Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan murah hati

Ada di antara kita tidak merasa selesa jika ada anak-anak hadir di suatu pesta apa lagi semasa menghadiri Misa Kudus kerana merasa terganggu atas gelagat kanak-kanak yang suka membuat kacau dan membuat bising.

Jul 24, 2021

Hari Minggu Biasa Ke-17 (Tahun B )
2 raja-raja 4: 42-44; efesus 4:1-6.
injil yohanes 6: 1-15.

Ada di antara kita tidak merasa selesa jika ada anak-anak hadir di suatu pesta apa lagi semasa menghadiri Misa Kudus kerana merasa terganggu atas gelagat kanak-kanak yang suka membuat kacau dan membuat bising.

Para murid Yesus pun mempunyai sikap yang demikian. Misalnya sewaktu ibu-ibu membawa anak-anak mereka kepada Yesus supaya dijamah-Nya, murid-muird-Nya memarahi mereka.

Tetapi Yesus pula memarahi murid-murid-Nya dan berkata, “Biarkan anak-anak itu datang kepada-Ku, jangan menghalang mereka, sebab orang-orang seperti itulah yang empunya kerajaan Tuhan” (Mrk 10:14).

Dalam Injil hari ini, lain pula ceritanya. Para murid tidak menghalang seorang anak untuk datang kepada Yesus sebab ada suatu kepentingan bagi mereka terutama Andreas, salah seorang daripada murid Yesus.

Kisahnya bermula apabila Yesus bertanyakan pendapat Filipus tentang bagaimana memberi makan orang yang begitu ramai itu.

Namun Filipus menjawab bahawa cadangan tersebut tidak masuk akal. Salah seorang anak yang ada dekat tempat tersebut terdengar masalah tersebut lalu memberi tahu Andreas bahawa dia ada makanan yang boleh diserahkan untuk Yesus.

Akhirnya Andreas, mungkin dalam keadaan terdesak, menyampaikan juga kerelaan anak tersebut. Tetapi dengan cepat Andreas menambah, “Tetapi apakah ertinya itu untuk orang sebanyak ini?”

Menghairankan, Yesus mudah sangat terkesan dengan kemurahan hati anak tersebut. Dia menerima pemberian tersebut dan terus membahagi-bahagikannya untuk memberi makan semua orang yang hadir pada waktu itu.

Pemberian, betapa besar ataupun kecil, banyak atau sedikit, itu tidak penting. Bagi Tuhan, yang penting adalah kemurahan, keikhlasan, cinta kasih yang menyertai pemberian tersebut. Anda pasti masih ingat bagaimana Yesus terkesan dengan derma ikhlas daripada seorang janda di bait Tuhan. Secara terbuka Yesus takjub dengan kekayaan iman yang dilambangkan oleh pemberiannya yang hanya sedikit tetapi dengan penuh kesungguhan.

Tuhan melakukan keajaiban hanya dengan pemberian yang sederhana, namun diberikan dengan keikhlasan yang sesungguhnya. Nampaknya pemberian secara besar-besaran, terang-terangan walaupun atas nama-Nya, tetapi ada udang di sebalik batu, tidak akan pernah menarik perhatian Tuhan.

Kita semua mempunyai banyak pemberian kecil-kecilan yang boleh kita persembahkan untuk Tuhan.

Siapakah yang tidak boleh memberi masa beberapa minit untuk berdoa kepada-Nya setiap hari? Ada di antara kita mempunyai bakat-bakat untuk upacara atau acara-acara yang istimewa misalnya menjadi Pelayan Sabda pada hari minggu, menjadi ahli koir, bermain organ, gitar, dram, membimbing katekumen atau pelayanan untuk orang-orang pekak.

Terdapat 1001 macam pelayanan sukarela yang boleh kita berikan.

Selain itu, anda boleh memberi derma melalui sampul yang kita dermakan untuk Tuhan demi pelayanan di Gereja jika kita pada ketika ini belum dapat menyisihkan masa untuk tujuan tersebut. Kita mesti sentiasa ingat bahawa tidak ada pemberian dianggap kecil atau tidak berguna oleh Tuhan jika ia sungguh-sungguh diberikan dengan penuh keikhlasan dan cinta kasih.

Roti biasa diperbanyakkan secara rohani untuk memberi makan jiwa-jiwa yang lapar. Tuhan boleh merubah air menjadi wain, wain yang menjadi Darah-Nya sendiri. Tambahkan lagi sedikit pemberian kita ke atas segala pemberian-Nya, maka sudah lebih mencukupi untuk kita semua.

Pemberian anak yang sungguh bermurah hati itu, telah memperoleh lebih daripada apa yang diperlukannya. Yesus pernah berkata, “Berilah dan kamu akan diberi” (Luk 6:38). Namun pemberian hendaknya ikhlas dan sukacita, “Sebab Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan sukacita” (2 Kor 9:7). — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments