Uskup Asia diseru turun padang hadapi cabaran pastoral

Dalam “dokumen akhir” selepas sidang agung di Thailand pada Oktober tahun lalu, Federasi Konferensi para Uskup Asia (FABC) menggesa para pemimpin Gereja untuk aktif “turun padang” dan “menghadapi keutamaan pastoral baharu.”

Mar 24, 2023

Para perwakilan konferensi-konferensi para Uskup Katolik Asia berhimpun di Thailand sempena Ulang Tahun ke-50 FABC, Okt 12- 30, 2022.


BANGKOK:
Dalam “dokumen akhir” selepas sidang agung di Thailand pada Oktober tahun lalu, Federasi Konferensi para Uskup Asia (FABC) menggesa para pemimpin Gereja untuk aktif “turun padang” dan “menghadapi keutamaan pastoral baharu.”

Dokumen itu dibentangkan dalam talian pada Mac 15, 2023, lima bulan selepas persidangan agung ulang tahun FABC ke-50, Oktober tahun lalu. Ia dipanggil “Dokumen Bangkok” yang menghimpunkan perkongsian refleksi oleh peserta persidangan itu, sebuah acara yang digambarkan oleh Kardinal Charles Maung Bo dari Yangon, presiden FABC, “peristiwa penting untuk perjalanan Gereja-gereja Asia.”

Kardinal Bo berkata perhimpunan pada Oktober lalu yang menghimpunkan 226 orang awam, lelaki dan wanita tertahbis, paderi, Uskup/Agung dan kardinal dari 17 persidangan episkopal dan dua sinode Gereja Oriental di Asia adalah “dialog dalam perpaduan dan permuafakatan.”

Dokumen yang menterjemahkan kehidupan komuniti
“Dokumen Bangkok”, jelas prelatus itu, bertujuan untuk menterjemahkan kehidupan komuniti perbincangan semasa perhimpunan tersebut yang membawa tema “Perjalanan bersama sebagai Umat Asia.”

Dokumen itu mengajak Gereja di Asia untuk kembali kepada umat “dengan jalan lain” seperti apa yang dilakukan oleh Orang-orang Majus dari Timur selepas bertemu dengan Yesus di Bethlehem.

Digubal oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Uskup Pablo Virgilio David, presiden Konferensi para Uskup Katolik Filipina, dokumen itu dibahagikan kepada lima bab yang memberi tumpuan kepada “sinodaliti,” cabaran-cabaran yang muncul dalam masyarakat Asia, tindak balas terhadap cabaran pastoral, hubungan antara Gereja Asia dan Gereja sejagat, dan kehadiran pastoral Gereja di Asia.

Kupasan realiti gereja-gereja Asia
Lima bab dokumen setebal 40 muka surat itu bertajuk, “Berjalan bersama”, “Melihat realiti yang muncul di Asia”, “Meneliti apa yang dikatakan oleh Roh kepada Gereja di Asia”, “Menawarkan Karunia-karunia kita iaitu Budaya dan Kerohanian Asia” dan “Membuka Laluan Baru.”

Dalam bab “Perjalanan bersama”, ia membincangkan isuisu bagaimana bertindak balas terhadap “panggilan sinodaliti.” Ia juga mengupas tentang “tiga elemen penting” gereja sinodal, iaitu Komuniti, Penyertaan, dan Misi.

Bab kedua dokumen itu melihat realiti Asia dan cabaran yang dihadapi Gereja di Asia.

Antara cabaran yang dikenal pasti ialah:

-- Migran, pelarian dan orang Asli
-- Keluarga sebagai asas masyarakat
-- Isu-isu berkaitan gender yang mencabar Gereja dan komuniti
-- Peranan wanita dalam masyarakat Asia yang pantas berubah
-- Cabaran belia
-- Kesan teknologi digital dan krisis iklim
-- Menggalakkan Ekonomi yang saksama dalam menghadapi Urbanisasi dan Globalisasi
-- Dialog Antara Agama

Dokumen itu menggesa Gereja untuk melakukan tindakan pastoral, dari fokus kepada keluarga hinggalah kepada peranan kepimpinan wanita dalam komuniti gereja.

Gereja-gereja juga digesa untuk lebih peka dalam penggunaan teknologi digital dan menjadi “jambatan dialog dan perdamaian.”

Gereja juga dipanggil untuk menjalankan kursus pembinaan untuk klerus dalam konteks dan budaya Asia.

Dokumen itu juga mengenal pasti “jalan baru” yang akan diikuti oleh Gereja-gereja Asia dalam karya-karya penginjilannya, termasuk “anjakan paradigma” dengan model dominan kepada pendekatan inkulturasi sejati.”

Komuniti Eklesial Dasar atau Komuniti Kristian Dasar diajak untuk “meluaskan kepentingan khemah mereka” dan menjadi realiti yang juga melihat di luar sempadan bagi memperluas hubungan dengan lelaki dan wanita pelbagai iman.

Dalam kehidupan eksklesial, “lonjakan kualitatif” dari dialog ke “sinodaliti aktual” dicadangkan, manakala dalam pewartaan Injil, harus ada peralihan dari “pewartaan abstrak” kepada “menceritakan kisah iman yang diinkarnasikan dalam kehidupan.”

Menyentuh jiwa Asia
Semasa pertemuan mereka pada bulan Oktober, para pemimpin Gereja Katolik Asia komited untuk “memberi respons positif kepada “tangisan bumi dan tangisan orang miskin.”

Dalam mesej kepada “Umat Asia”, para pemimpin Gereja berkata mereka “dicabar oleh suara yang berbeza dari benua kita yang majmuk, bahawa kami mendengar tangisan meminta pertolongan dan keadilan.”

Dalam satu kenyataan, para Uskup Asia berkata mereka dapat “menyentuh jiwa Asia” semasa perhimpunan dan konsultasi yang diadakan di Thailand, pada Oktober 12-30, 2022.

“Kami diinspirasikan oleh harapan, keberanian, dan keazaman yang ditunjukkan oleh Gereja-gereja di Asia untuk berjalan dan bekerja bersama, dengan lebih berdedikasi untuk Asia yang lebih baik,” demikian kenyataan para uskup tersebut.

Mereka berkata bahawa “dalam doa dan semangat kerjasama”, mereka tekad untuk bertindak balas terhadap cabaran yang dihadapi di rantau ini, “dengan bergantung pada kuasa cinta, belas kasihan, keadilan, dan pengampunan.” — LiCAS. news

Total Comments:0

Name
Email
Comments