Tatoo Bonda Maria di lengan

Kita perlu memberi pengertian dengan bijaksana kepada anak yang meskipun sudah dewasa, tetapi belum benar-benar mendalami iman sebagai sebahagian daripada keyakinan dan landasan hidup.

Mar 28, 2020

Soalan: Saya aktif sebagai Legioner (Legio Mariae) di sebuah Paroki dan keluarga kami setia berdevosi khusus kepada Bonda Maria. Saban hari, kami selalu berdoa Salam Maria untuk memulai dan mengakhiri kegiatan harian kami. Devosi kami ini diteladani oleh anak kami, tetapi dengan cara yang berbeza. Anak kami membuat tatto gambar Bonda Maria di lengannya. Ketika ditanya, dia beralasan, “Kan ini tatto Bonda Maria, bukan Maria lain kan?” Apakah tatto Bonda Maria di tubuh itu dosa? Apakah devosi kami benarbenar bermakna di mata Tuhan dengan kelakuan anak kami? Terima kasih. -- Juanita

Jawaban: Pn Juanita, pengalaman Puan bersama anak adalah pengalaman berkatekesis. Kita perlu memberi pengertian dengan bijaksana kepada anak yang meskipun sudah dewasa, tetapi belum benar-benar mendalami iman sebagai sebahagian daripada keyakinan dan landasan hidup. Anak itu, walaupun sudah dewasa, tetapi menganggap bahawa agama adalah status dan label saja dalam hidup ini.

Seorang yang menerapkan imannya  secara kurang tepat mengindikasikan ketidaktahuannya akan penerapan ajaran yang wajar dan pantas. Membuat tatto barangkali dimaksudkan untuk menunjukkan bahawa dia adalah pengikut Katolik dan ingin dikenal sebagai orang Katolik melalui gambar tatto itu. Identiti yang ditempelkan semacam pengenalan dan bahkan barangkali kebanggaan bagi si pemakai tatto.

Pada ketika ini, tatto yang berkaitan dengan iman melanda banyak budaya anak muda. Mereka menggunakan gambar-gambar suci untuk mengekspresikan diri. Memang salah, tetapi kerana banyak dilakukan menjadi suatu budaya bagi mereka. Pada pendapat saya, inilah mungkin antara faktor penyebab anak Puan.

Sekurang-kurangnya, anak Puan tidak pindah agama lain. Namun, pada pandangan mata Puan, perbuatan itu hanya kurang tepat kerana mengekspresikan imannya melalui hal yang kurang sesuai menurut Puan.

Barangkali jawaban anak Puan itu dapat kita anggap sebagai ungkapan serius bahawa dia memang bangga sebagai orang Katolik dan mempunyai penghor matan khusus kepada Bonda Maria. Namun, pengertian akan hal ini hanya dapat dipastikan melalui cara hidupnya seharihari, apakah dia menerapkan penghormatan kepada Bonda Maria melalui perkataan dan perbuatannya?

Saya ingin mencadangkan agar Puan jangan terus-menerus memarahinya. Saya bimbang, hubungan Puan dengan anak menjadi hambar dan bahkan rosak kerana terus-menerus menegurnya. Tatto bukan hiasan yang mudah dihapus. Ia akan kekal pada tubuh badan seseorang.

Lebih baik memberi peneguhan bahawa iman itu pertama-tama harus kelihatan dalam praktik hidup. Bonda Maria yang sangat suci itu kuat, tabah, dan cekal imannya. Katakan kepada anak itu, agar dia meniru teladan Maria yang ia dikaguminya itu melalui perbuatan dan perkataan, bukan sekadar membuat tatto di tubuh.

Mari mencipta suasana yang akrab terlebih dahulu sebelum mengajarkan iman. Iman tanpa perbuatan memang tidak ada ertinya (bdk. Yak.2:26). Jika hubungan Puan dengan anak menjadi baik, mungkin harapan Puan agar anak menghormati imannya, akan dapat disampaikan dengan  lebih mudah, kerana ia disampaikan atau dikendalikan dalam situasi “damai” dan penuh persaudaraan. Sebagai orang tua, kita harus benar-benar memahami gelojak kaum muda. Saya yakin, setiap orang mempunyai maksud baik dalam setiap tindakannya.

Cuma ada yang kurang pengetahuan dan kurang pengertian menyebabkan ungkapan imannya adalah kurang tepat. Sebagai orang tua, Puan telah berusaha memberi contoh yang baik, teruskanlah itu dan berteguhlah untuk mempertahankan apa yang Puan imani. Sekarang hanya soal penerusan dan keteladanan.

Pesan saya, jangan takut melawan arus, teruskan hal yang baik, meskipun pada anak-anak zaman sekarang, hal itu tidak “trendy”. Cerdik seperti ular dan tulus seperti merpati (bdk. Mat.10:16). Sampaikan nasihat dan bimbingan Puan dengan cerdas dan jangan kasar, apalagi marah.

Dengan cinta kasih keibuan, saya yakin Puan akan dapat menyentuh hati anak Puan dengan baik. Sesuatu yang baik perlu disampaikan dengan cara yang tepat dan baik. Selamat mencuba dan Tuhan memberkati. -- hidupkatolik.com 

Total Comments:0

Name
Email
Comments