Yesus mendatangkan sukacita dan kebahagiaan!

Perkahwinan adalah suatu peristiwa penting dalam hidup manusia. Di situlah terungkap hubungan kasih paling mendalam di antara dua manusia: suami dan isteri.

Jan 18, 2025

MINGGU BIASA 2
(TAHUN C)
YESAYA 62:1-5
1 KORINTUS 12:4-11
INJIL YOHANES 2:1-11

Perkahwinan adalah suatu peristiwa penting dalam hidup manusia. Di situlah terungkap hubungan kasih paling mendalam di antara dua manusia: suami dan isteri.

Seperti diungkapkan dalam pembacaan pertama: Sikap Tuhan terhadap Israel, umat terpilih-Nya, diumpamakan seperti sikap kasih suami terhadap isteri-nya.

Dan dalam Injil hari ini Yohanes ingin menunjukkan kepada kita, bahawa pesta perkahwinan di Kana yang diceriterakannya sungguh membahagiakan dan terberkati. Mengapa? Kerana Yesus dan Maria bahkan murid-murid-Nya pun ikut hadir! Apa ertinya?

Perkahwinan begitu dihargai oleh Gereja, bahkan diangkat menjadi sakramen. Dengan demikian perkahwinan dihubungkan dengan Tuhan, yakni dalam hubungannya melalui Yesus Kristus.

Dengan latar belakang ini, di dalam ceritera tentang perkahwinan di Kana itu ditunjukkan peranan dua orang tokoh penting yang harus hadir dalam setiap komuniti umat Kristian: Yesus dan Maria.

Pertama: Maria hadir dalam perkahwinan itu. Maria telah melahirkan Yesus sebagai manusia Penyelamat.

Dan ketika Yesus bergaul dan tampil di depan umum dan kali ini pada pesta perkahwinan di Kana, Maria juga hadir meskipun secara tidak menonjol.

Dia memohon Yesus puteranya untuk menolong dan menggembirakan hati orang-orang yang hadir.

Maria memohon kepada Yesus, supaya Dia menolong mereka. Meskipun tidak secara langsung, permohonanya akhirnya dikabulkan-Nya juga. Maria hanya mengatakan kepada pelayan-pelayan, “Lakukanlah segala sesuatu, yang akan diperintahkan kepadamu”.

Di sini sungguh jelas kepekaan kasih keibuan Maria dalam menghadapi situasi sesama. Kehadirannya kurang dirasai tetapi perbuatannya amat besar dalam membantu mereka yang memerlukan.

Kedua: Yesus hadir dalam pesta perkahwinan itu. Tetapi bukan sekadar untuk secara rasmi memenuhi undangan, tetapi juga ikut berbuat sesuatu yang konkrit untuk menggembirakan suasana perkahwinan itu.

Dia tidak ingin mempopularkan diri dengan memperlihatkan kemampuan-Nya mengadakan mukjizat, kerana jika Dia mahu terkenal, pasti Dia menyediakan anggur kelas satu sejak awal.

Tetapi ternyata Yesus memperlihatkan kebapaan dan kepemimpinan-Nya yang sejati. Yesus menghormati setiap orang. Dia membiarkan setiap orang berbuat sesuai dengan kehendak dan kemampuannya.

Tetapi dalam kepimpinan Yesus itu kelihatan sifat kebapaan-Nya. Di mana apabila seseorang tidak mampu memenuhi keperluan, di situlah Dia tampil, bukan supaya diri-Nya dipuji orang, melainkan agar orang itu dapat ikut merasakan betapa besar kasih Tuhan.

Betapa indah dan bahagia setiap perkahwinan, keluarga dan komuniti apabila Maria dan Yesus dapat ikut hadir di dalamnya!

Bila setiap orang dalam hidupnya bersama dengan orang-orang lain, apa pun dan bagaimana pun bentuknya, bersedia dan bertekad hidup dengan jiwa, sikap dan perbuatan seperti ditunjukkan Yesus dan Maria melalui kehadiran mereka dalam perkahwinan di Kana, maka kita sungguh akan merasakan kegembiraan Kristian sejati.

Semoga segenap hidup perkahwinan di dalam setiap keluarga, dan segenap hidup bersama dalam setiap komuniti apapun, terciptalah suasana riang gembira berkat kehadiran kebapaan, keibuan dan kekeluargaan Yesus dan Maria, seperti dalam perkahwinan di Kana. Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm.

Total Comments:0

Name
Email
Comments