Yesus selalu menawarkan pembebasan untuk kita
Dalam Injil hari ini Lukas mengatakan bahawa Yesus di rumah ibadat membacakan ramalan Nabi Yesaya berikut ini: “Roh Tuhan ada pada-Ku, oleh sebab Dia telah mengurapi Aku.”
Jan 21, 2022

HARI MINGGU BIASA III (C)
NEHEMIAH 8:3-5A.6-7.9-11
1 KORINTUS 12:12-30
INJIL LUKAS 1:1-4; 4:14-21
Dalam Injil hari ini Lukas mengatakan bahawa Yesus di rumah ibadat membacakan ramalan Nabi Yesaya berikut ini: “Roh Tuhan ada pada-Ku, oleh sebab Dia telah mengurapi Aku.”
Yesus mengakui bahawa Dialah orang yang dimaksud-kan oleh Yesaya.
Jadi Yesus tampil sebagai Almasih untuk memberitakan pembebasan bagi orang miskin, orang tawanan, orang buta, orang tertindas. Yesus menyatakan diri-Nya sebagai pelaksana pewartaan keselamatan yang diramalkan oleh Yesaya.
Namun, ternyata dalam Injil hari ini juga ditegaskan, bahawa orang-orang sekampung dengan Yesus di Nasaret tidak mahu menerima Dia, bahkan akan membunuh-Nya. Marilah kita berusaha memahami pesan yang ingin disampaikan Injil kepada kita pada hari ini.
Ternyata apa yang disampaikan Yesus di Nasaret kepada orang-orang sekampung-Nya tidak diterima. Tujuan kehadiran dan tugas-Nya, iaitu pembebasan semua orang dari segala beban dan penderitaan telah ditolak.
Daripada cerita tentang penampilan dan pelayanan Yesus dalam Injil Lukas itu, kita mendapat gambaran bahawa Yesus sebagai pewarta yang gagal, tidak dianggap dan tidak diterima kehadiran-Nya.
Penduduk Nasaret menolak mendengar dan tidak mahu menerima isi pokok pewartaan Yesus, yakni pembebasan, kemerdekaan dan rekonsiliasi.
Mengapa? Kerana mereka mempunyai pandangan dan sikap dasar yang bertentangan dengan pewartaan yang disampaikan oleh Nabi Yesaya, yang kemudiannya diteruskan dan dilaksanakan oleh Yesus sebagai Dia Yang Diurapi atau Almasih.
Nah, inilah pesan Injil hari ini kepada kita. Kita harus selalu mahu dan bersedia mendengarkan dan menjawab sabda Tuhan! Seperti kita dengar dalam Bacaan I (Kitab Nehemia), Imam Ezra membaca Kitab Taurat, dan umat Israel yang baru kembali daripada pembuangan mendengarnya dengan penuh perhatian.
Dan mereka berseru: Amen! Amen! Itulah juga yang harus kita alami dan lakukan dalam setiap perayaan liturgi. Ucapan “Amen” adalah tanggapan atau jawaban kita kepada sabda Tuhan! Khususnya ucapan “Amen” pada akhir setiap Doa Agung Ekaristi, kita sebenarnya mengakui kehadiran nyata Kristus, Sabda Tuhan, yang hidup dalam Ekaristi. Kristus, Almasih kita, bukan hanya hadir di Gereja, dan di dalam perayaan Ekaristi.
Kristus selalu hadir di segenap medan hidup dan karya kita, apa pun bentuknya dan di mana pun tempatnya. Bila kita menghadapi kegembiraan dan sukacita hidup, mahupun semasa kita mengalami cabaran hidup yang berupa bencana atau penderitaan yang pahit, Kristus selalu hadir untuk menyapa kita untuk mewartakan khabar baik dan membebaskan kita semua tanpa perbezaan dari segala bentuk penderitaan.
Bila ada perbezaan dalam hasil atau buah kedatangan dan kehadiran Kristus di hadapan semua orang, perbezaan itu terletak dalam sikap setiap orang masing-masing.
Kenyataan penolakan yang dialami Yesus di Nasaret, yang menyatakan diri sebagai utusan Tuhan untuk melaksanakan apa yang sudah diramalkan oleh Nabi Yesaya, — kenyataan itu sekarang pun masih boleh terjadi!
Apa sebabnya? Kerana gambaran, pandangan, sikap setiap orang tidak sama. Almasih digambarkan oleh kita sebagai orang duniawi, sebagai tokoh, peribadi yang berasal dari golongan “orang-orang besar”.
Orang-orang yang terkenal, tersohor, pandai berpidato dan serba mampu — itulah ukuran atau kriteria yang biasanya dipakai orang, baik sekarang mahupun dua puluh abad yang lalu dalam sikap mereka untuk mengakui kelayakan seseorang menjadi pemimpin. Tetapi ternyata Yesus cuma orang biasa, orang Nasaret, orang kampung, anak Yusuf dan Maria.
Pesan Injil hari ini mengingatkan kita, bahawa kita adalah orang yang percaya. Atas dasar iman, kita harus tahu dan mahu melihat dan bersikap menghadapi segala sesuatu, bukan hanya atas pertimbangan duniawi/jasmani, melainkan juga dengan pertimbangan rohani, iaitu dengan iman.
Keselamatan kita bukan hanya untuk selama kita hidup di dunia ini, tetapi juga dan terutama untuk hidup kita kelak, yang bukan sementara melainkan kekal.
Semoga kita bukan tergolong seperti orang-orang Nasaret dahulu yang menolak Yesus, melainkan mahu menerima-Nya sebagai Penyelamat atau Almasih dengan menerima baptis.
Kita diingatkan agar kita jangan hidup dan berbuat melawan baptis kita sendiri, iaitu bila kita rasmi mengaku diri Kristian sebagai pengikut Kristus, namun justeru menolak Dia, kerana kita tidak hidup, bersikap, berfikir dan berbuat menurut ajaran dan teladan-Nya. — Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm, imankatolik.com
Total Comments:0