Berdoa demi “melindungi Gereja dari kejahatan Iblis”

Sri Paus Fransiskus menyeru seluruh umat Katolik di dunia untuk berdoa rosari sepanjang bulan Oktober, memohon kepada Bonda Tuhan dan Malaikat Agung Sto Michael, “untuk melindungi Gereja dari Iblis yang selalu mahu memisahkan kita daripada Tuhan dan sesama kita.”

Oct 05, 2018

VATIKAN: Sri Paus Fransiskus menyeru seluruh umat Katolik di dunia untuk berdoa rosari sepanjang bulan Oktober, memohon kepada Bonda Tuhan dan Malaikat Agung Sto Michael, “untuk melindungi Gereja dari Iblis yang selalu mahu memisahkan kita daripada Tuhan dan sesama kita.”

Seruan Sri Paus kepada umat Katolik adalah berikutan masa-masa pergolakan hebat dalam lima tahun kepausan beliau. Pembongkaran kes-kes salah laku seksual terhadap kanak-kanak bawah umur dan golongan dewasa lemah oleh para klerus, dan perbuatan itu ditutupi oleh kardinal, uskup dan superior religius telah disiarkan di media Amerika Syarikat, Jerman, Australia, Ireland, Chile dan di tempat lain.

Juga, tuduhan daripada mantan nunsio, Uskup Agung Maria Viganò, yang mendakwa Paus Fransiskus dan dua pemimpin Vatikan di bawah kepausan dua orang pendahulunya, di dakwa menyembunyikan salah laku di kalangan klerus.

Vatikan menyiarkan ajakan berdoa Sri Paus semasa doa tengah hari pada 29 Sept, sempena pesta Malaikat Agung Sto Michael.

Dalam kenyataan itu, Sri Paus mengajak seluruh dunia untuk berdoa Rosari setiap hari sepanjang bulan Oktober dan melakukan silih demi memohon kepada Bonda Than dan Malaikat Agung Sto Michael untuk melindungi Gereja dari iblis yang sentiasa bermatlamat memisahkan manusia daripada Tuhan dan sesama kita.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Fransiskus mengambil keputusan sedemikian sebelum kunjungan beliau ke negara-negara Baltik (22-25 Sept) di mana beliau telah bertemu dengan Frederic Fornos SJ, direktur antarabangsa untuk Jaringan Doa Sedunia bagi Sri Paus.

Fransikus meminta Fr Fornos untuk menyebarkan seruan berdoa Rosari dan mengakhiri doa itu dengan doa tradisi lama “Di Bawah Perlindungan mu” (Sub Tuum Praesidium) dan doa kepada Malaikat Agung Sto Michael, agar kita dapat dilindungi dan dibantu dalam pergelutan kita menentang iblis.

Doa memohon pertolongan ini adalah lagu kuno Kristian kepada Bonda Tuhan sekitar abad ke tiga dan sangat terkenal di kalangan penganut Katolik, Ortodoks Timur dan Ortodoks Oriental. Doa Di Bawah Perlindunganmu (Sub Tuum Praesidium) adalah seperti berikut:

Di bawah perlindunganmu kami bernaung, ya Santa Bonda Tuhan. Janganlah mengabaikan permohonan kami saat kami memerlukannya, tetapi lepaskanlah kami senantiasa dari segala bahaya. Ya Perawan yang mulia dan terberkati.

Kenyataan dari Jabatan Akhbar Takhta Suci itu menerangkan bahawa dengan seruan doa ini, “Bapa Suci meminta umat beriman di seluruh dunia untuk berdoa agar Bonda Tuhan meletakkan Gereja di bawah sayap perlindungannya: untuk melindungi Gereja dari serangan-serangan iblis, si penuduh hebat, dan menjadikan Gereja lebih mengakui dan menyedari kesilapan, kesalahan dan pelanggaran yang dilakukan pada masa kini dan masa lalu demi menjadikannya lebih komited untuk berjuang tanpa gentar demi mengalahkan iblis.

Vatikan juga mengatakan bahawa Sri Paus Fransiskus turut meminta agar doa Rosari diakhiri dengan doa yang ditulis oleh Leo XIII pada tahun 1886 iaitu doa memohon perlindungan dari serangan iblis kepada Malaikat Agung Sto Michael. Doa kepada Santo Michael::

Santo Michael
Bantulah dan lindungilah kami dalam
perang melawan kejahatan dan tipu daya syaitan.
Kami mohon dengan rendah hati kiranya Tuhan menghukumnya.
Dan engkau panglima bala tentera syurga,
dengan kekuatan Ilahi, usirlah kembali ke dalam neraka,
syaitan dan roh jahat lainnya yang berkeliaran di atas bumi
yang hendak membinasakan segala jiwa.
Amin.

Sri Paus Fransiskus sendiri, sejak awal kepausannya, selalu bercakap mengenai kuasa kejahatan dan beberapa kali mengingatkan para umat, bahawa syaitan, sang penipu, tidak pernah berehat malah selalu aktif, dia sentiasa mencari mangsa dan mempengaruhi manusia agar menanam benih perpecahan di dunia dan Gereja. Kini, Gereja sedang dilanda tsunami hebat tentang kes-kes salah laku seksual di kalangan klerus, pelbagai konflik dalaman misalnya surat daripada mantan utusan Takhta Suci, Vigano.

Rentetan peristiwa sedih dan memalukan ini, Sri Paus mengatakan Gereja amat perlu untuk berdoa. — sumber Gerard O’Connell, America

Total Comments:0

Name
Email
Comments