Tuhan menuntun kita keluar dari perhambaan

Pesan Pra-Paskah 2024 Sri Paus Fransiskus

Feb 11, 2024

Umat Katolik menerima abu pada hari tersebut sebagai tanda pertaubatan dan bermulanya musim Pra-Paskah. (Gambar: LiCas News)


TAKHTA SUCI:
Apabila Tuhan menampakkan diri-Nya, mesej-Nya sentiasa berkisar mengenai kebebasan: “Akulah Tuhanmu, yang membawamu keluar dari tanah Mesir, dari tempat perhambaan,” (Keluaran 20:2) demikian kata-kata permulaan pesan Pra- Paskah Sri Paus Fransiskus.

Pada tahun ini, musim Pra-Paskah bermula pada hari Rabu Abu, Februari 14, 2024. Berikut merupakan singkatan pesan Pra-Paskah Sri Paus Fransiskus:

“Akulah Tuhanmu, yang membawamu keluar dari tanah Mesir, dari tempat perhambaan” (Keluaran 20:2) adalah kata-kata pertama dari Dekalog yang diberikan kepada Musa di Bukit Sinai yang mengingatkan kita akan pengalaman perhambaan yang amat berat.

Di padang gurun, mereka menerima “Sepuluh Firman” sebagai jalan kebebasan. Kita menyebutnya “perintah” untuk menekankan kekuatan kasih yang membentuk umat Tuhan. Panggilan kebebasan adalah satu yang menuntut dan mendesak.

Ia tidak dapat dijawab dengan serta merta; ia perlu matang sebagai sebahagian daripada perjalanan. Sama seperti Israel di padang gurun yang masih terikat pada Mesir — sering merindui masa lalu dan mengeluh terhadap Tuhan dan Musa — hari ini juga, umat Tuhan masih terikat pada perhambaan yang menindas yang sepatutnya harus ditinggalkan.

Pra-Paskah adalah musim rahmat di mana padang gurun boleh sekali lagi terjadi – dalam kata-kata nabi Hosea – tempat cinta pertama kita (lihat Hos 2:16-17). Tuhan membentuk umat-Nya, membolehkan kita meninggalkan perhambaan kita dan mengalami Paskah dari kematian kepada kehidupan.

Buka mata kepada realiti untuk Pra- Paskah yang konkrit
Jika kita menghendaki agar perayaan Pra- Paskah kita menjadi sesuatu yang konkrit, langkah pertama kita ialah membuka mata kepada realiti.

Apabila Tuhan menyeru Musa keluar dari semak belukar yang sedang terbakar, Dia menyatakan bahawa Dia adalah Tuhan yang melihat dan mendengar: “Aku telah menyaksikan penindasan umat-Ku di Mesir, dan mendengar rintihan mereka kerana dianiayai oleh para tukang kerah mereka. Aku tahu tentang keperitan yang dialami mereka. Maka Aku turun untuk membebaskan mereka daripada cengkaman warga Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke sebuah negeri yang luas dan kaya lagi berlimpah-limpah susu dan madu.” (Keluaran 3:7-8).

Marilah kita bertanya pada diri sendiri: Adakah kita mendengar jerit tangis mereka itu? Adakah itu mengganggu kita? Adakah itu menggerakkan kita? Terlalu banyak perkara yang membuatkan kita terpisah antara satu sama lain dan menafikan persaudaraan.

Semasa lawatan saya ke Lampedusa, sebagai salah satu langkah menentang kecuaian globalisasi, saya telah mengajukan dua soalan yang semakin mendesak: Di manakah engkau?” (Kej 3:9) dan “Di mana adikmu?” (Kej 4:9).

Perjalanan Pra-Paskah kita akan lebih berkesan jika, kita mendengar kedua-dua soalan tersebut. Kita sedar bahawa pada hari ini kita masih di bawah pemerintahan Firaun yang menyebabkan kita lelah dan bersikap acuh tak acuh. Firaun mematikan impian, menghalang pandangan indah ke syurga, membuat dunia ini kelihatan seolah-olah tidak dapat berubah.

Marilah kita bertanya: Adakah saya mahu dunia baru? Adakah saya bersedia meninggalkan kompromi saya dengan sifat yang lama?

Banyak kesaksian para uskup serta mereka yang berkarya demi perdamaian dan keadilan yang menyakinkan saya bahawa kita perlu melawan perasaan kekurangan harapan yang mematikan impian dan jerit tangis dalam senyap untuk diangkat ke syurga dan menggerakkan hati Tuhan.

Padang gurun lambang kebebasan, kematangan, jatuh cinta
Tuhan tidak pernah lelah terhadap kita. Marilah kita menyambut Pra-Paskah sebagai musim yang luarbiasa di mana Dia mengingatkan kita: “Aku Tuhanmu, yang membawamu keluar dari tanah Mesir, dari tempat perhambaan” (Keluaran 20:2).

