Ziarah menelusuri hidup Sto Joseph

Selepas Bapa Suci Francis mengumumkan bahawa 8 Disember 2020 sehingga 8 Disember 2021, merupakan Tahun Sto.Joseph

Sep 18, 2021


KENINGAU:
Selepas Bapa Suci Francis mengumumkan bahawa 8 Disember 2020 sehingga 8 Disember 2021, merupakan Tahun Sto.Joseph

Baru-baru ini, seramai 24 orang Kakitangan Katedral St.Francis Xavier Keningau telah melakukan inisiatif melakukan Ziarah Sto.Joseph secara berkumpulan.

Kali ini mereka telah memilih satu tempat yang tidak asing lagi bagi penziarah yang ingin mengenal Sto.Joseph, iaitu Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon.

Pusat Ziarah ini terletak di bukit Nulu Sosopan, di barisan Jalan Keningau-Kimanis, dan lebih kurang 10 minit perjalanan dari Katedral St. Francis Xavier, Keningau dengan menaiki kenderaan. Kakitangan tersebut memulakan ziarah dengan mendengar taklimat singkat, mengenai sejarah dan aturan perjalanan Ziarah Sto. Joseph yang dijelaskan oleh Sdra.Patrick Marius, selaku salah seorang Tim Ziarah di Pusat Ziarah Keuskupan tersebut.

“Ziarah Sto.Joseph ini dibuka sejak 20 April tahun ini, demi menyahut seruan Bapa Uskup Cornelius,” kata Sdra.Patrick Marius. Selesai taklimat, para kakitangan dibawa pula menuju ke Dewan Sto Joseph di mana letaknya pameran mengenai kehidupan Sto.Jospeh.

Sebelum itu, para penziarah dapat melihat arca Bonda Maria yang berketinggian lebih 15 kaki dan Menara Salib Keuskupan Keningau. Memasuki muka pintu Dewan Sto Joseph, para penziarah melewati sebuah gerbang yang bertulis

“Menelusuri Kehidupan Sto. Joseph” dengan di sebelahnya adalah figura Bapa Uskup Cornelius Piong yang seolaholah sedang menanti kedatangan para penziarah.

Di hadapannya pula, terdapat sebuah kolam kecil, dengan ukiran sekumpulan patung sang bangau seperti sedang mencari mangsanya, iaitu ikan hidup sebenar yang pasti mencuri tumpuan penziarah. Namun apa yang terpenting di dalam Dewan tersebut adalah paparan mengenai kisah kehidupan Sto.Joseph.

Di sini, penziarah dapat menyelami Tujuh Peristiwa Dukacita Sto. Joseph, seperti Derita melihat Yesus disunat, Yesus lahir ditempat yang hina, Pulang dari Mesir namun tidak sampai ke Nazareth, Maria mengandung sebelum mereka bergelar suami isteri, Kehilangan Yesus selama tiga hari, Hati Sedih apabila mendengar ramalan tentang Yesus dan harus membawa Maria dan Yesus pergi dari Mesir.

Selain itu, ada juga dipamerkan Tujuh Peristiwa Sukacita Sto.Joseph dan Tujuh isi penting dari Surat Apostolik Bapa Suci Fransiskus Patris Corde.

Lebih menarik, setiap maklumat penting ini dipersembahkan dalam bentuk ilustrasi gambar, model dan dan statue-statue kecil. Tambahan kepada pengetahuan dan pengalaman rohani di Dewan Sto Joseph, ziarah pada hari tersebut diteruskan dengan tayangan video mengenai Sto.Joseph.

Melalui video ini, penziarah mempelajari bagaimana Sto.Joseph yang lebih banyak melakukan tindakan berbanding kata-kata. Disebabkan inilah, orang kudus itu sering dilabelkan sebagai Santo Tanpa Suara.

Misa kudus menjadi penutup ziarah pada hari tersebut yang dipimpin oleh Rev.Fr Bonaventure Unting, selaku paderi pembimbing Kakitangan Katedral St.Francis Xavier, Keningau. Bagi mana-mana komuniti di Keuskupan Keningau atau di luar keuskupan ini, yang ingin melakukan ziarah di Pusat Ziarah Keluarga Kudus Keuskupan Keningau, Nulu Sosopon ini bolehlah menghubungi Puan Mathilda Nain (013-870 8773) ataupun Sdra. Patrick Marius (016-561 0167). — Juanis bin Marcus

Total Comments:0

Name
Email
Comments