Ziarah 190 penziarah Telupid ke Koridor Rosari Sandakan

190 penziarah dari Paroki St Martin, Telupid telah mengadakan ziarah ke Koridor Rosari Maria dan Shrine Bonda Maria di paroki Katedral St Mary pada Oktober 26.

Nov 22, 2024


TELUPID: 190 penziarah dari Paroki St Martin, Telupid telah mengadakan ziarah ke Koridor Rosari Maria dan Shrine Bonda Maria di paroki Katedral St Mary pada Oktober 26.

Di antara peserta ziarah itu, terdapat peserta paling muda iaitu empat tahun dan mereka yang tidak pernah mendaki Gunung Marian mahupun menjejakkan kaki ke Katedral St Mary. Malah, terdapat juga seorang peserta yang baharu menjalani pembedahan jantung, namun tetap bersemangat menyertai ziarah.

Kedatangan para penziarah ini disambut oleh para Sukarelawan Gunung Marian (MMV).

Oleh sebab bilangan penziarah yang ramai, mereka dibahagikan kepada empat kumpulan. Sebelum pendakian, para penziarah diberikan penerangan ringkas untuk keselamatan.

Aktiviti ziarah tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan aktiviti tahunan KKD bagi tahun 2024 di bawah pimpinan Encik Edwin Arbah yang mengatakan bahawa Uskup Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan, yang sebelum ini telah mengumumkan bahawa Koridor Rosari Maria di Paroki Katedral St Mary, Sandakan adalah destinasi ziarah tempatan.

Sebelum ziarah, para penziarah terlebih dahulu mengadakan persiapan dalam bentuk Novena selama lima hari.

Para penziarah mengalami pengalaman hebat semasa mendaki ki Gunung Marian. Mereka berdoa rosari pada setiap stesen perhentian, menyalakan lilin, mempersembahkan bunga dan menyentuh shrine Maria di Marian Spring.

Para penziarah juga dapat melihat beberapa tapak bersejarah Perang Dunia Kedua, seperti kubu, terowong, dan lubang musang.

Selepas pendakian, mereka merayakan Misa di Katedral yang diraikan oleh Fr. Raymond Lee. --Evelyn Jock

Total Comments:0

Name
Email
Comments