Perayaan Ulang Tahun Keuskupan Keningau menuju Jubli Perak

Lebih tiga ribu umat hadir ke perayaan meriah tersebut. Ia dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.

May 20, 2017

TAMBUNAN: “Ulang Tahun Ke-24 Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong sebagai Uskup dan seterusnya kewujudan Keuskupan Keningau pada 6 Mei 1993 adalah sebuah peristiwa yang istimewa dalam sejarah Gereja Katolik di Sabah dan sejarah itu harus dihormati serta dihargai dan dirayakan secara berterusan,” kata Paderi Paroki Holy Cross Toboh, Fr. Bede Anthonius sempena perayaan Ulang Tahun Keuskupan (UTK) yang ke-24.

Gereja Holy Cross Toboh (HCT), buat kali ketiga, menjadi tuan rumah Perayaan 4 dalam 1 yang merangkumi perayaan Ulangtahun Keuskupan Menuju Jubli Perak, Kesyukuran Sumbangan Keluarga dalam Pembangunan Keuskupan, Ulangtahun Pentahbisan Episkopal Bapa Uskup Ke-24 dan Pesta Kaamatan Peringkat Keuskupan Keningau dalam persiapan menyambut Jubli Perak Keuskupan pada tahun hadapan.

Lebih tiga ribu umat hadir ke perayaan meriah tersebut. Ia dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.

Dalam khutbahnya, Uskup Cornelius memetik tema perayaan itu, “Keluarga berpusat kepada Kristus, berbudaya menyembah Tuhan, memantapkan iman dan bertanggungjawab sosial” sebagai luahan syukur dan sukacita selaku anggota-anggota keluarga besar Keuskupan Keningau.

Bapa Uskup mengingatkan kembali para umat tentang cita-cita Keuskupan selama ini untuk menjadi “Komuniti Umat Tuhan yang komited dan efektif melayani kerajaan- Nya” harus sentiasa menjadi fokus dan arah perjalanan iman kita.

“Selama ini kita telah berusaha mencipta identiti kita melalui Keluarga, KKD, KWK, Zon Mission dan Paroki sebagai “Umat Tuhan Berjalan Bersama dalam Yesus Kristus” Semoga kita sentiasa berbangga dan rasa memiliki identiti ini.

Kerana hidup di tengah-tengah masyarakat yang pelbagai budaya dan kepercayaan, kita perlu sentiasa mengutamakan kesatuan kita dengan Yesus agar Dia memampukan kita sentiasa memilih dan memihak kepada Dia dan kehendak-Nya (Yoh 14:4-5).

Prelatus itu menjelaskan bahawa cita-cita ini pertama-tama harus bermula dari dalam keluarga di mana suasana mahu mengenal, menghadir dan memihak kepada Yesus menjadi keutamaan kita sehari-hari.

Maka, Bapa Uskup menasihati para umat agar terus mendekatkan diri dan mengalami kesatuan yang akrab dengan Yesus yang memampukan para umat untuk setia dan rela berkorban bagi Dia.

“Dengan adanya kesatuan kita dengan Yesus maka Dialah sumber kekuatan dan kebijaksanaan kita dalam menempuh hidup ini,” ujar Bapa Uskup.

Pada penghujung perayaan Misa Kudus, Uskup Cornelius merasmikan Perayaan 4 dalam 1 serta mengumumkan Katedral St Francis Xavier sebagai tuan rumah bagi perayaan UTK Ke-25 pada tahun hadapan.

Kemudian, Bapa Uskup diiringi Fr. Bede Anthonius, Fr. Roney Mailap dan Pengerusi MPP Toboh, Puan Helen Gurini, menyerahkan Panji UTK kepada Pengerusi MPP KSFX, iaitu Puan Stella Kinsik.

Fr Bede di dalam ucapannya menyebut bahawa setiap kali merayakan UTK, “Kita diingatkan tentang Wawasan, Misi dan Matlamat Keuskupan.

Adalah menjadi tanggungjawab bagi kita semua agar Wawasan, Misi dan Matlamat itu tercapai. Sesungguhnya perayaan TK merupakan suatu kesempatan untuk membaharui komitmen kita kepada Keuskupan dan Tuhan.”

Selepas Misa Kudus, Bapa Uskup, para Paderi dan umat menuju ke Dewan Paroki untuk menikmati makan tengah hari. Acara lawatan ke galeri dan pondok- pondok diadakan sejurus Bapa Uskup dan umat selesai makan tengah hari.

Acara persembahan pentas dari Rumah Kanak-Kanak Bondulu (RKKBT), dan beberapa persembahan dari paroki dan mission di bawah Keuskupan Keningau memeriahkan lagi suasana majlis. Perayaan kesyukuran ini selesai tepat jam 6.00 petang.

