Uskup Cornelius berkati Gereja baharu di Lumat Laut, Beaufort
Penantian selama 12 tahun umat Kerahiman Ilahi, berakhir pada Jun 15 2024 apabila Uskup Cornelius Piong, telah memberkati Gereja tersebut.
Jul 05, 2024

LUMAT LAUT, Beaufort: Penantian selama 12 tahun umat Kerahiman Ilahi, berakhir pada Jun 15 2024 apabila Uskup Cornelius Piong, telah memberkati Gereja tersebut.
Pemberkatan dilakukan semasa Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.
Prelatus itu dibantu oleh paderi paroki St Valentine, Beaufort, Fr Ronnie Alfred Luni.
Semasa menyampaikan homilinya, Uskup Cornelius berkata Kerajaan Tuhan bukan seperti kerajaan duniawi. Kerajaan Tuhan adalah kerajaan penuh cinta kasih dan Yesus Kristus diutus untuk membawa kerajaan Tuhan agar berkuasa dalam hati manusia dan di dunia.
Proses membangun dan menubuhkan kerajaan Tuhan di bumi memerlukan kita, sebagai anggota-anggota kerajaan Tuhan untuk melaksanakan dengan aktif, tanggungjawab pembaptisan kita.
Bapa Uskup Cornelius memberi panduan bagaimana kerajaan Tuhan itu bertumbuh.
Katanya, dengan meneguhkan kualiti iman iaitu menyambut sabda Tuhan dengan membaca dan menghayatinya setiap hari.
“Dahulu hanya sedikit umat datang ke Gereja. Setelah Misa selesai, umat pulang begitu sahaja.”
Namun, di Keuskupan Keningau, dengan slogan “Kekitaan adalah Kebahagiaan”, semangat hidup bersama dalam komuniti ditekankan dan diperluas.
“Gereja kita bukanlah Gereja sendirian. Gereja kita adalah bersifat komuniti.”
Bapa Uskup juga menasihati para belia yang hendak berhijrah untuk menyambung pelajaran atau bekerja agar tidak segan memperlihatkan identiti Katolik kita.
Sejarah singkat Gereja Kerahiman Ilahi
Sebelum adanya Gereja Kerahiman Ilahi, umat menghadiri Misa dan Ibadat Sabda di Kiulu Baru, Lumat dengan berjalan kaki.
Pada tahun 2012, Ibadat sabda diadakan di ruang kaki lima rumah Ah Kew kerana umat tidak sanggup lagi untuk berjalan kaki ke Kiulu Baru.
Selang beberapa bulan kemudian, Ibadat Sabda diadakan di rumah lama Jeme Ah Kew iaitu pengerusi Komuniti Umat Katolik (KUK) Kerahiman Ilahi I pada masa itu. Kemudian, anak-anak Golunu Likod (Anderias Golunu, Helen Golunu dan Juanis Golunu) bermurah hati mendermakan tanah demi pemantapan iman di kampung itu.
Penyerahan geran tanah kepada Uskup Cornelius Piong dilakukan pada Jun 13, 2015 di Gereja St Yohanes Kiulu Baru, Lumat, Beaufort.
Pada tahun ini, umat Katolik di kampung ini akhirnya dapat beribadat di Gereja yang berukuran 60 kaki panjang ,40 kaki lebar. — Edder J.Engan
Total Comments:0