Tinggalkan polemik, temui semula keindahan liturgi

Sri Paus Fransiskus telah menulis Surat Apostolik Desiderio Desideravi kepada umat Tuhan mengenai liturgi, untuk mengingati makna mendalam perayaan Ekaristi dan menjaga persekutuan.

Jul 01, 2022

Tinggalkan polemik untuk mendengar apa yang dikatakan oleh Roh kepada Gereja — petikan Surat Apostolik “Desiderio desideravi”oleh Sri Paus Fransiskus. Gambar: Media Vatikan.


VATIKAN:
Sri Paus Fransiskus telah menulis Surat Apostolik Desiderio Desideravi kepada umat Tuhan mengenai liturgi, untuk mengingati makna mendalam perayaan Ekaristi dan menjaga persekutuan.

Bapa Suci menerbitkan Desiderio Desideravi pada 29 Jun 2022, yang merangkumi 65 perenggan dan menghuraikan keputusan pleno Februari 2019 Dicastery of Divine Worship dan mengikuti motu proprio Traditionis Custodes.

Dalam surat yang menjemput seluruh Gereja untuk “menemui semula, melindungi, dan untuk menghidupkan kebenaran dan kuasa perayaan Kristian,” Bapa Suci Fransiskus mengimbas kembali kepentingan konstitusi Konsili Vatikan II, “Sacrosanctum Concilium,” yang membawa kepada teologi liturgi yang lebih indah. Prelatus itu mahu keindahan perayaan Kristian dan kesannya terhadap kehidupan Gereja tidak dirosakkan oleh pemahaman cetek atau dieksploitasi dalam beberapa bentuk visi ideologi” (16).

Banyak polemik mengenai “persoalan liturgi,” kerana, liturgi adalah kemuncak dan sumber semua karya Gereja.

Fransiskus menyatakan beliau sukar memahami sikap Katolik yang menolak Konsili Vatikan II (KV II) dan pembaharuan-pembaharuan liturgi yang diluluskan melalui KV II.

Desiderio Desideravi juga menekankan ketegasan Fransiskus menolak Misa Latin Tradisional tahun lalu, yang diliberasikan oleh Sri Paus Benediktus XVI.

Antara lain, motu proprio Traditionis Custodes (Penjaga Tradisi) tahun lepas, menetapkan bahawa setiap Misa Latin atau Tridentin. harus diluluskan oleh uskup dan paderi yang baharu ditahbiskan perlu memohon izin bagi merayakannya, dengan konsultasi Vatikan. Sejak itu, ramai uskup di seluruh dunia melarang sepenuhnya Misa Tridentin di keuskupan mereka.

Surat apostolik ini tidak hanya ditujukan kepada para klerus, tetapi kepada semua umat beriman. Beliau memetik kata-kata Sri Paus Pius XII bahawa liturgi bukanlah upacara hiasan. Reformasi liturgi hasil KV II juga bukanlah pedoman baharu tetapi lebih kepada memahami keindahan perayaan liturgi dan peranannya dalam penginjilan.

“Marilah meninggalkan polemik kita untuk mendengar bersama-sama apa yang dikatakan oleh Roh kepada Gereja. Marilah kita menjaga persekutuan kita. Marilah kita terus kagum dengan keindahan Liturgi” (65).

“Kita juga perlu memahami bahawa liturgi bukan sekadar menceritakan semula kenangan tentang orang lain, tentang apa yang berlaku semasa perjamuan terakhir Kristus, dan ia bukan “pementasan” teater tentang apa yang berlaku semasa kesengsaraan Yesus.

Sejak awal lagi Gereja telah memahami, dengan dibantu oleh Roh Kudus, apa yang kelihatan dalam Yesus, apa yang dapat dilihat dengan mata dan disentuh dengan tangan, perkataan dan gerak-gerinya, ketepatan Firman yang diinkarnasikan — segala sesuatu tentang Dia, telah dimasukkan ke dalam perayaan sakramen,” tulis Fransiskus.

Dalam Ekaristi dan sakramen-sakramen, kemungkinan untuk bertemu dengan Kristus adalah terjamin, dan tanda-tanda Sengsara- Nya, dihidupkan kembali dalam korban Misa, “yang terus mengampuni kita, menyembuhkan kita, menyelamatkan kita dengan kuasa yang mengalir daripada sakramen-sakramen.”

“Ekaristi bukanlah magis, kerana ia datang dari Tuhan. Pertemuan pertama kita dengan perbuatan Paskah-Nya adalah peristiwa yang menandakan kehidupan semua orang percaya: Pembaptisan kita,” tulisnya.

Perayaan yang tidak menginjil adalah tidak sahih, sama seperti pewartaan yang tidak membawa kepada pertemuan dengan Tuhan yang bangkit dalam perayaan itu adalah tidak sahih. Dan kemudian kedua-duanya, tanpa kesaksian kasih, adalah seperti membunyikan gong yang bising atau canang yang berdentang. (1 Kor 13:1) [37]

Mengakhiri Surat Apostoliknya, Sri Paus Fransiskus menegaskan semula apa yang ditetapkan dalam “Traditionis custodes” bahawa “Gereja boleh mengangkat, dalam pelbagai bahasa, satu dan doa yang sama yang mampu menyatakan kesatuannya,” dan doa tunggal ini adalah doa Ritus Romawi, yang terhasil daripada pembaharuan KV II dan ditubuhkan oleh Bapa Suci yang kudus, Sri Paulus VI dan Yohanes Paulus II. — Sumber Crux/Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments