Uskup Cornelius berkati Gereja St Petrus Faber, Sook

Hari Pentakosta menjadi amat bermakna bagi umat di KUK Gereja St Petrus Faber, Kg Lanas, Sook apabila Gereja tersebut diberkati pada Pesta Ulang Tahun Gereja Katolik.

Jun 15, 2024


KG LANAS, Sook: Hari Pentakosta menjadi amat bermakna bagi umat di KUK Gereja St Petrus Faber, Kg Lanas, Sook apabila Gereja tersebut diberkati pada Pesta Ulang Tahun Gereja Katolik.

Ritus pemberkatan dilakukan semasa Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.

Turut membantu Bapa Uskup di altar adalah paderi paroki Gereja Roh Kudus, Sook, Fr Clement Abel serta Fr Paul Mikin dari paroki St Peter, Bundu, Kuala Penyu.

Semasa homili, Uskup Cornelius Piong mengungkapkan rasa syukurnya kerana Gereja itu akhirnya diberkati untuk digunakan oleh umat tempatan.

“Akhirnya Gereja St Petrus diberkati dan umat di sini jangan lupa untuk berdoa kepada Roh Kudus agar Ia dapat berkarya dalam kehidupan kita sehari-hari,” pesan Uskup Cornelius.

Perlatus itu juga menjelaskan bahawa Roh Kudus tidak pernah memaksa kita agar membuka hati kepada-Nya tetapi umat sendiri harus merendahkan hati dan memohon-Nya agar campur tangan dalam kehidupan kita.

Uskup Cornelius juga gembira dan bersyukur kerana umat di Kg Lanas dapat memiliki Gereja yang lebih besar dan selesa pada hari ini kerana adanya individu-individu yang mempunyai sikap peduli.

Semasa ucapan pula, Sdra Eble Duai selaku pengerusi pelaksana mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius Piong kerana sudi memberkati Gereja St Petrus Faber.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin awal atas sumbangan mereka.

Sdra Eble mengucapkan terima kasih kepada Fr Paul Mikin kerana paderi itu telah memulakan usaha pencarian dana pembangunan Gereja St Petrus Faber.

“Sebagai terima kasih kepada Fr Paul, kami telah bersetuju dalam peringkat komuniti Umat Katolik (KUK) untuk menukar nama Gereja ini menjadi St Paul Miki,” kata Sdra Eble.

Gereja St Petrus atau St Paul Miki ini adalah di bawah jagaan paroki Sook. Ia mula dibina pada awal tahun 2023, dan siap sepenuhnya pada awal bulan Mei 2024. — Juanis bin Marcus

Total Comments:0

Name
Email
Comments