Tiga tahun tidak bertemu, AKAYA-27 bersua di media digital

Alumni Kuching Archdiocesan Youth Apostolate Ke-27 (AKAYA-27) telah menganjurkan perjumpaan dalam talian pada 21 Ogos 2021 dengan menggunakan platform Zoom Meeting.

Oct 09, 2021


KUCHING:
Alumni Kuching Archdiocesan Youth Apostolate Ke-27 (AKAYA-27) telah menganjurkan perjumpaan dalam talian pada 21 Ogos 2021 dengan menggunakan platform Zoom Meeting. Program selama dua jam ini disertai 37 peserta AKAYA-27 dan juga beberapa orang fasilitator, termasuk Fr Ramon Borja SDB, Sr Martina SSFS, Sr Evelyn SSFS, Br Davie Entalai dan Bro Henry Lawrence.

Karen Bulan Jeffrey, selaku koordinator program ini, menyatakan tujuan program WHAT’S UP! AKAYA-27 diadakan adalah untuk menghimpunkan semula atau mengadakan reunion selepas tiga tahun tidak berjumpa.

Program waktu malam itu diselitkan dengan aktiviti seperti permainan dan sesi perkongsian Injil dalam kumpulan-kumpulan kecil. Walaupun tidak dapat berjumpa secara bersemuka pada masa kini, namun hal ini tidak mematahkan semangat para peserta untuk berjumpa dan berdoa secara online.

Karen juga mendapat inspirasi untuk mengatur program ini setelah dia mengikuti program ALPHA Online yang dianjurkan oleh CVS Young, Puncak Alam dan Shah Alam. Manakala bagi sesi perkongsian Kitab Suci pada malam itu, petikan diambil daripada Yohanes 6:51: “Akulah roti hidup yang telah turun dari syurga. Jikalau seorang makan dari roti ini, ia akan hidup selama-lamanya, dan roti yang Ku berikan itu ialah daging-Ku, yang akan Kuberikan untuk hidup dunia."

Meskipun tidak ramai peserta & fasilitator AKAYA-27 yang hadir pada malam itu disebabkan oleh masalah talian internet yang kurang baik, pihak penganjur melihat sambutan ini sebagai satu permulaan yang baik.

Memetik ucapan Maria Amella, koordinator belia KAYC, Karen berharap para belia mempunyai inisiatif sendiri untuk menganjurkan program bagi pembangunan rohani belia.

“Sekiranya tidak pasti bagaimana untuk mengembangkan atau merealisasikan idea anda, hubungi KAYC dan kami sentiasa terbuka untuk mendengar, bekerjasama atau berkolaborasi dengan para belia,” katanya.

Berikut adalah testimoni beberapa peserta dan penganjur program:

Saya berasa teruja, gembira kerana dapat berkumpul dan 'bersharing' dengan kawan-kawan serta para fasilitator yang telah lama tidak berjumpa. Ia mengingatkan saya semula kepada kenangan bersama ketika KAYA yang berbeza pada masa kini. Masa dua jam terasa tidak cukup, dan saya berharap akan ada lagi program seperti ini pada masa akan datang. – Basilica Laurentia Unie

Program ini membantu saya untuk mengingatkan semula langkah-langkah dalam perkongsian Injil, dan saya berharap AKAYA-27 dapat berkumpul semula untuk sesi seperti ini dan program lain. Kalian semua tetap manis dalam ingatan. Stay safe & stay home everyone. – Evalin Anak Dominic

Jauh di lubuk hati saya berkata, “Memang bagus, walaupun dalam keadaan pandemik ini, para pemuda pemudi masih dapat berkongsi Firman Tuhan dan pengalaman mereka”. Menerusi Firman Tuhan dalam Injil Yohanes 6:51, saya dapat merenungkan betapa laparnya saya akan Ekaristi kerana gereja telah ditutup. Menghadiri Misa, berdoa dan menerima komuni adalah sesuatu yang amat dirindui. Daripada perkongsian sesama, kami dapat memahami situasi rakan masingmasing. – Sr Martina SSFS. — Today's Catholic

Total Comments:0

Name
Email
Comments