Penghinaan Jumaat Agung, menemui kita setiap hari

tulah pilihan moral utama yang kita hadapi dalam hidup - bukan hanya pada waktu kematian tetapi berulang kali dalam hidup kita. Apa yang berlaku dan dituntut dalam Jumaat Agung, menemui kita setiap hari.

Apr 19, 2019

Ketika Roma menetapkan hukuman salib sebagai hukuman mati, mereka bukan sahaja setakat membiarkan seseorang mati. Mereka mahu mengatakan sesuatu dari hukuman ngeri itu, iaitu, menjadikan cara kematian itu sebagai pengajaran agar mereka yang melihat cara hukuman tersebut akan berfikir dua tiga kali jika melakukan kesalahan.

Jadi penyaliban direka untuk melakukan beberapa perkara lain selain menghukum mati seseorang pesalah. Ia direka untuk mengenakan jumlah kesakitan optimum yang boleh diterima oleh tubuh manusia.

Oleh itu, mereka kadang-kadang memberi morfin kepada pelaku jenayah, bukan untuk mengurangkan kesakitannya, tetapi untuk memastikan dia dalam keadaan sedar dan menanggung kesakitan itu dalam jangka masa lama.

Mungkin yang paling kejam tentang hukuman itu ialah penyaliban telah direka untuk menghina tubuh si pelaku kejahatan. Maka, dalam hukuman salib, pakaiannya ditanggalkan, dibiarkan telanjang, bahagian sulitnya tidak dilindungi, dan ketika diseksa tubuhnya akan kejang sehingga kotoran daripada perutnya tersembur keluar, dan semua ini akan disaksikan oleh orang ramai.

Adakah wujud penghinaan yang lebih teruk daripada hukuman seperti ini?

Ya, ada, saya percaya, penderitaan manusia yang kira-kira atau sama dengannya; dan malangnya, ini adalah biasa. Ada contoh keganasan setiap hari di dunia kita (keganasan rumah tangga, keganasan seksual, penyeksaan, buli kejam, dan sebagainya) yang mencerminkan penghinaan salib.

Selain itu, anda kadang-kadang melihat jenis penghinaan tubuh dalam kematian disebabkan oleh kanser dan lain-lain penyakit yang melemahkan. Orang tidak hanya mati; dia mati dalam kesakitan, badannya dihina, maruahnya berkompromi, bahawa kekurangannya terdedah, kerana ia adalah untuk Yesus ketika mati di salib.

Saya berpendapat inilah mengapa Tuhan membenarkan (walaupun tidak dimaksudkan) untuk Yesus menderita sengsara dan penghinaan yang ditanggung dalam kematianNya.

Melihat bagaimana Yesus mati, sukar bagi sesiapa untuk mengatakan: “Mudah bagi-Nya, Dia tidak perlu menderita seperti yang saya lalui!” Penghinaan salib meletakkan Yesus menderita sama seperti semua orang yang pernah mengenal rasa sakit dan malu akibat penghinaan.

Tetapi buah solidariti Yesus dengan penderitaan kita bukan sekadar penghiburan untuk mengetahui bahawa Yesus menanggung penderitaan kita secara langsung, tetapi juga kita dapat berkongsi susulan setelah penyaliban, iaitu, seperti yang dikatakan oleh kitab suci, berkongsi dalam penghiburan-Nya.

Ini membuatkan kita tertanyatanya. Apa penghiburan yang ada ketika dalam keadaan terhina? Apa rahmatnya melalui rasa sakit yang memalukan ini? Dalam satu perkataan, jawabannya ialah kedalaman jiwa.

Tidak ada apa-apa, sama sekali tidak ada, yang mendorong kita kepada kedalaman hati dan jiwa melainkan penghinaan. Cuba tanyakan kepada diri sendiri soalan ini: Apa yang telah memberi saya kekuatan peribadi? Apa yang telah memberi saya kedalaman sebagai manusia? Apa yang telah memberi saya pemahaman yang lebih mendalam? Jawapan bagi semua persoalan ini, bagi saya, akan menjadi sesuatu yang anda malu untuk mengatakannya, ada beberapa penghinaan yang menyakitkan dan ia juga turut mendorong anda ke tempat yang dalam.

Saya percaya, Injil mengajar itu. Sebagai contoh, apabila para rasul, Yakobus dan Yohanes, datang kepada Yesus dan bertanya kepadanya sama ada Dia dapat mengatur bahawa apabila Dia memasuki kemuliaan-Nya, dapatkah Dia memberikan tempat duduk sebelah kanan dan kiri-Nya kepada mereka? Pertama sekali, Yesus tidak memberikan tempat itu sebaliknya memberi penjelasan kepada mereka tentang kerendahan hati.

Yesus menerangkan hal itu kerana mereka tidak memahami apa yang mendatangkan kemuliaan dan jalan yang bagaimana untuk mencapai kemuliaan itu. Kedua-dua pengikut itu, sudah tentu, menyangka kemuliaan tidak ada kaitan dengan penghinaan dan kelemahan.

Kemuliaan, bagi mereka, dan kebanyakan kita pada hari ini, menyangka kemuliaan itu adalah seperti orang yang terkenal, pemain paling berharga, pemenang Hadiah Nobel, bintang filem yang mempunyai tubuh badan yang dicemburui ramai orang, orang tercantik yang kebal kepada penghinaan, atau orang yang mempunyai kelebihan daripada orang lain.

Oleh itu apabila Yesus bertanya kepada Yakobus dan Yohanes apakah mereka boleh “minum cawan”, dan cawan itu, seperti yang kita lihat dalam pergelutan Yesus di Taman Getsemani, adalah cawan penghinaan.

Meminum cawan penghinaan, menerima salib, menurut Yesus dan menurut pengalaman kita yang paling jujur, apa yang dapat membawa kita kepada kemuliaan sejati, iaitu, kedalaman hati, kedalaman jiwa, dan kedalaman pemahaman serta belas kasihan.

Walau bagaimanapun, sebagaimana yang ditegaskan oleh Yesus, meminum secangkir penghinaan, tidak secara automatik memberi jaminan kepada kita kedalaman, tidak secara automatik memberi jaminan kepada kemuliaan (“kemuliaan itu bukan milik saya untuk diberi”).

Penghinaan akan membuat kita mendalam, tetapi ia mungkin tidak menjadikan kita jauh mendalam dengan cara yang betul. Ia juga boleh mempunyai kesan yang bertentangan.

Inilah rumusan algebra tersebut: Seperti Yesus, kita semua akan mengalami penghinaan dalam kehidupan, kita semua akan minum cawan penghinaan itu, dan ia akan membuat kita mendalam; tetapi kemudian kita mempunyai pilihan yang kritis: Adakah penghinaan ini menjadikan kita lebih berbelas kasihan dan lebih memahami atau adakah ia membuatkan kemarahan dan kekecewaan kita semakin parah?

Itulah pilihan moral utama yang kita hadapi dalam hidup - bukan hanya pada waktu kematian tetapi berulang kali dalam hidup kita. Apa yang berlaku dan dituntut dalam Jumaat Agung, menemui kita setiap hari. — Hakcipta Terpelihara @ Fr Ron Rolheiser 1999-2019

Total Comments:0

Name
Email
Comments