Tenaga palsu di sebalik kebenaran yang diperjuangkan
Memang benar bahawa kebenaran sahaja tidak mencukupi. Ia harus diseimbangkan dengan sifat-sifat keilahian Tuhan iaitu keesaan, kebaikan, dan keindahan.
May 08, 2014
Memang benar bahawa kebenaran sahaja tidak mencukupi. Ia harus diseimbangkan dengan sifat-sifat keilahian Tuhan iaitu keesaan, kebaikan, dan keindahan.
Ia mungkin sesuatu yang abstrak tetapi kita akan memahami perkara ini apabila menghadapi situasi bahawa ada kalanya kita mempunyai jawaban yang benar tetapi tidak tepat. Bagaimana? Mengapa jika kita bertindak dengan benar tetapi terasa ia adalah salah?
Penjelasan pertama ialah kita mungkin bertindak di luar kebenaran meskipun pada hakikatnya, kita bertindak dengan betul tetapi yang salah ialah semangat kita.
Sebuah kenyataan terkenal T.S Eliot berbunyi seperti ini, “Godaan terakhir adalah pengkhianatan terbesar: Untuk melakukan perbuatan yang betul bagi alasan yang salah.”
Kita boleh memahami perkara ini dengan menghayati kisah abang kepada anak yang hilang (The Prodigal Son). Pada luaran atau fizikalnya, si abang kelihatan sangat setia dan patuh kepada bapanya.
Dia membuktikan bahawa dia sentiasa melakukan kerja-kerja yang betul dan memperlihatkan kesetiaannya tanpa berbelah bahagi. Dia mematuhi semua perintah bapanya, tidak pernah meninggalkan rumah bapanya, melakukan semua kerja yang diperlukan. Ironinya, si abang gagal melihat dengan jelas bahawa dia sebenarnya ‘bukan’ berada di dalam rumah bapanya sebaliknya berdiri di luar rumah bapanya dan dia dijemput masuk ke dalam rumah oleh bapanya dengan lemah-lembut.
Bagaimana anak yang tua itu berada di luar rumah bapanya sedangkan dia mematuhi segala perintah, taat kepada bapanya dan tidak pernah meninggalkan rumah bapanya? Kemarahan dan kebencian. Anak yang tua bertindak betul, tetapi semangat di dalam hatinya adalah sebaliknya. Kemarahan dan kebencian bukanlah tenaga yang seharusnya digunakan untuk menjana kebenaran.
Kita boleh bertindak betul, setia dan patuh tetapi kita masih belum dapat memasuki rumah bapa Syurgawi dan berada di luar lingkungan masyarakat kerana terdapat api kemarahan atau kebencian di dalam hati kita. Bersyukur merupakan tenaga yang diperlukan untuk menjana kebenaran.
Seperti abang yang tua kepada anak yang sesat, kita boleh melakukan semua perkara yang betul tetapi entah bagaimana, ia adalah salah. Dan inilah cabaran kepada kita sebagai individu dan Gereja dalam menawarkan kebenaran, mencari jawaban yang betul bagi orang-orang di sekeliling kita, agar anak-anak kita yang tidak lagi ke Gereja, dapat menjadi anggota Gereja dan masyarakat yang bersatu.
Sekiranya di dalam hati kita bercakap tentang kebenaran, ia juga mempunyai unsur-unsur seperti elitisme, keangkuhan, kemarahan, kurang menghormati, kurang memahami atau lebih teruk lagi, kepahitan moral. Ini menyebabkan kita tidak dapat mendengar kebenaran bukan disebabkan kerana kebenaran kita adalah salah tetapi kerana tenaga kita yang tidak betul.
Itulah sebabnya Yesus memberi peringatan di dalam perumpamaan mengenai bercakap akan kebenaran. Kebenaran bukanlah sebuah ‘tukul besi’ untuk menekankan kata-kata kita sebaliknya kebenaran merupakan sebuah ajakan yang harus ditawarkan kepada orang lain dengan hormat.
Mungkin, kita masih berpotensi terperangkap dalam salah faham kedua iaitu kita mempunyai jawaban yang betul dan tenaga yang betul, tetapi mempunyai pemahaman yang salah terhadap jawaban-jawaban tersebut. Sebagai contoh, di dalam Injil Markus, ketika Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya mengenai soalan ini, “Menurut kamu, siapakah Aku ini?” Petrus menjawab dengan betul, “Engkau adalah Kristus, Sang Penyelamat.” Namun jawabannya segera dihentikan oleh Yesus (Jangan beritahu orang lain!) dan menegur Petrus dengan kata-kata ini, “Enyahlah Iblis!” Mengapa Yesus berkata sedemikian? Bukankah jawaban Petrus adalah betul?
Jawaban Petrus memang betul, Yesus adalah Kristus tetapi pemahamannya tentang jawaban yang diberikannya itu adalah salah. Bagi Petrus, konsep Mesias digambarkan seperti kuasa duniawi dan mempunyai keistimewaan duniawi, sedangkan erti Mesias bagi Yesus ialah penderitaan dan kematian. Oleh itu, Petrus menjawab dengan betul tetapi pemahamannya adalah tidak tepat.
Beberapa sarjana berpendapat bahawa alasan sebenar di sebalik “rahsia mesianik” di dalam Injil tersebut, di mana Yesus berkali-kali meminta pengikut-pengikut-Nya agar tidak mendedahkan identiti-Nya.
Keengganan Yesus untuk membenarkan para pengikut-Nya menyebarkan Dia secara terbuka adalah kerana bimbang mereka tidak memahami identiti-Nya yang akan mengakibatkan pewartaan serta pesanan yang salah lebih-lebih lagi sebelum kebangkitan semula dan Pentekosta.
Oleh itu, kita masih boleh memberikan jawaban yang betul tetapi salah kerana tenaga yang tidak tepat mengiringi jawaban tersebut atau kerana kita mempunyai pemahaman yang salah mengenai jawaban tersebut.
Adalah baik untuk kita ingati terutama apabila kita melakukan karya-karya pelayanan sama ada dalam hal agama, moral atau sosial.
Kita semua mungkin mempunyai ‘air kehidupan’ iaitu kebenaran yang membebaskan umat manusia dan alasan yang tepat tetapi tidak ada seorang pun yang akan menerimanya, kecuali diri sendiri, sekiranya tenaga kita salah atau pemahaman kita tentang kebenaran adalah salah.
Ia adalah mudah untuk merasionalkan sesuatu perkara kerana kita menganggap kita mempunyai ciri-ciri nabi, hamba yang setia, perwira terakhir kepada kebenaran yang masih ada, bahawa kita didengar dan mengapa kita dibenci. Tetapi, lebih kerap berlaku, kita tidak didengari kerana kita disalah faham, elitis, tidak bersimpati, tidak mengasihi, bukan kerana kita pahlawan kebenaran atau keadilan.
Maka kita perlu merendahkan diri dan mendengar amaran Yesus untuk melindungi “rahsia mesianik” dan “bercakap kebenaran kita di dalam perumpamaan.” Ringkasnya, kita perlu berhati-hati agar tenaga palsu di sebalik kebenaran atau salah faham mengenai kebenaran akan menjauhkan kita daripada kerasulan sehingga Yesus menegur kita dengan kata-kata, “Enyahlah Iblis!” --Fr Ron Rolheiser @ Hakcipta Terpelihara 1999-2014
Total Comments:0