Bantu yang lemah dengan perbuatan, bukan hanya ucapan

Manusia tidak boleh duduk santai sahaja dan bersikap acuh tak acuh atau tidak mahu peduli terhadap meningkatnya kemiskinan di dunia, sementara segolongan kecil orang mengumpulkan “kekayaan yang luar biasa,” kata Paus Fransiskus

Jun 23, 2017

VATIKAN: Manusia tidak boleh duduk santai sahaja dan bersikap acuh tak acuh atau tidak mahu peduli terhadap meningkatnya kemiskinan di dunia, sementara segolongan kecil orang mengumpulkan “kekayaan yang luar biasa,” kata Paus Fransiskus

“Tuhan menciptakan langit dan bumi untuk semua, namun sayangnya beberapa orang tidak bertanggungjawab telah memasang penghalang, tembok dan pagar, mengkhianati karunia asli yang dicurahkan untuk semua umat manusia, tanpa ada yang dikecualikan,” kata Paus Fransiskus pada peringatan Hari Kaum Miskin Dunia yang bakal dirayakan buat pertama kalinya.

Hari Untuk Orang Miskin ini baru sahaja ditetapkan dan Vatikan akan mengadakan tempoh renungan serta program yang dikhususkan untuk membantu orang Kristian mengembangkan dan mempertahankan gaya hidup yang lebih konsisten dan tulus yang dibangun di atas semangat berbahagi, kesederhanaan dan kebenaran Injil, kata Sri Paus dalam sebuah perutusan yang disampaikan pada 13 Jun, sempena Pesta St. Anthony dari Padua.

Hari Kaum Miskin Sedunia akan dirayakan pada setiap tahun pada hari Minggu ke-33 masa biasa. Pada tahun ini ia akan dirayakan pada 19 November. Sri Paus mendapat idea untuk mendedikasikan hari bagi kaum papa semasa perayaan Tahun Luar Biasa Belas Kasihan di mana sebelum Tahun Belas Kasihan berakhir, Bapa Suci menjemput ramai orang miskin dan tidak berumah untuk merayakan Misa bersamanya di Vatikan.

Ada begitu banyak bentuk kemiskinan material dan spiritual yang meracuni hati manusia dan membahayakan martabat mereka, kata Paus Fransiskus.

Terlalu sering orang Kristian mengambil “cara berfikir duniawi” dan lupa untuk mengarahkan pandangan dan tujuan mereka terfokus pada Kristus, yang hadir dalam diri mereka yang remuk redam dan rentan.

“Kemiskinan memiliki wajah wanita, lelaki dan kanak-kanak yang dieksploitasi oleh kepentingan dasar, hancur oleh ketamakan kuasa dan wang,” katanya.

“Tragisnya, pada zaman kita masa ini, meski kekayaan mewah banyak melimpah di tangan beberapa orang istimewa, tetapi kebanyakannya adalah hasil aktiviti haram dan datang daripada kegiatan hina eksploitasi martabat manusia yang mengerikan. Semua ini berpunca daripada pertumbuhan kemiskinan yang memalukan dalam masyarakat luas di seluruh dunia kita,” kata Paus Fransiskus.

“Berhadapan dengan situasi ini, kita tidak boleh tetap pasif, apalagi menyembunyikan diri,” kata Bapa Suci.

Tema Hari Orang Miskin Sedunia “Marilah Kita Mengasihi, bukan dengan kata-kata tetapi dengan perbuatan” Let us love, not with words but with deeds) turut melampirkan logo khusus yang menggambarkan pintu terbuka dan seorang ikon yang mengalu-alukan seseorang untuk masuk.

Uskup Roma itu memetik kata-kata Bapa Gereja, Sto Yohanes Krisostom bahawa, “Jika anda mahu memberi penghormatan kepada tubuh Kristus, jangan marah apabila ia telanjag; jangan menghormati Ekaristi Kristus dengan jubah sutera, kemudian meninggalkan Gereja, mengabaikan Kristus lain sedang menderita akibat kesejukan dan tiada pakaian.”

“Kita dipanggil untuk mendekati, menyentuh dan bertemu dengan orang miskin, memandang wajah dan mata mereka, memeluk mereka dan membiarkan mereka merasai kehangatan cinta kasih kita yang boleh menembusi rasa sunyi mereka.”

Sri Paus juga menerangkan bahawa Hari untuk Orang Miskin adalah tindakan semua orang beriman, tanpa mengira pegangan agama, untuk segera bertindak dan menumpaskan budaya acuh tak acuh dengan budaya saling berkongsi dengan mereka yang miskin melalui tindakan-tindakan konkrit.--CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments