Wanita beriman berhimpun untuk rekoleksi KWK

Seramai 350 wanita Katolik menyertai Rekoleksi Kerasulan Wanita Katolik (KWK) paroki Katedral St Francis Xavier, Keningau yang diadakan di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu, Sosopon, baru-baru ini.

May 31, 2024


KENINGAU: Seramai 350 wanita Katolik menyertai Rekoleksi Kerasulan Wanita Katolik (KWK) paroki Katedral St Francis Xavier, Keningau yang diadakan di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu, Sosopon, baru-baru ini.

Antara sesi yang disampaikan dalam rekoleksi tahunan itu adalah seperti “Kerohanian Wanita Katolik” yang disampaikan oleh Msgr Gilbert Lasius, “Cabaran dan Halangan wanita Katolik dalam pelayanan” oleh Sdra John Lainsin, dan “Liturgi” oleh Sr Liza Jamat, FSIC.

Rekoleksi ditutup dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.

Dalam homilinya, prelatus itu menjelaskan mengenai tema yang dipilih untuk rekoleksi KWK kali ini iaitu “Umat Tuhan yang berjalan bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus.”

Prelatus itu menerangkan bahawa tema itu memang sesuatu yang sangat berkait rapat dengan perkembangan Keuskupan Keningau.

Dengan merujuk kepada petikan Injil Yohanes 17:11-17, di mana Yesus berdoa kepada Bapa-Nya di Syurga sebelum Dia mengharungi sengsara, Yesus mendoakan agar para pengikut-Nya dan untuk kita sekarang ini, agar tetap bersatu dalam Bapa, dilindungi Tuhan dan hidup dalam kekudusan.

Daripada doa tersebut, terbit inspirasi mengenai pentingnya kesatuan, kesetiaan dan kekudusan dalam kehidupan umat Katolik. “Yesus menginginkan kita menjadi satu, bermakna kita juga harus hidup dalam kesatuan, Yesus menginginkan kita terus dilindungi dari si jahat bermakna kita harus sentiasa setia memilih Yesus dan Yesus menginginkan kita sentiasa dikuduskan bermakna kita juga harus sentiasa berusaha untuk hidup kudus,” kata Uskup Cornelius.

Ketua Keuskupan Keningau itu menutup homilinya bahawa pesan Yesus mengenai kesatuan, kesetiaan dan kekudusan adalah sangat relevan untuk semua umat Katolik khususnya di Keuskupan Keningau yang mengamalkan semangat pelayanan berkomuniti.

Selepas Misa, para ahli KWK mengambil peluang untuk bergambar bersama dengan Uskup Cornelius Piong.

Puan Mathilda Nain selaku Pengerusi KWK Paroki KSFX mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius kerana memimpin Misa Kudus dan mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan KWK dari pelbagai paroki.

Beliau yang tidak menyangka kehadiran para wanita Katolik yang begitu ramai mengatakan, “Ini menunjukkan para wanita Katolik amat memperhatikan perkembangan iman. Memandangkan rekoleksi ini sangat baik bagi pertumbuhan spiritualiti wanita Katolik, maka ia akan diadakan lagi pada tahun hadapan,” ucap Pn Matilda. — Juanis bin Marcus

Total Comments:0

Name
Email
Comments