St Kenneth Kelatuan catat tiga peristiwa penting serentak

Sebelum tahun 2016 melabuhkan tirainya, umat di St Kenneth Kelatuan merayakan tiga peristiwa gembira yang disambut serentak bersama Uskup Agung John Wong.

Jan 13, 2017

KELATUAN, Papar: Sebelum tahun 2016 melabuhkan tirainya, umat di St Kenneth Kelatuan merayakan tiga peristiwa gembira yang disambut serentak bersama Uskup Agung John Wong.

Pada 27 Disember 2016, bangunan Gereja baru St Kenneth Kelatuan telah diberkati dan dibuka oleh Uskup Agung John. Pada hari yang sama, umat juga merayakan Santo Pelindung Gereja itu iaitu St Kenneth dan Perayaan Natal.

Ratusan umat datang untuk merayakan tiga perayaan sukacita itu. Misa Kudus dipimpin oleh Paderi Paroki St Joseph, Fr Thomas Yip dan dibantu oleh Fr Thomas Madanan.

Paderi yang pernah melayani di Paroki Papar iaitu Fr Bruno Yasun dan Fr Alex Jimsy, turut hadir. Kelihatan juga beberapa orang religius, Katekis dan ahli-ahli Majlis Pastoral Paroki Papar dan Limbahau serta penyumbang utama bangunan Gereja baru St Kenneth, Datuk Victor Paul. Misa pertama di Gereja baru ini telah dirayakan pada 18 Disember lalu oleh Fr Thomas Yip. Misa terakhir di bangunan lama yang hanya dapat memuatkan 450 orang pula telah dirayakan pada 11 Disember.

Dalam homilinya, Fr Yip mengingatkan umat beriman untuk menjaga keakraban hubungan dengan Gereja Paroki.

Katanya bukan saiz bangunan yang harus menjadi fokus sebaliknya kehadiran Tuhan di tengah-tengah umat perlu diutamakan.

Tapak gereja baru yang lebih kurang 40 meter dari gereja lama, kini digunakan sebagai dewan komuniti.

Pembinaan gereja baru bermula selepas Paskah 2016. Ia didanai oleh Datuk Victor Paul manakala sumbangan umat yang dikumpulkan sebanyak RM70,000 digunakan untuk memperluaskan ruang kiri dan kanan gereja tersebut.

Dalam ucapan singkatnya, Uskup Agung John mengatakan bahawa pemberkatan Gereja baru itu adalah saksi kepada berkat dan belas kasihan Tuhan. Prelatus itu kemudiannya berterima kasih kepada Datuk Victor Paul dan kepada semua penyumbang yang bermurah hati.

Uskup Agung juga meminta umat agar mendoakan para klerus dan religius agar terus melayani di ladang Tuhan yang semakin mencabar ini.

Total Comments:0

Name
Email
Comments