Pra-Paskah adalah masa pertaubatan, masa kebebasan. Yesus sendiri, seperti yang kita kenang setiap tahun pada Minggu pertama Pra-Paskah, dihantar ke padang gurun oleh Roh untuk dicubai dalam kebebasan.

Selama empat puluh hari, Dia akan berdiri di depan kita dan bersama kita: Dia yang menjelma menjadi Anak manusia. Berbeza dengan Firaun, Tuhan tidak menghendaki subjek, tetapi anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan.

Padang gurun adalah tempat di mana kebebasan kita dapat mencapai kematangan dalam membuat keputusan peribadi untuk tidak kembali kepada perhambaan. Di musim Pra- Paskah ini, kita menemui kriteria keadilan yang baru dan sebuah komuniti dengan mana kita dapat terus melangkah di jalan yang belum diredah.

Namun, ini melibatkan satu perjuangan, seperti yang dijelaskan kepada kita di dalam kitab Keluaran dan godaan Yesus di padang gurun. Suara Tuhan yang berkata, “Engkau lah Anak-Ku yang Ku kasihi dan dengan-Mu Aku berkenan” (Mrk 1:11), dan “Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku” (Keluaran 20:3) dilawan oleh musuh dan tipu dayanya.

Sementara mereka yang berbakti kepada berhala menjadi seperti berhala itu, bisu, buta, pekak, dan tidak bergerak (lihat Mazmur 114:4), orang-orang miskin roh adalah terbuka dan bersedia: suatu kekuatan yang baik yang diam yang menyembuhkan dan menopang dunia.

Telah tiba masanya untuk bertindak, dan semasa Pra-Paskah, bertindak juga bermaksud untuk berhenti sejenak. Berhenti sejenak dalam doa, untuk menerima firman Tuhan, berhenti seperti orang Samaria di hadapan saudara atau saudari yang terluka. Kasih kepada Tuhan dan kasih kepada sesama adalah satu kasih.

Tidak menyembah tuhan-tuhan lain bermaksud berhenti di hadapan Tuhan di samping keperluan saudara kita.

Oleh itu, doa, sedekah dan berpuasa bukanlah tiga perbuatan yang tidak berkaitan, sebaliknya ia adalah sebuah pergerakan ke arah keterbukaan dan mengosongkan diri, di mana kita mengusir berhala-berhala yang membebani kita, cengkaman yang memenjarakan kita.

Di hadapan Tuhan, kita menjadi saudara dan saudari, lebih peka antara satu sama lain: sebagai ganti terhadap ancaman dan musuh, kita temui teman dan rakan seperjalanan. Inilah impian Tuhan, tanah yang dijanjikan yang kita tujui setelah meninggalkan perhambaan kita.

Bentuk Gereja sinodal, yang dalam tahun- tahun ini kita kenal kembali dan pelihara, mencadangkan bahawa Pra-Paskah juga merupakan masa keputusan komuniti, segala bentuk keputusan, kecil dan besar, yang berlawanan arus.

Saya mengajak setiap komuniti Kristian untuk melakukan ini: untuk menawarkan waktu kepada setiap orang untuk merenung semula gaya hidup mereka, waktu untuk menilai kehadiran mereka dalam masyarakat dan sumbangan yang mereka buat untuk memperbaikinya.

Celakanya kita jika amalan Kristian kita menyerupai jenis kerja bakti yang membuat Yesus gelisah. Kepada kita juga, Dia berfirman: “Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa.” (Mat 6:16). Sejauh mana Pra-Paskah ini menjadi masa pertaubatan, umat manusia yang gelisah akan melihat pancaran kreativiti, kilauan harapan baru.

Biarkan saya mengulangi apa yang saya beritahu kepada para anak muda yang saya temui di Lisbon di musim panas lalu: “Teruslah mencari dan bersiap sedia untuk mengambil risiko. Pada masa ini, kita menghadapi risiko besar; kita mendengar rayuan menyakitkan dari begitu banyak orang. Memang, kita sedang mengalami peperangan dunia ketiga yang secara berperingkat. Namun, marilah kita temui keberanian untuk melihat dunia kita, bukan sebagai sedang menghadapi kematiannya tetapi dalam proses kelahiran, bukan di penghujung tetapi di permulaan babak baru yang besar dalam sejarah. Kita perlu keberanian untuk berfikir seperti ini” (Ucapan kepada Pelajar Universiti, Ogos 3, 2023). Inilah keberanian pertaubatan, lahir dari pembebasan daripada perhambaan.

Saya memberkati anda sekalian dan perjalanan Pra-Paskah anda.

Sri Paus Fransiskus
Roma, St John Lateran,
Disember 3,
Hari Minggu pertama Adven

Total Comments:0

Name
Email
Comments