Sto Joseph beri inspirasi orang biasa dapat melakukan perkara luar biasa

Tahun Santo Joseph telah diisytiharkan oleh Sri Paus Fransiskus bermula 8 Disember 2020 sehingga 8 Disember 2021.

Apr 03, 2021

TELUPID: Tahun Santo Joseph telah diisytiharkan oleh Sri Paus Fransiskus bermula 8 Disember 2020 sehingga 8 Disember 2021.

Bersesuaian dengan perayaan pesta St. Joseph yang jatuh pada 19 Mac 2021, Keuskupan Sandakan secara rasminya telah melancarkan Tahun St. Joseph di peringkat diosis bertemakan “Perlihatkan dirimu sebagai bapa, dan bimbinglah jalan kehidupan kami”.

Bagi peringkat paroki pula, Misa Kudus Solemniti diadakan sebagai memperingati St. Joseph sebagai pelindung gereja yang dipimpin oleh Fr. Christopher Ireneus.

Umat yang hadir terlebih dahulu mengikuti ibadat jalan salib pada pukul 6.30 petang disusuli dengan perayaan Ekaristi.

Pada awal perayaan misa kudus, Diakon Andy Borine telah membacakan surat Apostolik Sri Paus Fransiskus “Patris Corde” — Peringatan 150 tahun Pemakluman Santo Joseph Sebagai Pelindung Gereja Semesta.

Dalam surat tersebut, Sri Paus Fransiskus menggambarkan peribadi Santo Joseph sebagai seorang pencinta, lembut dan penuh kasih, taat, menerima serta berani secara kreatif yang dapat dijadikan teladan.

Situasi pandemik yang berlaku masa kini menjadi sumber inspirasi dalam surat tersebut bahawa kesabaran itu akan memberikan pengharapan. Sejurus selepas itu, gimik perasmian pelancaran tahun St. Joseph disempurnakan oleh paderi paroki.

Fr. Christopher Ireneus dalam homilinya mengajak umat untuk mengenal lebih dekat tentang St. Joseph.

Dalam alkitab, tidak banyak cerita mengenai St. Joseph yang dapat dibaca namun jika direnungkan, peranannya sangat besar dalam kisah penyelamatan kita.

“St. Joseph merupakan bapa kepada Yesus yang telah menjaga keluarganya serta membimbing Yesus dalam kehidupannya. Kisah-kisah St. Joseph dalam Injil ini dapat dikaitkan dengan peranan seorang ayah dalam keluarga yang sanggup menghadapi segalacabaran dan dugaan dalam menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk membimbing dan melindungi keluarga. Bagi diri sendiri pula, apakah yang dapat dilakukan untuk menghayati dan menyedari peranan St. Joseph dalam kehidupan keluarga kita?”

Justeru, siapa pun kita, sebagai seorang ayah, ibu mahupun anak cabaran tetap ada. Namun, kerana iman, kekuatan dan kepercayaan kepada Tuhan, seperti St. Joseph yang mampu melakukannya, demikian juga kita boleh menjadi seperti dia. Seiring dengan pelancaran tahun St. Joseph, kita juga perlu sentiasa merenung akan kehidupannya dan berdoa untuk kehidupan kita sendiri. Melalui hubungan dengan Tuhan, kita akan dikuatkan untuk menghadapi apa jua yang direncanakan untuk kita.

Perayaan misa kudus diakhiri dengan penyerahan poster Tahun St. Joseph kepada semua kapela di paroki St. Martin, Telupid yang diwakili oleh Katekis Wilfred A. Pain selaku Pengerusi Komiti Katekis. — dospo Sandakan

Total Comments:0

Name
Email
Comments