Kebahagiaan adalah kekitaan

Ucapan para umat sempena Ulang Tahun Kepaderian ke-40 dan Ulang Tahun Pentahbisan Episkopal ke-24 Uskup Cornelius Piong

Bagi pihak Institusi Sekular Komuniti BETANIA, dengan penuh rasa syukur, saya merakamkan etinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Bapa Uskup Cornelius Piong atas perayaan ulang tahun Imamat ke-40 dan Ulang Tahun Pentahbisan Episkopal ke-24.

Institusi Sekular Komuniti Betania (ISKB), merupakan Komuniti Hidup Bakti Awam yang lahir di Keuskupan Keningau sejak 20 tahun lalu. Uskup Cornelius bukan sahaja menerima dan mengesahkan komuniti ini malah terus mendampingi serta mendidik kami dengan setia sebagai Pendamping Rohani dan Pengasas ISKB. Tanpa Bapa Uskup, siapalah kami?

Uskup Cornelius adalah seorang yang sederhana, sabar meskipun menghadapi banyak cabaran tetapi sentiasa bersifat terbuka kepada sesiapa sahaja khususnya kepada umat yang memerlukan. Malah, selalu memberi ruang kepada individu atau mereka yang mahu melayani di Ladang Tuhan. Kasihnya kepada Tuhan diungkapkan dalam pelbagai sarana dan program-program pemantapan iman yang mendorong umat untuk mengenal dan mengasihi Tuhan. Antara sarana tersebut termasuklah Chapel Adorasi 15 jam di RRKK Tatal dan Pusat Ziarah Keluarga Kudus di Nulu Sosopon Keningau.

Semoga Ketua Keuskupan Keningau ini terus dianugerahi oleh Sang Gembala Agung dengan kesihatan, kebijaksanaan dan kecekalan dalam menggembala umat-Nya.--Mary Tunsin, ISKB (Moderator Institusi Sekular Komuniti Betania)


Saya dibaptis pada tahun 1981 di Gereja St. Peter Bundu Kuala Penyu, tetapi pada tahun 1992, barulah saya menerima Komuni pertama di Gereja St. Thomas Kepayan berhampiran tempat saya bekerja iaitu di Jabatan Penjara Sabah.

Dan Paderi yang memberikan Komuni pertama itu ialah Mgsr. Cornelius Piong (kini, Uskup Cornelius Piong) yang pada masa tersebut melayani di Keuskupan Kota Kinabalu. Di Gereja St. Thomas Kepayanlah pertama kali saya mendengar homili beliau.

Kini setelah bertukar kerjaya menjadi guru dan Katekis, saya yakin pelbagai perubahan yang saya lalui adalah berkat belas kasihan Tuhan yang mengalir melalui Uskup Cornelius setelah mendengar homili dan menerima Komuni pertama daripada beliau.

Saya melihat Bapa Uskup sebagai seorang yang sangat berkarisma sebagai "gembala umat". Homili dan perkongsian-perkongsian yang disampaikannya dengan penuh kebijaksanaan dan tegas dalam kelemah-lembutan. Ini membuatkan saya dan umat ternantinanti dan rindu untuk mendengar homili daripada beliau.

Sejak pertama kali mendengar homilinya, tidak pernah saya mendengar beliau meninggikan suara, sebaliknya sentiasa
merendahkan diri, tersenyum apabila berhadapan dengan sesiapa pun dan mendengar penuh minat setiap apa yang kita ungkapkan kepadanya. Semua sifat yang beliau ada amat sesuai dengan pelayanan beliau sebagai "gembala umat" walau di mana juga beliau melayani.

Uskup Cornelius ... segala kebaikanmu, kebijaksanaanmu, keperibadianmu dan jasajasamu sentiasa dalam ingatan dan saya yang lemah serta penuh kekurangan ini mendoakan semoga Bapa Uskup sentiasa sihat, kuat, tabah dan bijaksana di dalam pelayanan episkopal.--Marcus Angang, Pengerusi Komiti Katekis Paroki St Peter Bundu, Kuala Penyu

Uskup Cornelius adalah seorang pemimpin yang berkarisma, mudah didekati, sentiasa mahu mendengar segala keluhan umat dengan penuh perhatian.

Beliau seorang yang mempunyai misi dan visi yang dapat melihat ke hadapan untuk pembentukan dan pertumbuhan rohani umat dan sesiapa pun juga dalam menjadi saksisaksi Kristus dan berkeupayaan memanjangkan karya penyelamatan Tuhan.

Riak wajah beliau bersahaja mudah tersenyum namun tegas. Karunianya terserlah dalam penciptaan lagu khususnya lagulagu rohani yang dinyanyikan semasa perayaan liturgi serta lagu berkonsep alam semulajadi menjadi pelengkap pakej sebagai gembala yang berwibawa.

Harapan saya, agar beliau terus diberi kesihatan yang baik untuk melayani di “Ladang Tuhan” yang luas ini dengan iringan doa sebagai kekuatannya.--Jimmy Chong (seorang katekis dan guru sekolah menengah dan Timbalan Pengerusi MPP St Peter, Bundu, Kuala Penyu)

Total Comments:0

Name
Email
Comments