YEG, himpunkan belia selepas pandemik

Selepas tiga tahun ketiadaan aktiviti akibat pandemik, belia St Joachim Batu 12, dengan sukacitanya menganjurkan Perhimpunan Paskah Belia tahunan (YEG) di Dynawood Beach Stay, Sematan. Kem ini telah disertai oleh 34 orang peserta termasuk Fr Joseph Ng, SJ.

May 26, 2023


KOTA PADAWAN, Sarawak: Selepas tiga tahun ketiadaan aktiviti akibat pandemik, belia St Joachim Batu 12, dengan sukacitanya menganjurkan Perhimpunan Paskah Belia tahunan (YEG) di Dynawood Beach Stay, Sematan. Kem ini telah disertai oleh 34 orang peserta termasuk Fr Joseph Ng, SJ.

Dengan tema “Aku adalah Gembala yang baik, Aku Mengenal domba-domba- Ku dan domba-domba-Ku mengenal Aku” (Yohanes 10:4), kali ini, YEG diadakan untuk memupuk benih panggilan menjadi paderi atau religius di kalangan belia dan mendorong mereka untuk mempercayakan diri mereka kepada Tuhan di tengahtengah penderitaan, harapan dan cabaran di dunia.

Pada hari pertama, para belia merayakan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Joseph Ng. Kemudian, pada waktu petang, para belia menghabiskan masa mereka melakukan aktiviti yang menyeronokkan di pantai.

Pada sebelah malam, diadakan sesi perkongsian yang dikendalikan oleh Fr Joseph. Paderi itu menceritakan pengalamannya ketika usia muda sebelum menyahut seruan untuk menjadi paderi. Beliau menggesa golongan belia untuk membuat renungan dan berani menjawab panggilan mereka.

Ramai belia yang tersentuh setelah mendengar perjalanan iman Fr Joseph ketika beliau memutuskan untuk mengikuti Tuhan.

Kerendahan hati dan ketabahannya serta menyerahkan segala-galanya kepada Roh Kudus, menunjukkan kesungguhan serta rasa percayanya kepada kuasa Tuhan.

Salah seorang peserta, Caitlin Lisa menyatakan bahawa YEG merupakan pengalaman hebat bagi semua peserta memandangkan ini merupakan kali pertama YEG diadakan di luar gereja Batu 12.

“Kami berharap melalui YEG ini, melalui doa, aktiviti dan harapan yang berkaitan dengan hari ini, dapat mengukuhkan kesedaran tentang panggilan dalam keluarga kita, komuniti paroki, komuniti religius dan pergerakan atau perkumpulan dalam Gereja kita.”

“Mari kita berdoa agar cahaya Roh Kudus membimbing kita agar dapat mencari jawaban sejati dan mendorong kita untuk memberikan yang terbaik dalam hidup kita.

Total Comments:0

Name
Email
Comments