Tuhan memahami fikiran umat-Nya

Masyarakat dahulu sehinggalah sekarang selalu berpendapat bahawa kekayaan aadalah kegembiraan, kemiskinan adalah kesengsaraan.

Oct 12, 2024

HARI MINGGU
BIASA KE-28
TAHUN B
KEBIJAKSANAAN 7:7-11
IBRANI 4:12-13
INJIL MARKUS 10:17-30

Masyarakat dahulu sehinggalah sekarang selalu berpendapat bahawa kekayaan aadalah kegembiraan, kemiskinan adalah kesengsaraan.

Maka apa yang diucapkan Yesus dalam Injil pada hari Minggu ini, pasti tidak sedap didengar, bahkan menimbulkan kekecewaan ramai orang.

Yesus membuat pernyataan bahawa lebih mudah bagi seekor unta melewati lubang jarum daripada seorang kaya masuk ke dalam Kerajaan Tuhan (ay. 25; Mat 19:23-24; Luk 18:25).

Jika begitu, siapa yang bakal selamat? Menjawab persoalan ini, Yesus mengemukakan bahawa bagi manusia memang mustahil, namun bagi Tuhan — semuanya boleh terjadi!

Sebelum berkata demikian, Yesus terlebih dahulu telah berbual dengan seorang pemuda kaya yang bertanya, apa yang mesti diperbuat supaya mendapatkan hidup kekal?

Yesus bertanya kepada pemuda itu, adakah dia menuruti semua perintah agama. Pemuda itu berkata dengan yakin, “ya”.

Kemudian Yesus mengajak pemuda itu untuk melakukan sesuatu yang “radikal”.Yesus menyarankannya agar menjual semua harta kekayaannya dan berbahagi dengan kaum miskin.

Mendengar kata-kata Yesus membuatkan si pemuda terkejut dan terkilan. Bukan sahaja pemuda itu, malah murid-murid Yesus juga kecewa dan terperanjat dengan jawaban Yesus.

Pesan yang ingin disampaikan kepada kita dalam Injil Markus hari ini, sama ada dalam kata-kata si pemuda, ataupun jawaban Yesus, kedua-duanya harus kita perhalusi.

Yesus mahu menyedarkan kita, bahawa kekayaan atau harta yang diberikan kepada kita oleh Tuhan, adalah amat baik dan perlu.

Namun harta yang dikumpul bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi juga untuk sesama khususnya mereka yang memerlukan.

Yesus mahu menegaskan, bahawa harta atau kekayaan mempunyai kekuatan atau penyebab utama yang menghalang seseorang menjadi murid sejati Yesus.

Yesus menggunakan hal kekayaan sebagai penekanan yang menunjukkan bahawa limpahan harta milik, kejayaan, kemakmuran boleh menjadi jerat atau rintangan hidup yang berbahaya.

Oleh sebab tu, sebagai murid Yesus, kita harus sedia melepaskan diri dari ikatan pemilikan peribadi. Ini adalah kerana, kekayaan dapat memusatkan hati kita hanya kepada dunia ini sahaja. Dan bila kita dipanggil Tuhan, dapatkah kekayaan itu kita bawa bersama?

Tetapi bagaimana kita tahu jika kita benar-benar mencari kerajaan Tuhan terlebih dahulu?

Ada soalan yang boleh kita tanya pada diri kita sendiri. “Di manakah saya menghabiskan tenaga saya? Adakah semua masa dan wang saya dihabiskan untuk barang-barang dan aktiviti yang pasti akan binasa, atau dalam pelayanan kepada Tuhan — yang hasilnya akan kekal selama-lamanya?”

Tuhan telah berjanji untuk menyediakan keperluan umat-Nya sendiri, membekalkan setiap keperluan (Filipi 4:19), tetapi idea-Nya tentang apa yang kita perlukan selalunya berbeza daripada kita, dan hanya sekali-sekala memenuhi jangkaan kita.

Sebagai contoh, kita mungkin melihat keperluan kita sebagai kekayaan atau kemajuan, tetapi mungkin Tuhan tahu bahawa apa yang sebenarnya kita perlukan ialah masa kemiskinan, kehilangan atau kesendirian.

Misalnya, Ayub dan Elia. Tuhan mengasihi kedua-duanya tetapi Dia membenarkan syaitan untuk benar-benar memukul Ayub (semuanya di bawah pengawasan-Nya), dan Dia membiarkan wanita jahat itu, Izabel, mematahkan semangat nabi-Nya sendiri Elia (Ayub 1–2; 1 Raja-raja 18– 19).

Dalam kedua-dua peristiwa itu, Tuhan menganugerahkan pemulihan dan rezeki melimpah.

Yesus mengingatkan kita, bahawa keselamatan adalah anugerah Tuhan. Rahmat adalah pemberian Tuhan! Dan hanya tangan-tangan yang murni, yang tidak menggenggam kepentingan diri kita sendiri saja, akan menerima anugerah rahmat keselamatan-Nya. --Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm

Total Comments:0

Name
Email
Comments