Wartakan Yesus!

“Adakah kita benar-benar percaya tentang Kristus dan kerajaan-Nya? Jika kita benar-benar percaya maka kita perlu mewartakannya!

Oct 27, 2024

Laluan lalu lintas di kota New York, terhenti seketika untuk memberi laluan serta menghormati Tubuh Kristus yang diarak lebih tiga ribu umat dari Katedral St Patrick, New York, Oktober 15, 2024. Kredit Gambar: CNA.


NEW YORK: “Adakah kita benar-benar percaya tentang Kristus dan kerajaan-Nya? Jika kita benar-benar percaya maka kita perlu mewartakannya! Kita tidak boleh menyimpan Berita Baik untuk diri kita sendiri sahaja. Kita perlu melaungkannya daripada puncak gunung! Kita perlu mengisytiharkannya melalui cara hidup dan perkataan kita,” kata Uskup Auksilier Kota New York, Msgr Joseph Espaillat.

Warga New York pada Oktober 15 lalu, berhimpun di salah sebuah Gereja paling terkenal di Kota New York iaitu Katedral St. Patrick.

Lebih 3,500 umat telah mengikuti Saat Teduh, berdoa rosari dan Misa Kudus di Katedral St Patrick, sebelum berarak ke jalan-jalan utama di Kota New York sempena perarakan Ekaristi.

Saat Teduh dan doa rosari dipimpin oleh Uskup Auksilier, Joseph Espaillat manakala Misa Kudus diselebrankan oleh Uskup Agung Paul Coakley dari Kota Oklahoma dan homili disampaikan oleh Msgr James Shea, presiden Universiti Maria di Dakota, Utara.

Uskup Joseph Espaillat turut berbicara tentang keperluan bukan sahaja menjadi pendengar firman tetapi juga pelaku firman. “Kebanyakan penganut Katolik suka datang ke Gereja selama 30-40 minit. Kemudian boom! Semuanya bergegas keluar selepas Misa! Adakah kita benar-benar mewujudkan komuniti? Adakah kita benar-benar mencipta keluarga? Adakah kita benar-benar bersemangat tentang Kristus dan kerajaan-Nya?” dia bertanya. “Jika kita benar-benar percaya Yesus benar-benar hadir dalam Ekaristi, maka kita perlu mewartakannya!”

“Saudara dan saudari dalam Kristus, tahukah kamu siapa kesayangan dan kegemaran Kristus? Kitalah kegemaran dan kesayangan Kristus, dari dahulu, sekarang dan selama-lamanya. Oleh itu, kita harus mewartakan-Nya!”

Prelatus itu juga memuji umat yang mengambil cuti demi menyertai acara pada hari itu. “Dengan ini, Bos dan rakan sekerja anda melihat kamu ke Gereja. Dan hari ini, kota New York juga akan melihat Yesus melalui iman anda,” kata Uskup Joseph sambil mengingatkan kongregasi kepada pilihan raya yang akan datang dan cadangan perundangan negeri New York yang dipanggil Proposisi 1, atau “Pindaan Hak Sama Rata.”

Beliau mengingatkan bahawa “Proposisi itu bertentangan dengan ajaran Katolik. Kita tidak boleh membenarkan pengguguran atas permintaan tanpa sekatan sehingga sembilan bulan!”

Intensi Misa Kudus pada hari itu ditujukan untuk keamanan di Tanah Suci. Msgr James Shea dalam homilinya bercakap tentang ironi betapa ramai orang yang mahu mempercayai sepenuhnya janji Tuhan tetapi masih ragu-ragu.

“Tuhan ingin menghilangkan dahagamu dan memuaskan rasa laparmu. Tetapi kita tertanya-tanya dalam hati, apakah kuasa Tuhan itu benar?

“Kekurangan iman terhadap Tuhan menyebabkan ramai umat Katolik tidak dapat menunjukkan iman mereka. Tetapi jika anda percaya dan melakukan firman-Nya, apakah yang akan terjadi? Ini bermakna, penderitaan dan kemenangan Yesus, akan menyertai kehidupan kita dan kita boleh berandal kepada-Nya untuk segala-galanya dan selama-lamanya.”

Selepas Misa, para klerus, religius, seminaran dan umat, berarak membawa monstrans berisi Tubuh Yesus berjalan melalui beberapa blok bandar termasuklah di salah satu kawasan yang dipenuhi pelancong di New York, memennyebabkan lalu lintas terhenti.

“Apa yang mengejutkan saya ialah penghormatan orang ramai yang menyaksikan perarakan ini,” kata Debby Kruszewski dari Mamaroneck, New York.

“Saya melihat di bangunan dan tingkap-tingkap dipenuhi dengan orang ramai yang memandang ke bawah pada perarakan itu. Saya berdoa untuk orang yang belum mengenal Kristus, yang melihat perarakan itu, dapat mengalami detik yang mengubah hidup mereka!”

Kristy Schade dari Larchmont, New York, pula berkongsi, “Saya menyaksikan semasa perarakan, seorang anggota polis menahan lalu lintas. Seorang pejalan kaki bertanya kepada polis itu, ‘Berapa lama perarakan ini akan berakhir?’ Polis itu menjawab, “Itu Yesus. Dia akan mengambil masa selama mana yang Dia perlukan!” --CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments