Tahun Suci 2025: 32 juta penziarah dijangka hadir
Persiapan perayaan Jubli 2025 berjalan lancar dengan anggaran lebih 32 juta orang penziarah dijangka mengambil bahagian. Laporan perkembangan persiapan tentang acara berskala besar yang dianjurkan oleh Dikasteri untuk Penginjilan telah dibentangkan pada Mei 9 di Vatikan.
May 19, 2023

TAKHTA SUCI: Persiapan perayaan Jubli 2025 berjalan lancar dengan anggaran lebih 32 juta orang penziarah dijangka mengambil bahagian. Laporan perkembangan persiapan tentang acara berskala besar yang dianjurkan oleh Dikasteri untuk Penginjilan telah dibentangkan pada Mei 9 di Vatikan.
Uskup Rino Fisichella, Pro-Prefek Seksyen Dikasteri yang bertanggungjawab menyelaraskan acara itu menjelaskan bahawa persiapan sedang berjalan dengan lancar.
Selama beberapa bulan, empat komisi — pastoral, budaya, komunikasi, dan ekumenikal — dan jawatankuasa teknikal telah bekerjasama mempersiapkan perayaan Jubli. Setiap minggu, diadakan mesyuarat di Palazzo Chigi bagi memantau persiapan, kata Uskup Agung Fisichella.
Empat komisi itu bukan sahaja akan memberikan sokongan untuk dialog antara agama tetapi juga akan mengambil bahagian dalam penganjuran perayaan untuk ulang tahun ke-1,700 Konsili Nicaea, yang jatuh tepat pada tahun 2025.
“Ini adalah ulang tahun yang sangat penting bagi semua orang Kristian kerana Konsili Kristologi pertama berlaku di Nicaea,” kata Uskup Agung Fisichella.
Acara ziarah Jubli
Pendaftaran akan dibuka pada bulan September melalui laman web rasminya yang menyediakan sembilan bahasa.
Selepas mendaftar, para penziarah akan menerima peta digital yang akan membo-lehkan mereka mengakses aturcara Jubli dan menganjurkan ziarah mereka ke Pintu Suci Basilika St. Peter.
“Kad Ziarah” yang boleh dibeli dengan harga “beberapa euro” akan memberikan diskaun bagi makanan dan keperluan lain, jelas Archbishop Fisichella.
Tiga jadual perjalanan ziarah dicadangkan untuk Jubli ini: ziarah tradisional 25 km (sekitar 15.5 batu) ke tujuh gereja Rom; ziarah yang didedikasikan kepada santa-santa pelindung wanita dan doktor Gereja; dan perjalanan merentasi “Gereja Kesatuan Eropah” (Iter Europaeum).
Tarikh rasmi pembukaan dan penutupan Jubli akan diumumkan pada Mei 9, 2024 – sempena Hari Raya Kenaikan Yesus ke Syurga melalui Doktrin Rasmi Sri Paus (Papal Bull).
Walau bagaimanapun, beberapa tema perayaan setiap bulan telah diketahui iaitu: penguatkuasaan undang-undang (Januari); orang kurang upaya (April); usahawan/pemuzik (Mei); dunia sukan/pemimpin politik (Jun); para tahanan (Julai); belia (Ogos); dan dunia pendidikan (Oktober).
Bermula Mei 10, maklumat tentang Tahun Suci 2025 boleh diakses melalui laman web www.iubilaeum2025.va.
Untuk persiapan orientasi rohani, Sri Paus Fransiskus telah meminta agar tahun 2023 didedikasikan kepada empat konstitusi Konsili Vatikan II dan Tahun 2024 didedikasikan untuk doa.
Lagu Rasmi Tahun Suci 2025
Lagu Tahun Suci 2025 juga telah dilancarkan. Lirik lagu ditulis oleh ahli teologi dan ahli muzik Pierangelo Sequeri, berdasarkan tema rasmi “ Penziarah Harapan.”
Muzik pujian itu digubah oleh pemuzik Itali, Francesco Meneghello.
Beliau dipilih daripada 270 komposer dari 38 negara.
Aspek yang Direnungkan dalam Masyarakat
Sri Paus Fransiskus ketika bersetuju dengan tema Tahun Suci 2025: Penziarah Harapan, pada Januari 13 lalu menekankan pentingnya dimensi spiritual Jubli “yang menyeru pertobatan” dan mengungkapkan harapannya agar khusus juga diberikan pada perawatan rumah kita bersama, ke-rana “semakin ramai lelaki dan wanita, termasuk kaum muda dan kanak-kanak, telah menyedari bahawa kepedulian terhadap ciptaan adalah ekspresi penting dari iman kita kepada Tuhan dan ketaatan kita pada kehendak-Nya.”
Tahun Suci, atau Jubli, dalam tradisi Katolik Romawi adalah acara keagamaan yang hebat. Ia adalah tahun pengampunan dosa; pendamaian antara musuh, pertobatan, perdamaian dan perpaduan. Ia adalah, tahun Kristus yang membawa kehidupan dan rahmat kepada manusia.
Ia digelar Tahun Suci bukan sahaja kerana ia bermula dan diakhiri dengan tindakan-tindakan suci tetapi juga kerana tujuannya adalah untuk menggalakkan kekudusan hidup.
Meskipun Roma adalah pusat Tahun Suci 2025 tetapi perayaan ini akan tersebar di seluruh keuskupan dunia. -- media Vatikan
Total Comments:0