israel dan Palestine serta Myanmar.
Bapa Suci juga mengatakan bahawa sebelum audiensi, beliau telah bertemu secara berasingan dengan sekumpulan warga Israel yang mempunyai sanak saudara yang ditahan di Gaza dan sekumpulan warga Palestina yang memiliki keluarga di Gaza.
Kedua-dua kumpulan ini “sangat menderita kerana peperangan. Tetapi, ini bukan lagi setakat perang tetapi terorisme.”
Bapa Suci meminta masyarakat untuk berdoa agar Tuhan menjadi perantara dan “membantu kita memecahkan masalah dan tidak terdorong oleh hawa nafsu yang akhirnya membunuh semua orang. Mari kita berdoa untuk rakyat Palestine, mari kita berdoa untuk rakyat Israel, agar perdamaian dapat terwujud.” Melalui Jaringan Doa Sedunia Sri Paus, Fransiskus juga mendorong masyarakat untuk terus berdoa bagi perdamaian.
“Apa yang terjadi di Tanah Suci sangat menyakitkan. Sangat menyedihkan. Rakyat Palestine, rakyat Israel, mempunyai hak atas perdamaian. Kedua-dua bangsa yang bersaudara ini mempunyai hak untuk hidup damai,” ujarnya dalam bahasa Sepanyol melalui video yang diterbitkan pada November 22. Video itu juga turut menyediakan sarikata dalam bahasa Inggeris, Perancis, Portugis, Itali, Arab dan Ibrani.
“Mari kita berdoa untuk perdamaian di Tanah Suci. Mari kita berdoa agar kesukaran- kesukaran ini akan selesai melalui dialog dan perbincangan, bukan dengan segunung kematian di pihak masingmasing, katanya.
Sebelum itu, pada November 19, Sri Paus Fransiskus mengenang Myanmar di mana peningkatan permusuhan antara junta dan kumpulan bersenjata etnik minoriti, Tentara Arakan, telah menular ke pelbagai kota di mana warga sivil terjebak dalam serangan balas.
“Saya mengatakan kembali kedekatan saya dengan negara tercinta masyarakat Myanmar yang terus menderita kerana kekerasan dan penindasan. Saya berdoa agar mereka tidak putus asa dan selalu percaya pada bantuan Tuhan.”
Perangan tidak ada untungnya, ia membawa kemusnahan masa hadapan, satu-satunya pihak yang memperoleh keuntungan dari konflik adalah mereka yang membuat senjata, ujar Bapa Suci Fransiskus. — media Vatikan
Total Comments:0